SG4, Mahathir kata akan bagi sama rata, Samsuri kata sebaliknya

f1 min (17)

Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menubuhkan sebuah syarikat dinamakan SG4 Sdn Bhd bagi berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada empat-empat negeri itu secara saksama.

Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi syarikat tersebut, setiap negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu akan memiliki saham dan ekuiti yang sama.

Menurutnya, setiap negeri memiliki 25 peratus saham syarikat tersebut dan ia bagi memastikan negeri yang ketinggalan jauh seperti Perlis, juga mendapat hasil yang sama seperti negeri lain.

Ketika ditanya aspek ekonomi yang akan menjadi tumpuan syarikat tersebut, Dr Mahathir menegaskan elemen nadir bumi (REE) antara yang akan diberi perhatian.

“Umpamanya kita percaya industri nadir bumi ini satu punca kekayaan. Jadi REE ini bukan ada sama rata di setiap negeri, satu negeri mungkin lebih daripada negeri lain. Justeru dalam satu syarikat ini kita agih segala hasilnya secara saksama,” katanya.

SG4 tubuh syarikat, agih hasil sama rata kepada empat negeri – Tun Dr Mahathir

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 yang turut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Bangi

Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan syarikat tersebut sudah didaftarkan beberapa bulan lepas. Menurutnya, terdapat lima kluster ekonomi digariskan dalam perancangan syarikat tersebut, melibatkan lima aspek ekonomi dengan nadir bumi juga termasuk dalam kluster berkenaan.

“Macam Tun Dr Mahathir sebutlah…Terengganu, Kelantan mempunyai elemen nadir bumi yang terbesar di Malaysia, begitu juga di Kedah.
“Di Perlis, tiada nadir bumi tapi ada dolomite yang digunakan untuk proses proses nadir bumi ini,” katanya.

Ahmad Samsuri kata pendapatan empat negeri tidak akan digabung

Hasil pendapatan empat kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) atau SG4 tidak akan digabungkan dalam syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group).

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan pendapatan yang diperoleh di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis adalah berbeza dengan hasil syarikat berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pembahagian pendapatan sebanyak 25 peratus daripada pemilikan saham dalam syarikat tersebut yang ditetapkan sebelum ini juga tidak melibatkan perolehan negeri berkenaan.

“Kita belum putuskan lagi sebenarnya. Itu pembahagian dari segi untung syarikat bukan hasil pada negeri.

“Hasil negeri tertakluk pada negeri masing-masing sebagai contoh hasil di Terengganu maka Terengganu lah menikmati hasil. Hasil negeri tidak digabungkan. Itu kena beza operasi syarikat dengan operasi apa diterima negeri. Saya rasa ramai orang keliru sebenarnya… Bayangkan kita bahagikan hasil di Kedah dan bahagikan dengan negeri lain, tidak. Operasi syarikat adalah perkara berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada konvoi motosikal Kembara Terengganu Sejahtera sempena Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu di pekarangan Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan menerusi syarikat tersebut, setiap negeri terlibat mempunyai kepentingan sama rata iaitu sebanyak 25 peratus.

Dr Mahathir berkata, syarikat yang diberi nama SG4 Group itu ditubuhkan beberapa bulan lalu dan dimiliki bersama Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Beliau berkata, syarikat yang ditubuhkan itu memfokuskan lima kluster iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri, pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber pendapatan baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa penubuhan syarikat itu bukan bertujuan mengejar keuntungan sebaliknya mengukuhan kerjasama empat negeri tersebut.

“Saya rasa paling penting bukan keuntungan (syarikat) itu yang dikejar. Yang kita mahu ialah ‘consolidation of bargain power’ dalam menjalankan apa-apa urusan,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas masa depan SG4 sekiranya berlaku perubahan kerajaan negeri selepas pilihan raya umum (PRU), Ahmad Samsuri menyatakan SG4 akan membuktikan potensi terlebih dahulu kerana masih mempunyai tempoh dalam tiga tahun ini.

“Itu cerita panjang lagi. Kita ada tempoh dua tahun setengah (hingga) tiga tahun ini.

“Kita membuktikan potensi dahulu. Cerita pilihan raya itu…kita tengok selepas pilihan raya,” jelas beliau.

Umno kritik penubuhan SG4

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan kedudukan syarikat SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) sekiranya satu atau dua kerajaan negeri Perikatan Nasional itu bertukar tangan.

Mohd Puad berkata, ini kerana bukan mustahil negeri Terengganu, Kedah dan Perlis dirampas semula Barisan Nasional (BN).

“Apa akan jadi kepada Syarikat SG4 jika satu atau dua kerajaan negeri PN bertukar tangan. Akan timbul banyak masalah baik dari segi pekerja, aset, saham dan lembaga pengarah.

“Tidak pernah empat negeri berkongsi buat satu syarikat, Sanusi pula tidak suka kongsi. Takut Sanusi kata Kedah rugi sejak Tuhan buat dunia ini lagi,” katanya menerusi laman Facebook

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Raqib Abu Hassan berkata, penubuhan syarikat SG4 Group Sdn Bhd didakwa memiliki konsep sama seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB); ini kerana syarikat berkenaan berperanan menarik pelabur masuk dan mengambil hasil daripada empat negeri terlibat.

Menurutnya, sebelum ini Ketua Panel Penasihat SG4, Tun Dr Mahathir Mohamad antara individu yang menentang penubuhan syarikat 1MDB oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun kini mewujudkan sebuah syarikat seakan-akan 1MDB.

“Apa yang saya lihat penubuhan syarikat SG4 Group ini meniru konsep 1MDB.

“Penubuhan syarikat SG4 Group dianggotai empat negeri diperintah oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Kedah. Mereka mengatakan syarikat ini mampu untuk tarik pelabur-pelabur dari China, Korea, dan Jepun.

“Dahulunya, mereka yang menentang penubuhan 1MDB oleh Najib terutamanya Tun Mahathir sendiri, akhirnya mereka pula menubuhkan syarikat ‘ala-ala’ 1MDB. Kita lihatlah apa akan terjadi selepas ini,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mohd Raqib berkata, kekalahan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu juga didakwa berpunca daripada hasutan oleh Tun Mahathir berkaitan 1MDB.

“Dulu Tun Mahathir sendiri yang sering ‘serang’ 1MDB bermula dari tahun 2014 hinggalah 2018. Beliau tiupkan sentimen supaya rakyat tolak UMNO sehingga menyebabkan kekalahan UMNO/BN, dengan mengaitkan peranan Najib dalam penubuhan 1MDB.

“Sekarang, beliau berjaya mengajak empat negeri menubuhkan syarikat ‘ala-ala’ 1MDB untuk menarik pelabur,” ujarnya.

Menurutnya lagi, diharap rakyat dapat menilai apa yang berlaku agar tidak terpedaya dengan agenda penubuhan SG4 Group.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *