PRK Kuala Kubu Baharu pentas kerajaan bukti sokongan

f1

Penganalisis politik menyifatkan DAP masih berpeluang untuk mempertahankan kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Mujibu Abd Muis berkata, pandangan itu berdasarkan ratio demografi pengundi Melayu dan bukan Melayu di kawasan berkenaan yang memihak kepada bukan Melayu.

Beliau bagaimanapun berkata, masih terdapat beberapa senario yang akan menyebabkan kelebihan yang ada pada DAP bertukar menjadi kelebihan Perikatan Nasional (PN) pada PRK tersebut.

Ujarnya, antaranya ialah jika undi Melayu solid diberikan kepada PN dan undi bukan Melayu pula terpecah terutama dalam kalangan pengundi berbangsa India di kawasan DUN Kuala Kubu Baharu.

“Faktor kedua ialah peratusan keluar mengundi adalah kurang terutamanya dalam kalangan pengundi berbangsa Cina pada PRK Kuala Kubu Baharu.

“Faktor ketiga pula ialah siapa yang menjadi calon kepada parti masing-masinh dan faktor ini mungkin menjadi angkubah penting dalam menentukan siapa bakal menang di Kuala Kubu Baharu,” katanya ketika dihubungi

Dalam pada itu, ujar Majibu, isu 3R iaitu isu kaum, agama dan institusi diraja akan menjadi latar belakang kempen PN namun ia juga tidak memberi kelebihan kepada PN.

“Ini kerana sentimen semasa dilihat memberi kesan balas dalam kalangan bukan Melayu terutama orang Cina walaupun ia memberi impak kepada pengundi Melayu.

“Paling penting mungkin 18 peratus pengundi India yang barangkali melihat kurangnya wakil mereka dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disamping isu-isu penting mereka menjadi isu utama di sini (Kuala Kubu Baharu),” katanya.

Namun begitu, ujar Majibu, sekiranya PN meletak calon Melayu yang mampu untuk mendapat undi penuh pengundi Melayu dan menarik undi pengundi India maka PN juga berpeluang di Kuala Kubu Baharu.

Anthony Loke ingin kerajaan pujuk pengundi

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan keutamaan yang harus diberikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu adalah memujuk pengundi, bukan mana-mana parti untuk menyokong mereka.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pihaknya juga menghargai mana-mana parti atau individu yang menyokong calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao.

“Pilihan raya bukan soal parti sebaliknya tumpuan kepada rakyat. Jadi, pada saya paling penting pujuk pengundi, bukan mana-mana parti.

“Yang datang membantu kita amat hargai. Yang tidak membantu kita tak paksa. Kalau tak sanggup membantu itu hak dia.

“Saya tak perlu gaduh dengan mereka. Paling utama adalah soal pengundi sebab mereka yang akan membuat keputusan dan memilih wakil rakyat mereka, bukannya soal parti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada DAP sedia memujuk MCA turun membantu calon Kerajaan Perpaduan susulan tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu memboikot kempen kali ini.

Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA sebelum ini dilapor memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.

MB Selangor nafi rumah terbuka satu kesalahan

Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor yang diadakan pada Sabtu malam di pekan Kuala Kubu Bharu (KKB) di sini, tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini kerana tiada sebarang unsur kempen dibuat ketika majlis tersebut.

“Kita telah atur lebih kurang sebulan lalu atau lebih khusus pada awal Ramadan yang lepas untuk menetapkan tarikh hari raya dan majlis jamuan ini.

“Ini bukan program kempen atau parti politik tetapi (program) kerajaan negeri. Sepanjang program ini juga tidak ada langsung elemen kempen.

“Tetapi, kalau orang datang pakai baju (ada unsur parti) saya tidak boleh halang atau suruh tukar baju,” katanya kepada pemberita selepas selesai majlis berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bahawa penganjuran rumah terbuka itu boleh bercanggah dengan banyak peruntukan dalam AKPR.

Bersih dalam masa sama mempersoalkan lokasi dan masa penganjuran rumah terbuka ini kerana ia dianjurkan di kawasan dan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berjalan.

Sementara itu, ditanya punca pembatalan acara penyampaian sumbangan raya yang separutnya diadakan dalam majlis tersebut, Amirudin berkata, tindakan dibuat atas nasihat pelbagai pihak.

“Setelah kita dapat nasihat dan sebagainya (kita buat keputusan untuk batal) kerana tidak mahu ada tafsiran yang bukan-bukan.

“(Jadi) kita ambil langkah berjaga-jaga atas teguran tersebut (supaya batal sumbangan duit raya),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *