Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diingatkan agar tidak menjadikan pembangkang sebagai tawanan dan tebusan politik demi mendapatkan sokongan di Parlimen. Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, tidak perlu mempersulitkan rundingan dengan meletakkan syarat yang tidak masuk akal sekiranya kerajaan benar-benar ikhlas ingin membantu.
Beliau juga mendakwa Anwar seolah-olah ingin menjadikan pembangkang sebagai ‘budak suruhan’ kerana mengenakan syarat yang tidak sepatutnya seperti tidak boleh mengkritik kerajaan.
“Apa yang kami persoalkan ialah kebebasan pembangkang. Kalau kita terima syarat yang digariskan awal itu, menunjukkan dia nak ‘mandulkan’ pembangkang. Nak jadikan pembangkang ‘budak suruhan’ dalam Parlimen. Tak boleh kritik kerajaan, ini benda tersirat yang kami faham. Sedangkan nak bagi peruntukan berapa? RM300,000? Baik tak payah. Kerajaan kata salurkan peruntukan kepada agensi kerajaan bagi pembangunan besar, pembangunan kecil pula disalurkan kepada penghulu Madani daripada parti-parti dia. Mereka ini tiada akauntabiliti sebab rakyat tak mengundi mereka,” katanya
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memaklumkan pembangkang menolak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang sebelum ini kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tak adil.

Ekoran itu, Perdana Menteri menempelak Muhyiddin namun menyatakan bahawa ruang perbincangan antara kerajaan dan pembangkang berhubung perkara itu sentiasa terbuka. Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim pula menegaskan bahawa pembangkang mempunyai hak untuk mendapatkan peruntukan memandangkan ia termaktub dalam undang-undang.
Beliau juga mengingatkan bahawa Anwar sendiri sebelum ini memberitahu dalam jawapan di Parlimen, bahawa tiada syarat dikenakan dan ia adalah sebahagian daripada manifesto beliau sebelum menjadi Perdana Menteri lagi.
“Rundingan ini sepatutnya tak perlu terikat dengan syarat. Kita ada kerajaan dan pembangkang tapi kalau ada syarat-syarat yang mengikat pembangkang, tak ada makna negara demokrasi. Pembangkang peranannya adalah mengkritik segala rang undang-undang (RUU) yang ada kelemahan supaya kerajaan dapat tambah baik. Contohnya baru-baru ini, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
“Pembangkang bukan menolak tapi nak supaya ia ditangguhkan agar boleh dilihat secara lebih mendalam dan perincikannya. Kita tak mahu ada ruang kelemahan yang akhirnya nanti diambil peluang, itu yang kita minta,” jelasnya.
Malangnya, dengan semua kritikan, tidak ada cadangan balas daripada pembangkang
Perikatan Nasional (PN) tidak pernah mengemukakan cadangan balas mengenai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kepada kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Ketua Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan berkata, dakwaan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa syarat ditetapkan dalam MoU berkenaan adalah luar biasa dan ketat hanya diketahui daripada laporan media.
“Setakat ini saya tak menerima cadangan balas, memang kita dah kemukakan malahan saya dah paparkan kepada media apa bentuk MoU, terma-terma dan rakyat juga mengetahui. Kalau tak bersetuju, boleh kemukakan cadangan balas tapi apa yang berlaku sebenarnya mereka dah menolak bulat-bulat mengatakan benda ni terlalu ketat,” katanya kepada media
Semalam, Muhyiddin mendakwa PN mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang. Fadillah berkata, setakat ini kerajaan hanya menerima maklum balas mengenai MoU itu daripada Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Justeru, beliau berkata, kerajaan sentiasa terbuka menerima cadangan atau maklum balas daripada pihak pembangkang mengenai MoU itu.
“Tunggulah (jika ada) cadangan balas. Kalau ada, saya akan bincang, bawakan mesyuarat di peringkat jawatankuasa parti-parti dalam kerajaan Madani. Kemudian kita panggil mereka untuk bincang. Tidak ada perbincangan sehingga mereka kemukakan cadangan balas,” katanya.
Syed Saddiq terima peruntukan, Muhyiddin kata tak apalah
Pembangkang menolak Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sebelum ini kerana syarat yang ditetapkan kerajaan disifatkan terlalu ketat dan tidak adil. Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam syarat tersebut, PN seolah-olah perlu menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan hanya untuk mendapatkan sejumlah peruntukan.
“Saya baca kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yussof), dia kata Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar) terima. Biarlah kalau Syed Saddiq terima dan PN ada sebab dan asas kenapa tak boleh terima. Dia (kerajaan) punya syarat itu agak luar biasa, ketat macam kita terpaksa serah segala-galanya kepada Pakatan Harapan hanya kerana nak dapat peruntukan RM200,000, RM300,000,” katanya ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Parti Pribumi Bersatu Negeri Sembilan
Beliau berkata demikian menjawab mengenai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dijangka menerima peruntukan untuk kawasan Parlimennya berikutan kerajaan bersedia mempertimbang permohonannya. Tambah Muhyiddin, seperti mana dijelaskannya sebelum ini, syarat ditetapkan kerajaan itu adalah tidak adil.

Menurutnya, ketika PN mentadbir kerajaan, semua ahli Parlimen pembangkang menerima peruntukan tanpa dikenakan sebarang syarat.
“Kalau ikut waktu kita jadi kerajaan PN dulu, kita bagi semua tak bersyarat. Sebabnya, duit itu bukan kita guna peribadi, tapi untuk rakyat di kawasan berkenaan. Dengan tindakan dia (kerajaan) memilih-milih bermakna dia mendiskriminasi antara yang menyokong dan tidak sokong,” katanya.
Beliau percaya Syed Saddiq mempunyai sebab tersendiri untuk menerima syarat ditetapkan kerajaan, tetapi tidak kepada PN. Tambahnya, pihaknya juga telah berusaha berunding beberapa kali dengan kerajaan berhubung peruntukan yang diharapkan.
“Kalau media bacalah apa syarat-syaratnya, semua orang kata, ini tak patut, tak munasabah, macam-macam kena sokong, macam-macam perkara. Macam kami yang ada pengalaman, kami teliti dan kami tahu ini bertentangan dengan prinsip kami, tak boleh terimalah,” katanya.
Pada September tahun lalu, media melaporkan PN sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen PN. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan menolak cadangan MoU itu kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama, selain boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa, serta mengongkong kebebasan.