Rafizi minta Puad Zarkashi renung dosa sendiri

f1

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menasihatkan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli supaya tidak `bakar’ (mengkritik) partinya dan kerajaan secara berlebih-lebihan. Ini kerana, kata beliau, dibimbangi nasib Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi itu berakhir di penjara.

Nasihat itu diberikan dalam hantaran terbaharu beliau di Facebook yang menyentuh mengenai pengakhiran politik Rafizi selepas beliau tewas dalam pemilihan PKR baru-baru ini. Ujarnya, beliau sebelum ini pernah mencadangkan supaya Rafizi bergabung di bawah pakatan baharu politik bersama-sama beberapa figura politik tersohor seperti Khairy Jamaluddin; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

e44db4b6 b94c 476d bb7f e6d657f33586
Dr. Mohd Puad Zarkashi

Namun cadangan itu nampaknya sukar dilaksanakan kerana akan menimbulkan isu seperti yang akan menjadi Presiden dan siapa yang akan mengalah.

“Nasihat saya kepada Rafizi People who live in glass houses shouldn’t throw stones. (Jangan baling batu jika tinggal dalam rumah kaca). Takut berakhir dalam penjara. Bakar menteri sudah, berhenti menteri pun sudah. Jangan bakar lebih lebih. Kes boleh dicari,” katanya.

Rafizi minta Puad untuk merenung amalan, dosa dan pahala sendiri

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menasihatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi supaya tidak bimbang tentang pengakhiran politiknya selepas peletakan jawatan Menteri Ekonomi ekoran kekalahan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga mengingatkan Speaker DUN Johor agar lebih baik merenung amalan, dosa dan pahala sendiri.

“Nasihat saya kepada Puad, jangan bimbangkan pengakhiran politik saya. Lebih baik fikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing, lebih-lebih lagi kalau umur itu 20 tahun lebih tua dari saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook

utu rafizi37298
YB Rafizi

Menurut Rafizi, beliau selama ini mengelak membalas sindiran berulang Puad kerana menghormati kedudukan masing-masing ketika berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Bertahun-tahun dia cuit saya tapi saya tidak pernah balas. Sebahagiannya kerana saya menghormati tata cara bila duduk bersama dalam kerajaan, sebagai pimpinan kanan Keadilan, saya tidak wajar menghentam secara terbuka seorang wakil rakyat dari UMNO. Sepatutnya, orang berbudi kita berbahasa. Tapi tidak begitulah, sebab manusia ni ada macam-macam jenis. Saya juga faham kalau Puad ini marah dekat saya sampai bila-bila. Dia dulu Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), sekarang dikenali Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang diberi tanggungjawab mempertahankan Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018,” kata Rafizi

Memang letihlah nak bersilat dengan isu-isu yang saya bawa ke arah PRU 2018. Mungkin kerana dilihat tidak berapa berfungsi semasa menjadi Ketua Pengarah Jasa, dia digugurkan dari menjadi calon UMNO Parlimen Batu Pahat dalam PRU 2018. Kecoh sebentar dia nak bertanding bebas, dilaporkan sudah beli dua borang pun, katanya lagi.

Gaduhlah korang

Rafizi turut menyentuh kemenangan Puad di DUN Rengit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 sebagai satu-satunya pencapaian selepas berdekad dalam politik. Selain itu, beliau juga mengingatkan dirinya pernah melalui episod penjara ketika pentadbiran terdahulu yang turut melibatkan Puad.

“Nasib baik, Keadilan/Pakatan Harapan (PH) masuk PRN Johor 2022 dalam keadaan sendu. Menanglah kerusi Rengit. Berpuluh tahun penyertaan Puad dalam politik dan UMNO sejak 1990-an, menang sekali di Parlimen dan menang sekali di DUN. Jadi bila Puad bagi nasihat, konon takut saya masuk penjara, saya buat dengar tak dengarlah. Saya anggap ini nasihat mencuri perhatian, supaya media memetik namanya menjadi berita. Kalau nak harap usaha politiknya yang lain, mungkin susah nak masuk berita. Kalau saya takutkan ada kes, saya tidak meletakkan jawatan. Saya akur kepada apa saja yang dikehendaki. Suruh saya diam, saya diam. Suruh saya melompat, saya melompat,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi turut menegaskan sepanjang menjadi menteri, beliau tidak pernah memanggil Ketua Setiausaha (KSU) atau pegawai untuk apa-apa yang bersabit perolehan. Rafizi juga mengimbau peranan Puad sebagai Ketua Pengarah Jasa ketika beliau diheret ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara suatu ketika lalu. Bidang yang memang kuasa saya contohnya meluluskan perolehan hartanah Bumiputra melebihi nilai RM20 juta, itu pun saya buat satu jawatankuasa agar ia diputuskan oleh jawatankuasa tersebut, bukannya saya sendiri,” ujarnya.

Jangan jadikan isu Ambalat sebagai isu politik

Pemimpin pembangkang diingatkan agar tidak bermain emosi dan mempolitikkan isu Ambalat sehingga boleh menjejaskan hasil dan rancangan pembangunan negara.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, beliau menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang secara prinsipnya bersetuju untuk mempertimbangkan pembangunan bersama agar potensi minyak di kawasan tersebut dapat dimanfaatkan.

Malah katanya, ia adalah salah satu perkara yang dibawanya semasa dalam Kabinet dahulu kerana kaedah tersebut terbukti berkesan dan telah dilaksanakan di luar pesisir Kelantan dan Thailand.

Menurut Rafizi, keadaannya sama iaitu kawasan yang ada tuntutan bertindih antara Malaysia dan Thailand tidak dapat dibangunkan selagi tidak ada penyelesaian dan kedua-dua negara tidak berganjak.

isu ambalat wisma putra disaran beri taklimat kepada semua adun sabah 01
Isu Ambalat

“Dalam tahun 1970-an, kerajaan kedua-dua negara bersetuju mewujudkan Pihak Berkuasa Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand atau Malaysia-Thailand Joint Development Authority (MTJDA) yang bertindak sebagai pihak berkuasa yang mengendalikan pembangunan bersama di kawasan bertindih itu.

“Wakil sama banyak, suara sama banyak. Dari situlah, kontrak eksplorasi dan pembangunan minyak dapat dijalankan, akhirnya dianugerahkan kepada Petronas dan PTTEP (syarikat minyak Thailand). Hari ini, sekitar 30 peratus dari keperluan gas Semenanjung Malaysia dibekalkan dari kawasan bertindih ini. Jika ia tidak dibangunkan secara bersama dan tergendala sehingga kini, 30 peratus keperluan gas Semenanjung perlu diimport dan dibayar pada harga yang tinggi,” katanya

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Perdana Menteri memberitahu rakyat mengenai apa-apa persetujuan yang dicapai dengan Indonesia dalam rundingan mengenai isu Ambalat.

Ia susulan Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) antara Malaysia dan Indonesia di Blok Ambalat, iaitu kawasan perairan yang masih dalam pertikaian sempadan maritim membabitkan kedua-dua negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *