PM minta jangan gunakan isu perkauman sebagai modal politik

f1

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua pemimpin khususnya pemimpin politik, agar bertindak sebagai jambatan perpaduan menyatukan rakyat dan bukannya mencetus api membakar hubungan harmoni yang sekian lama terjalin.

Baginda bertitah pemimpin haruslah berhenti daripada menjadi ‘badut’ mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R), sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam kalangan masyarakat.

“Biarkanlah pentas ini terus tenang tanpa drama yang menyakitkan. Berdialoglah, guna akal dan hati, bukannya bermonolog guna nista dan benci. Saya menyambut baik kenyataan Menteri Besar Pahang yang menekankan pemimpin bertanggungjawab menjadi pendamai bukannya pencetus perbalahan,” titah baginda

Al-Sultan Abdullah bertitah sejarah telah membuktikan pertelingkahan kaum dan agama, jika tidak dibendung dengan bijaksana, mampu membawa kepada malapetaka.

kl16 13022023 agong parlimen
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

“Kita tidak mahu sejarah hitam itu berulang hanya kerana kealpaan kita dalam mengurus isu sensitif ini dengan hikmah dan bijaksana. Hormatilah antara satu sama lain, jagalah sensitiviti antara agama dan kepercayaan. Jangan sesekali kita biarkan kejahilan dan keangkuhan, merosakkan apa yang telah lama kita bina bersama,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa dukacita apabila masih ada pihak yang meremehkan kesucian dan mencabar agama Islam, seolah-olah tiada batasan dalam bicara dan bertindak.

Anwar tegaskan jaga keharmonian kaum, Wan Rosdy setuju

Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua kaum di Malaysia menoktahkan isu perkauman, seterusnya bergerak ke hadapan dalam memastikan negara terus stabil. Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata tindakan itu juga dapat menjamin supaya perpaduan antara kaum di negara ini kekal mekar dan harmoni.

“Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO)

Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri semalam ketika majlis berbuka puasa bersama pengamal media turut bertemu trio penyampai radio Era FM yang sebelum ini terpalit isu mempersendakan upacara agama lain.

3041371
Anwar bersama Trio Era yang terpalit dengan isu perkauman

“Dalam kesempatan yang ada, beliau dapat berikan nasihat dan berpesan supaya sentiasa membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian di tempat mereka iaitu di stesen radio berkenaan. Alhamdulillah, mesej diberikan itu bukan hanya menjerumus kepada mereka (penyampai radio) tetapi kepada semua pihak supaya dapat bersama menjadi agen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan MADANI menyatukan seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kaum dan bangsa,” katanya.

Nada ini dikongsi oleh Naib Presiden UMNO, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail yang mengatakan semua pemimpin politik dan masyarakat di pelbagai peringkat perlu memainkan peranan dalam menyatukan dan meredakan kemarahan rakyat. Katanya, pemimpin juga tidak seharusnya menjadi pencetus mahupun menjadi api yang boleh menjadi punca perbalahan.

“Malah, saya berpandangan pimpinan di peringkat pusat perlu menjadi orang tengah bagi mempertemu dan mendamaikan pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi membabitkan tiga orang penyampai sebuah stesen radio swasta yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan sebuah agama bukan Islam.

“Saya bersetuju bahawa tindakan mereka merupakan satu kesalahan dan tidak sesekali mencerminkan ajaran Agama Islam. Tindakan yang sewajarnya harus diambil pihak berkuasa dengan niat sekadar memberi pengajaran kepada pelaku, bukan menghukum demi memberi kepuasan kepada sesetengah pihak yang lain.

“Kita tidak mahu perbalahan ini mencapai tahap di mana setiap pihak menanti satu pihak yang lain untuk melakukan kesilapan, demi untuk mengembalikan paku buah keras masing-masing,” ujarnya

Sistem e-Sepakat katanya akan memantau isu-isu perkauman

Sistem e-Sepakat digunakan Kementerian Perpaduan Negara untuk memantau sebarang isu-isu perpaduan yang dibangkitkan di setiap peringkat masyarakat. Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud berkata sistem berkenaan turut memantau isu-isu sensitif yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin tempatan.

maxresdefault
e-Sepakat

“Kita di Kementerian Perpaduan dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) ada satu sistem iaitu e-Sepakat.

“Kita pantau isu-isu yang disentuh oleh individu-individu di semua peringkat komuniti. Kita laporkan kepada satu jawatankuasa untuk selesaikan isu-isu berbangkit. Sistem e-Sepakat ini juga menunjukkan bahawa isu-isu perpaduan paling tinggi disentuh pada musim pilihan raya. Maka kita faham siapa yang menyentuh perkara tersebut,” katanya.

Tambah Mohamad Sobri pemimpin memainkan peranan besar dalam pengurusan isu perpaduan memandangkan pengaruh mereka yang luas.

“Kalau kita sebagai orang biasa yang sentuh (isu sensitif) ia kurang tular. Kalau pemimpin yang sentuh (isu sensitif), lebih-lebih lagi di Parlimen maka suhunya akan jadi lebih tinggi,” ujarnya.

Oleh itu, beliau memaklumkan, pihak kementerian turut menyediakan inisiatif untuk meningkatkan semangat jati diri dan kenegaraan dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat pemimpin.

Pas kata kerajaan tak boleh ambil pendekatan menyalahkan pihak lain

Pada masa yang sama, Pas menegaskan kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan menyalahkan pihak lain semata-mata atau sekadar membuat penafian untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab dalam isu keharmonian masyarakat. Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tanpa tindakan tegas, telus serta adil, persepsi buruk terhadap kerajaan akan terus memburuk dan memberi ruang kepada pihak berkepentingan untuk mencetuskan keadaan lebih tegang.

“Suasana tidak harmoni yang terbentuk akan menjadi tanah subur kepada pihak tertentu untuk menabur angin yang berpotensi menjadi badai lebih ganas,” katanya dalam satu kenyataan

Pas turut menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kepentingan menjaga hubungan baik antara kaum dan mengelakkan eksploitasi isu agama serta perkauman untuk kepentingan peribadi.

projek1 (1)
Takiyuddin

Menurut Takiyuddin, Pas konsisten dengan pendirian bahawa Islam sebagai agama Persekutuan perlu dimartabatkan, selari dengan dasar parti yang menekankan sikap saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum.

“Tindakan tegas harus diambil terhadap mana-mana pihak yang mencabar kedudukan Islam, bidang kuasa pihak berkuasa agama serta kepentingan umat Islam. Kegagalan kerajaan bertindak hanya akan mencetuskan konflik dan ketegangan,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan memastikan semua anggotanya mematuhi prinsip menghormati sensitiviti kaum dan agama bagi mengelakkan timbulnya ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

“Persepsi negatif terhadap keazaman politik kerajaan dalam mempertahankan kedudukan Islam serta kesediaan bertindak tegas ke atas anggota sendiri yang melanggar prinsip ini bukanlah sesuatu yang tidak berasas,” tegasnya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *