Ribuan murid berhenti sekolah akibat pandemik, ini sebabnya

keciciran 1

Bidang pendidikan antara yang terjejas ketika pandemik ni. Kita dah cuba macam-macam; daripada TV pendidikan hinggalah ke pengenalan pembelajaran atas talian. Kita pun dah bincang macam-macam; dari spekulasi TV pendidikan sehinggalah isu ketiadaan akses yang mencukupi untuk tampung keperluan pembelajaran atas talian ni. Jadi bila kita dah buka sekolah semula… ramai antara murid ni tak nak atau tak dapat lagi ke sekolah, lalu berhenti sekolah.

Bila diorang berhenti sekolah ketika belum habis lagi sesi persekolahan diorang… tu dipanggil keciciran pendidikan. Keciciran pelajaran ni turut jugak sebahagian daripada ‘generasi yang hilang’. Apa kerajaan boleh lakukan lepas ni?

sekolah kebangsaan beroperasi
Via Utusan Borneo

Sekurangnya 21,316 murid keciciran pendidikan, pandemik sukarkan diorang masuk sekolah semula

Seperti yang dilaporkan Malaymail pada 5 Disember, sejumlah 21,316 pelajar tak sambung belajar dan berhenti sekolah dari Mac 2020 hingga Julai 2021. Dalam sebuah jawapan bertulis dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM);

“Berdasarkan data bagi Mac hingga Disember 2020, murid yang berhenti sekolah adalah 11,301 atau 0.24% murid. Dalam tempoh Januari hingga Julai 2021, sejumlah 10,015 murid atau 0.21% direkodkan berhenti sekolah. Jumlah murid yang berhenti sekolah dalam tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah 21,316 atau 0.22% murid.”- Jawapan bertulis KPM, seperti yang dilaporkan Malaymail

sekolahuniform
Via Iluminasi

Bagi Dr. Anuar Ahmad, pensyarah dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), KPM perlu laksanakan Pelan Pemulihan Pendidikan bila dah tau berapa ramai jumlah keciciran yang ada sekarang. Pelan pemulihan tu haruslah lebih mudah dilaksanakan kerana dah ada data mengenai murid yang tercicir ni. Katanya dalam satu kenyataan:

“Kementerian Pendidikan tidak boleh membiarkan murid-murid ini terus berhenti sekolah atas faktor kemiskinan dan ketidakupayaan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah,.. Dalam kajian pendidikan terdapat dua bentuk keciciran iaitu keciciran pendidikan dan keciciran pembelajaran.

Keciciran Pendidikan merujuk kepada murid-murid yang telah berhenti sekolah manakala keciciran pembelajaran merujuk kepada murid-murid yang kerap tidak hadir atau ponteng sekolah, murid-murid yang tidak memberikan tumpuan pada pengajaran dan murid-murid yang mempunyai prestasi pencapaian yang sangat rendah.

Biasanya kumpulan yang mengalami keciciran pembelajaran adalah jauh lebih besar berbanding keciciran pendidikan,”- seperti yang dipetik Utusan

https://www.youtube.com/watch?v=QJLhlYwrYdE&ab_channel=TVPertiwiOfficial

Sebelum pandemik melanda, memang dah ada sebenarnya isu keciciran pendidikan. Tetapi jumlahnya sangat kecil dan terkawal. Namun bila pandemik berlaku, ramai ibu bapa yang hilang pekerjaan ni tak memperoleh pendapatan yang cukup. Perbelanjaan untuk tujuan pendidikan dipotong bagi menampung kehidupan keluarga diorang.

Sekiranya hal ni terus dibiarkan, isu generasi yang hilang atau lost generation ini akan berlarutan lama. Perkara seperti inilah yang menggusarkan ramai pihak, termasuklah kami. Akses terhadap pendidikan sepatutnya tak terhalang, dan akan merugikan negara sekiranya isu generasi yang hilang ni gagal dibendung. Bukan tu je, boleh jadi jugak jumlahnya akan bertambah kelak disebabkan keciciran pendidikan tu tak dibincangkan seterusnya memberi tanda bahawa KPM tak kisah tentang isu tersebut.

Laporan UNICEF kenalpasti beberapa faktor utama keciciran pendidikan, keluarga B40 paling terjejas

Dalam sebuah laporan UNESCO-UNICEF sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2020, kita dapat lihat bagaimana pandemik ni turut jejaskan kesejahteraan kanak-kanak. Ye, bukan ibu bapa je terjejas.. seluruh anggota keluarga terasa impaknya. Antara dapatan laporan ni, ternyata banyak keluarga dalam negara berpendapatan rendah dan sederhana masih sukar nak ikut jejak pendidikan negara berpendapatan tinggi.

pdpr
Ada jugak pelajar yang perlu berkongsi komputer agar tak tertinggal kelas.. -Via Astro Awani

Pertama sekali, kebanyakan negara berpendapatan rendah dan sederhana terjejas pendidikannya. Para pelajar dari negara berpendapatan rendah dan sederhana dikenalpasti antara paling ramai terlepas hari persekolahan berbanding negara yang berpendapatan tinggi. Lebih dari 90% kerajaan di seluruh dunia bertukar ke pembelajaran dalam talian. Tetapi hanya 70% daripadanya dapat menikmati akses mod pembelajaran sebegitu. 30% lagi tak memiliki peranti atau keperluan yang cukup untuk menampung akses pendidikan atas talian.

Bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana, medium utama yang lebih mudah dicapai adalah radio dan televisyen. Jika nak bandingkan dengan negara berpendapatan tinggi, diorang lebih mudah capai Internet dan televisyen. Oleh tu kalau nak betul-betul ikut rentak dan gaya pembelajaran atas talian dari negara kaya, memang tak adil lah bagi negara berpendapatan rendah dan sederhana. Sebab tu dulu ramai pakar pendidikan menggesa wujudnya TV pendidikan bagi memudahkan para pelajar teruskan pembelajaran diorang khususnya bagi kawasan pedalaman.

unicef negara internet
Via “Averting a Lost COVID Generation”, Laporan UNICEF

Dalam satu lagi laporan pada Ogos 2020 bertajuk ‘Families on the Edge’, beberapa faktor lain yang menyukarkan keluarga B40 dan miskin bandar untuk hantar anak-anak diorang adalah faktor perbelanjaan, motivasi murid yang merosot dan ada jugak yang tak dapat fokus akibat bekerja upah harian serta ibu bapa sendiri yang tak cakna tentang pendidikan anak-anaknya.

“Seterusnya, faktor aspirasi ibubapa yang rendah terhadap pendidikan anak-anak juga boleh menyebabkan anak-anak hilang fokus dan akhirnya berhenti sekolah. Apabila ibubapa sendiri tidak lagi mengambil berat tentang pendidikan anak-anak mereka, keciciran pendidikan pasti akan berlaku,” – Dr. Anuar, seperti yang dilaporkan Utusan

Hal sedemikian perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh pihak KPM. Sedikit mengecewakan, walaupun badan dunia seperti UNESCO dah keluarkan peringatan tentang isu keciciran pendidikan ni…malangnya Malaysia takde usaha atau program khusus bagi memantau dan mengawal isu keciciran pendidikan. Yang kami peroleh, satu je program khusus, tu pun hanya membantu 1,000 murid.

Macam kami katakan sebelum ni, tanpa wujudnya pantauan, perbincangan malah pengawalan isu keciciran pendidikan… ia memberi tanda bahawa KPM tak peduli, dan pendidikan merupakan suatu ‘keistimewaan’ pada keluarga yang mampu dan cakna terhadap pendidikan anak-anak diorang.

Kami harap cadangan untuk laksanakan suatu Pelan Pemulihan Pendidikan ni diperhalusi oleh pihak KPM. Lagi satu, sekadar memindahkan beban ni kepada pihak sekolah je tak cukup. KPM perlu berkongsi tanggungjawab dan mulai membincangkan isu tersebut dengan lebih serius agar kesedaran tentang pentingnya pendidikan tu disebarkan ke khalayak ramai, khususnya keluarga B40. Bantuan kewangan, makanan serta keperluan lain jugak perlu dipacu agar meringankan beban keluarga yang ada keciciran pendidikan ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *