Ramai minta khuatir apabila wartawan ditahan SPRM

f1 min

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang wartawan sebuah portal tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah, pada Jumaat. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan dibuat di sebuah hotel di Shah Alam kira-kira jam 11 malam.

“Penahanan dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, bukannya mengenai laporan berita pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (PATI). Dipercayai wartawan berkenaan meminta sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja asing warga Pakistan sejumlah RM20,000 untuk tidak mengeluarkan artikel berhubung isu penyeludupan PATI,” katanya

Wartawan lelaki itu kemudian telah dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu untuk proses reman. Wartawan berkenaan kini direman selama empat hari sehingga Selasa untuk disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Bercakap kepada Malaysiakini, Azam menafikan bahawa penahanan itu adalah kerana artikel Malaysiakini baru-baru ini mendedahkan kartel pemerdagangan warga asing.

GKMM dan NUJ gesa siasatan yang lebih telus

Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) dan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menggesa agar siasatan telus dijalankan susulan penahanan reman seorang wartawan sebuah portal berita tempatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

GKMM dalam satu kenyataan menuntut pihak berkuasa memastikan keadilan ditegakkan terhadap semua pihak yang terlibat serta individu disiasat.

Pihaknya juga mengesyorkan agar pengamal media disiasat memberi kerjasama penuh bagi melancarkan proses siasatan.

“Pengamal media juga tertakluk kepada undang-undang seperti masyarakat lain, dan seharusnya bersedia untuk melalui proses perundangan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, NUJ menghormati proses siasatan dijalankan SPRM namun menegaskan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan’ perlu dipertahankan.

“NUJ berharap siasatan dijalankan dengan adil serta memberi ruang kepada wartawan terbabit untuk membela diri. Kami juga menggesa agar dia diberikan akses kepada nasihat guaman yang sewajarnya,” katanya.

NUJ turut menekankan keperluan siasatan dilakukan secara telus tanpa sebarang tekanan atau tindakan yang boleh menjejaskan kebebasan media di negara ini.

Takiyuddin minta berhati-hati siasat wartawan

Pas menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi keutamaan terhadap siasatan berhubung kegiatan meragukan melibatkan ejen pekerja asing dan kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan isu tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana, sekiranya laporan isu tersebut benar, ia lebih berpotensi menimbulkan masalah lebih serius dan berbahaya bagi keselamatan dan ekonomi negara berbanding dakwaan peras ugut jenayah yang didakwa melibatkan wartawan berkenaan.

projek1
Takiyuddin

Dakwanya, tindakan SPRM terhadap wartawan terbabit yang dibuat hanya berdasarkan laporan pihak berkepentingan langsung dilihat janggal dan menimbulkan persoalan.

“Pas percaya adalah lebih tepat dan sesuai tugas sekiranya SPRM mendahulukan siasatan ke atas laporan media berhubung kegiatan meragukan melibatkan ejen pekerja asing dan kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan dakwaan rasuah.

“Agak janggal dari beberapa sudut dan perlu diteliti dengan lebih dekat, terutama dari segi motif, ketepatannya bawah undang-undang dan keutamaannya,” katanya dalam satu kenyataan

Tambah beliau, sekiranya dakwaan peras ugut jenayah oleh wartawan terbabit benar, perkara tersebut sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan bawah Kanun Keseksaan, bukannya diambil tindakan bawah Akta SPRM.

“Sekiranya laporan media tersebut pula salah atau dianggap memfitnah, bukankah pihak terkesan turut dilindungi oleh undang-undang sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah, bukannya dengan membuat laporan kepada SPRM?” soalnya.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan berkenaan ‘kejanggalan’ berkenaan kerana didakwa boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM sendiri.

“Ia boleh dianggap bertujuan menutup mulut wartawan dan media terbabit, sekali gus memenuhi motif dan kepentingan pihak berkepentingan langsung yang didedahkan sebelum ini. Tindakan itu juga boleh dilihat sebagai langkah yang berlawanan dengan peranan wartawan dan media sebagai institusi teras demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang awam,” katanya.

Wartawan tersebut telah dibebaskan. Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata lelaki terbabit dibebaskan selepas tempoh remannya tamat.

“Beliau dibebaskan dengan jaminan SPRM dan siasatan masih diteruskan,” katanya lapor Bernama.

Azam berkata beberapa individu lain akan dipanggil bagi membantu melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *