Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan yang dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat pada Khamis. RUU tersebut yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada Mac lalu, diluluskan dengan majoriti dua pertiga ahli Parlimen selepas ia dibahaskan oleh 70 wakil rakyat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan perkara itu selepas undi belah bahagi dilakukan. Menurutnya, seramai 206 ahli Parlimen bersetuju untuk meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, sementara seorang tidak bersetuju dan 14 lagi tidak hadir.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat 16 Oktober sebanyak 19,317 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan bagi tahun 2024.
“Setakat semalam, saya masih menandatangani dan membuat keputusan (meluluskan) sebanyak 19,317 permohonan. Dicampur dengan keputusan yang saya buat pada tahun lalu telah menjadikan jumlah keseluruhan permohonan lulus sebanyak 32,153,” katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat
Pada masa sama, Saifuddin turut memaklumkan bahawa kementerian akan turut membangun prosedur operasi standard (SOP) terutama bagi permohonan paling tinggi iaitu 15A berkait anak tidak sah taraf, anak angkat, anak jagaan, dan 19(1) iaitu permohonan naturalisasi.
Menurutnya, SOP bagi kedua-dua fasal itu siap dan telah disediakan serta diberi kelulusan oleh Jemaah Menteri.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menyentuh mengenai penguasaan bahasa Malaysia, katanya, syarat tersebut hanya diketatkan kepada kumpulan pemohon yang berusia antara 40 dan 60 tahun.
“Untuk itu, (pemohon) umur 90 dia kata nak mati di sini (Malaysia) dan tujuan dia untuk memiliki MyKad adalah mendapatkan bantuan kerajaan, (maka) syarat bahasa dan ujian bahasa itu bukan pertuturan biasa seperti temu duga, tetapi kita mainkan foto dan itu membantu,” ujarnya.
Pindaan itu antara lain memperuntukkan hak sama kepada kanak-kanak yang lahir di luar Persekutuan dengan ibunya pada masa kelahiran itu seorang warganegara untuk memperoleh kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang, berbanding hanya jika bapanya seorang warganegara.
Pindaan ini datang setelah ada kritikan dan saranan pada tahun lepas
Pada Jun tahun lepas, sekumpulan pertubuhan dan individu yang menyokong pembaharuan undang-undang mengenai kewarganegaraan menggesa kerajaan lebih telus dan inklusif dalam usaha meminda Bahagian III Perlembagaan Persekutuan serta jadual berkaitannya.
Menurut surat terbuka yang diperakui 49 pertubuhan dan 67 individu, mereka mengalu-alukan usaha kerajaan menangani isu-isu sejak sekian lama berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia. Pindaan berkenaan secara khusus adalah bagi memasukkan perkataan “ibu” dalam Seksyen (1)(b) dan (1)(c) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan berhubung ‘Kewarganegaraan melalui Kuat Kuasa Undang-undang’.
“Bagaimanapun, sebarang permohonan memasukkan pindaan lanjut kepada hak kewarganegaraan di bawah Perlembagaan untuk menangani isu berkaitan kewarganegaraan yang lain tidak seharusnya dipertimbangkan tanpa terlebih dahulu melakukan rundingan menyeluruh dan meluas dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan,” kata mereka.
Mereka mengenal pasti isu-isu berkaitan termasuk usaha menyekat hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar nikah yang berbapakan warganegara Malaysia; anak angkat oleh ibu bapa Malaysia; kanak-kanak yang terbiar dan diabaikan; serta kanak-kanak daripada daripada keluarga yang tidak mempunyai dokumen sah.
“Perlu diingatkan bahawa kita telah, pada kebanyakan masa, menerima mesej bercampur-campur daripada kerajaan tentang skop pindaan yang mereka ingin cadangkan dan sama ada pindaan ini meliputi isu-isu yang dipertikaikan yang disenaraikan di atas.
“Tidak perlu dikatakan bahawa sebarang cadangan untuk menyekat atau membatalkan kebebasan dan hak asasi, termasuk hak kewarganegaraan, tidak sepatutnya dilakukan dalam kerahsiaan dan tanpa rundingan yang sewajarnya,” kata mereka.
“Walaupun difahamkan perbincangan awal telah diadakan dengan beberapa pertubuhan masyarakat sivil, nampaknya mereka tidak dimaklumkan mengenai keseluruhan cadangan kerajaan untuk meminda hak kewarganegaraan ini. Kami kecewa dengan kurangnya kejelasan dan ketelusan ini, memandangkan terdapat jaminan penglibatan terbuka oleh kerajaan baru ini,” kata mereka lagi.
Perikatan Nasional kata mereka matang sebab sokong pindaan Perlembagaan
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kewarganegaraan adalah anugerah tertinggi yang diberikan oleh mana-mana negara dan sudah tentu, dasar pemberian taraf kewarganegaraan perlu dibuat secara ketat, teliti serta cermat demi memelihara kedaulatan Malaysia.
“Semalam, Perikatan Nasional menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkaitan kewarganegaraan selepas berpuas hati dengan beberapa pindaan, sekali gus menepati kehendak Majlis Raja-Raja khususnya melibatkan mekanisme kawalan yang diperketatkan,” katanya menerusi Facebook
Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, sokongan ini adalah bertepatan dengan manifesto PN untuk memberikan hak kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang kepada kanak-kanak yang lahir di luar negara di mana ibunya adalah seorang warganegara.
“Namun begitu, beberapa teguran membina telah disuarakan oleh ramai Ahli-ahli Parlimen PN bagi memastikan mekanisme kawalan dikuatkuasakan dengan sebaik mungkin oleh kerajaan,” katanya
Ujarnya, sikap ini jelas memperlihatkan PN bukan sekadar pembangkang tetapi matang dan berjiwa besar dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan negara.