Ketika dunia sedang sibuk dengan pandemik Covid-19, sekarang ni keadaan di perairan Malaysia semakin panas. Peliknya, sudahlah COVID-19 ni datangnya dari China, tapi tetap saja diorang “nakal” nak ganggu perairan negara lain. Disebabkan benda ni, Amerika Syarikat dah kerahkan dua kapal perang diorang ke Laut China Selatan. Kapal perang tu dikatakan dah sampai kat kawasan yang tengah jadi pertikaian di antara China dan Malaysia.
Ketika dunia fokus untuk menghadapi pandemik Covid-19, China ambil peluang membuli negara lain
Minggu lepas, Haiyang Dizhi 8 – kapal milik China dilihat lakukan tinjauan berdekatan dengan kapal eksplorasi yang dikendalikan Petronas. Situasi macam ni turut berlaku beberapa bulan yang lepas di Vietnam.
https://www.youtube.com/watch?v=ZKv9-8oXaqI
Kehadiran dua kapal perang AS untuk desak kerajaan China bagi hentikan tindakan membuli diorang di perairan yang dipertikaikan. AS turut nyatakan bahawa benda ni adalah sebahagian daripada keprihatinan diorang dengan tindakan provokatif yang dilakukan Beijing terhadap sumber minyak dan gas di sana.
Kapal perang jenis USS America dan USS Bunker Hill dah dikerahkan untuk beroperasi di Laut China Selatan, kata jurucakap Komando Indo-Pasifik AS, Nicole Schwegman semalam.
“Melalui operasi berterusan kami di Laut China Selatan, kami berusaha … untuk mempromosikan kebebasan pelayaran dan penerbangan serta prinsip-prinsip antarabangsa yang menyokong keselamatan dan kemakmuran bagi Indo-Pasifik,” – Schwegman, seperti yang dilaporkan Reuters
Laksamana Muda Fred Kacher, komandan USS America Expeditionary Strike Group, beritahu Reuters bahawa pasukannya dah berhubung dengan tentera laut China di Laut China Selatan. Schwegman tak nyatakan lokasi sebenar kapal perang tu, tapi ada beberapa sumber keselamatan menyatakan bahawa mereka berada dekat dengan Haiyang Dizhi 8 dan kapal latihan Capella Barat yang dikendalikan oleh Petronas. Kawasan ni jadi rebutan di antara Malaysia, Vietnam dan juga China.
China nekad nak ambil langkah ketenteraan terhadap mana-mana negara yang nak luaskan kawasan penggalian tenaga
Menteri Luar dan Menteri Pertahanan kena ambik sikap tegas terhadap provokasi China di zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia di Laut China Selatan. Benda ni dah dilaporkan secara meluas oleh media antarabangsa dan tempatan, tanpa ada kenyataan rasmi dari Perdana Menteri atau kementerian yang kami sebutkan tadi.
https://www.youtube.com/watch?v=_nGdmS2ilA4
Menurut Harian Metro, Laksamana (M) Dato’ Mohd Zubil bin Mat Som, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sahkan pada 16 April, kapal penyelidikan/tinjauan China Haiyang Dizhi 8 dah masuk kawasan EEZ Malaysia.
Keesokan harinya, Haiyang Dizhi 8 ni dikesan mengikuti kapal gerudi yang dikendalikan Petronas, West Capella, berada dalam had 200 batu nautika dari EEZ kita. Ada masanya kapal tu diapit oleh lebih dari 10 kapal China, termasuk kapal milik militia maritim dan Pengawal Pantai China.
Ini bukan kali pertama kita terima konfrontasi dari China di Laut China Selatan. Pada Januari tahun ni, Malaysia terbabit dalam konfrontasi dengan kapal tentera China berhampiran dua blok luar pesisir di kawasan Petronas menggerudi minyak dan gas. Sebuah kapal Pengawal Pantai China menghampiri dalam jarak 0.3 batu nautika dari pelantar Petronas sebelum beredar.
China bertekad untuk ambil langkah ketenteraan terhadap mana-mana negara yang ingin kembangkan sumber tenaga baru di kawasan tu. Bulan lalu, tentera laut China lakukan latihan tempur dengan armada kapal selam, jet pejuang dan kapal peluru berpandu bergerak pantas di Laut China Selatan.
Awal bulan ni, ketegangan meningkat setelah kapal tentera China merempuh dan menenggelamkan sebuah kapal nelayan Vietnam berhampiran Kepulauan Paracel yang dipertikaikan, kejadian kedua dalam masa kurang dari setahun.
https://www.youtube.com/watch?v=Y7eKYS2v-tg
Vietnam buat bantahan rasmi kepada kerajaan China setelah kapal nelayan tu tenggelam akibat perlanggaran. China mendakwa kapal Vietnam itu menangkap ikan secara haram di perairan China dan tenggelam setelah diserang oleh kapal China itu.
Tahun lalu, sebuah kapal Pengawal Pantai China habiskan berminggu-minggu di perairan berhampiran pelantar minyak di sebuah blok minyak Vietnam, yang dikendalikan oleh Rosneft Rusia. Sementara tu, kapal yang sama yang mengikuti kapal Petronas, Haiyang Dizhi 8 disyaki melakukan tinjauan eksplorasi minyak di EEZ Vietnam.
Tanpa respon dari kita, China berkemungkinan mengekalkan armada tinjauannya di perairan yang dipertikaikan dan halang usaha penggerudian tenaga di perairan kita untuk jangka panjang. Walaupun ada beberapa perselisihan di negara-negara ASEAN mengenai Laut China Selatan, perselisihan yang lebih besar adalah dengan China kerana ia menuntut Laut berdasarkan ‘nine-dash line’.
Kerajaan Malaysia perlu ambik pendirian rasmi terhadap provokasi dari China untuk lindungi wilayah kita dan juga syarikat-syarikat yang beroperasi di sana. Malaysia harus segera bekerjasama dengan ASEAN untuk capai persetujuan bersama bagi menentang pencerobohan di Laut China Selatan.
Sejarah Laut China Selatan yang ramai tak tahu, dahulunya pernah dimiliki Kerajaan Champa
China pernah buat tuntutan ke atas Laut China Selatan menggunakan kaedah ‘nine-dash line’. Tapi tuntutan ‘nine-dash line’ ni dah ditolak oleh Permanent Court of Arbitration di the Hague pada 2016. Negara-negara ASEAN lain pulak ada tuntutan berbeza ke atas sebahagian Laut Cina Selatan di antara satu sama lain. Tapi konflik ni tak seteruk konflik dengan China yang gunakan tentera dan ekonomi mereka untuk tuntutan ke atas Laut China Selatan.
Antara nama lama yang pernah digunakan di Nusantara untuk Laut China Selatan adalah Laut Cham atau Laut Champa, sempena Kerajaan Champa yang pernah memerintah Vietnam suatu ketika dahulu. Kemuncak Kerajaan ini adalah antara kurun ke-6 hingga ke-15 masihi.
Orang Cham ni sebahagian dari rumpun Melayu atau orang Austronesia. Bahasa yang mereka tuturkan berada dalam keluarga sama dengan bahasa Acheh. Asalnya, Orang Cham ni kebanyakannya beragama Hindu seperti masyarakat Nusantara. Hari ini, sebahagian besar Orang Cham beragama Islam manakala bakinya beragama Hindu. Ramai yang beragama Islam lari ke Kemboja dan Malaysia.
Antara peninggalan terkenalnya adalah kuil dan kubur di My Son. Pusat komersial Kerajaan Champa kini dikenali sebagai bandar Hoi An, merupakan kawasan tumpuan pelancong.
Seperti kebanyakan kerajaan Nusantara lain, orang Cham ni beri tumpuan kepada perdagangan. Mereka berdagang dengan Tanah Melayu, Borneo, kepulauan Filipina, Sumatera dan Jawa. Reputasi Kerajaan Cham terkenal hingga ke Timur Tengah, India dan China. Benda ni berbeza dengan masyarakat Vietnam yang lebih tertumpu kepada bercucuk-tanam.
Banyak kapal-kapal karam yang dijumpai semula di Laut China Selatan membawa barangan dagangan dari Champa. Banyak orang Cham datang ke Kelantan dari dahulu untuk belajar di pondok-pondok di sana. Atas sebab itu, Pengkalan Chepa dapat namanya.
Berdasarkan pengaruh ni, golongan guru-guru agama di Champa boleh berbahasa Melayu dan gunakan tulisan Jawi. Kelantan kita kenal sebagai Serambi Mekah, dipanggil Mekah oleh masyarakat Champa. Kesultanan Kelantan dan Kerajaan Champa dikatakan ada hubungan perkahwinan suatu ketika dulu.
Antara dua pejuang Cham terkenal adalah Tuan Phaow (1796) yang berasal dari Kelantan dan Khatib Sumat (1833) yang pernah menuntut di Kelantan. Ada sumber mengatakan Sultan Muhammad I Kelantan hantar tentera membantu Khatib Sumat. Kebangkitan Khatib Sumat adalah kebangkitan Cham besar yang terakhir.
Begitu dekatnya hubungan Cham dan Kelantan, ketika Tanah Melayu merdeka pada 1957, masyarakat Cham meraikannya sebagai kemerdekaan Kelantan! Sama seperti beberapa masyarakat rumpun Melayu yang lain (yang paling terkenal kaum Minangkabau), orang Cham amalkan adat pepatih.
Champa pernah ada hubungan dengan Sriwijaya dan Majapahit. Sunan Ampel, salah seorang dari Wali Songo, lahir di Champa. Ketika Kesultanan Melaka, Kerajaan Champa adakan hubungan dagang yang erat dengan Melaka. Banyak pelarian Champa pada abad ke-15 buat berlindung di Melaka. Kerajaan diorang juga berpakat dengan Johor menentang Portugis dan Sepanyol.
Ketika krisis Komunis di Indochina, orang Champa termasuk dalam kalangan pelarian ke Malaysia. Dianggarkan 10,000 orang Cham menetap terus di Malaysia. Walaupun konsep ‘nine-dash line’ dah wujud sejak awal kurun ke 20, China hanya mulakan langkah agresif di Laut China Selatan kemudian.
Untuk menghadapi kuasa besar seperti China, ASEAN perlu bersama dan bersatu
Tujuan ASEAN diwujudkan adalah untuk memastikan negara-negara Asia Tenggara ada kekuatan untuk menentukan masa depannya. Tetapi ASEAN kelihatan tak bersama berdepan provokasi China di Laut China Selatan. Mungkin dah tiba masanya ASEAN kembali melihat Laut China Selatan dari segi warisan bersama, iaitu sebagai Laut Champa di alam Nusantara.
Sebahagian besar artikel ini merujuk pandangan YB Nik Nazmi Nik Ahmad yang merupakan ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau melakukan dua hantaran media sosial berhubung krisis China-Malaysia di Laut China Selatan.