Sistem leceh dan beban tugas yang banyak disenaraikan punca guru bersara awal, ini ceritanya

gurupencenawalf1

Sempena Hari Guru pada hari ni, peranan dan tanggungjawab guru seringkali menjadi tema utama dalam sambutan seluruh negara. Ada kalangan kita jugak yang mengambil waktu ni untuk cari semula guru-guru masa zaman sekolah dulu dan bertanya khabar. Tak kurang jugak, ada yang memberikan hadiah atas dasar hormat dan budi kepada guru. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi isu guru di sekolah yang belum terselesai.

Salah satunya adalah isu guru bersara awal. Pada awal Februari lalu, isu ni dibangkitkan dan dikaitkan dengan pandemik Covid-19. Menteri KPM pulak kata faktor pandemik tak dilihat sebagai faktor utama dalam isu guru bersara awal. Sementara KPM umumkan nak kaji, ada je sebenarnya yang dah awal-awal senaraikan beberapa sebab kenapa guru nak pencen awal.

guru fmt
Via FMT

Saarani kata pihaknya ada terima laporan guru nak pencen awal kerana pandemik, lebih 10,000 guru dah mohon

Pada 17 Februari lalu, portal media Utusan melaporkan bahawa terdapatnya isu guu nak pencen awal akibat pandemik. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohammad kata pihak terima laporan mengenai guru yang hilang tumpuan disebabkan wabak tu. Saarani kata dia terkejut bila terima berita tersebut.

Ditemui pemberita lepas pelancaran program di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani:

“Semasa saya pergi ke Gerik, Pegawai Pendidikan Daerah melaporkan ada guru-guru yang hilang fokus nak pencen awal, misalnya yang berumur 40 tahun. Cikgu adalah ejen, pemimpin dan pemberi motivasi, jadi cikgu tidak boleh ada ayat itu (berhenti sebab Covid-19) dia mesti mengajak masyarakat melawan Covid-19, itu semangat yang saya hendak,”- seperti yang dilaporkan Utusan

Bila ditanya mengenai jumlah guru yang memohon berhenti disebabkan Covid-19, Saarani kata pihaknya tiada data jumlah sebenar. Menurutnya, kerajaan negeri sebenarnya tak halang kalau guru yang memohon pencen awal tu kerana faktor kesihatan semasa pandemik. Tapi kalau sebab utamanya hanya kerana hilang fokus, tu dah jadi isu lain.

“Cikgu yang sakit itu tajuk lain, kalau cikgu masih ada tenaga jangan dia gunakan perkataan dia berhenti kerana Covid sebab itu memusnahkan semangat orang ramai.

Minta tolong sangat, jangan letak jawatan semata kerana Covid-19 sebab anak-anak kita, pelajar kita, generasi kita, berhadapan dengan bermacam masalah dan cikgulah orang yang patut membantu dan memimpin,”- seperti yang dilaporkan Utusan

Kemudian pada akhir Mac pulak,hal ni dibangkitkan semula oleh Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP). Diorang gusar dengan ‘trend’ bersara awal dalam kalangan guru ni, dan menganggarkan lebih daripada 10,000 guru dah buat pilihan nak bersara awal pada setiap tahun sejak kebelakangan ni.

Pelajar Sekolah Guru
Via Disted

Mengikut Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, angka ni jauh melebihi yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021. Sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat guru bermula Januari tahun lepas. Jika anggaran NUTP tu benar, maka trend bersara awal ni memang sangat membimbangkan. Oleh demikian, dia sarankan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pendidikan panggil KPM untuk jelaskan perkara ni supaya dapat buat penyelesaian jangka panjang.

“Sekiranya berlarutan, negara bakal menghadapi krisis pendidikan yang lebih kritikal. Ia akan memberi kesan kepada kualiti dan kebolehsaingan sistem pendidikan kita. Aspirasi untuk menjadikan sekolah dan mutu pendidikan Malaysia setaraf mutu antarabangsa akan pasti terjejas…

Guru adalah katalis sangat penting dalam memajukan bangsa dan negara. Mereka mempunyai pengaruh luar biasa dalam mencorakkan keperibadian dan pemikiran generasi pelapis.

Justeru, kebajikan mereka adalah keutamaan yang tiada kompromi. Dan jika begitu ramai guru-guru mengakhiri karier mereka pada saat mereka masih produktif dan boleh menyumbang dengan berkesan, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan Kementerian Pendidikan Malaysia,”- seperti yang dilaporkan Ismaweb

guru politik
Via FMT

Kadar guru bersara awal hampir sama dengan kadar guru bersara wajib, KPM akan teliti lagi

Menteri KPM Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan bahawa kadar guru yang bersara awal hampir menyamai kadar guru yang bersara wajib. Pihak KPM sedang memperincikan satu persatu maklumat berkenaan situasi tersebut sebelum dikongsikan kepada umum. Perkara ni perlu perincian menyeluruh termasuklah corak dan trend yang mendorong guru-guru untuk bersara lebih awal.

“Kita melihat perincian data ini bukan sahaja dari jumlah tetapi juga perkara-perkara lain termasuklah apabila ramai yang bercakap macam-macam. Kita juga sedang menyusun data untuk melihat punca satu persatu termasuklah bagaimana keadaan guru serta lama di dalam karier sebelum membuat keputusan bersara awal,”- Dr. Radzi Jidin, seperti yang dilaporkan Kosmo

Hal ni mengingatkan kami pada satu laporan PAC berkenaan Mysejahtera dulu. Kalau benar kementerian atau sesuatu badan, agensi kerajaan nak semak… sebenarnya boleh je dilakukan dengan pantas. Sekarang dah masuk bulan Mei, namun isu ni dah tenggelam semula.  Menurut Dr. Maszlee Malik, isu ni dah beberapa kali dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

gurubersaramaszlee
Via Malaysiakini

Terdahulu pada November tahun lalu, Maszlee jugak pernah utarakan isu sama dalam sidang Parlimen. Dia dilaporkan berkata, alasan yang seringkali dikemukakan guru yang nak bersara awal adalah kelesuan atau ‘burnout’ disebabkan bebanan kerja yang disifatkan terlampau banyak.  Hal ni mengundang komen dari bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. Baginya, kesihatan mental guru perlu diberi perhatian khususnya sejak pandemik ni.

Beban kerja guru semakin meningkat kerana keperluan pengajaran dan pembelajaran dalam talian jugak turut meningkat. Ditambah lagi, tanggungjawab bukan mengajar tu jugak ada kena mengena dengan trend bersara awal. KPM kena tengok kesihatan mental guru yang terbeban dengan tugas bukan mengajar selain perlu memastikan tugasan hakiki diorang dilaksanakan.

“Profesion perguruan memerlukan persediaan yang rapi daripada segala semua aspek termasuklah mental, fizikal dan tenaga. Tenaga yang mereka perlukan dalam mengendalikan kelas bukanlah sedikit. Jika mereka perlu melaksanakan tugas bukan mengajar, bagaimana dengan tenaga untuk mengajar dengan berkesan di dalam bilik darjah?”- seperti yang dilaporkan Berita Harian

https://www.youtube.com/watch?v=Dlyhfrt38Pk&ab_channel=BuletinTV3

Sistem yang leceh dan beban tugas guru termasuk dalam senarai yang perlu difikirkan KPM

Kami rasa terpanggil jugak nak selitkan sekali luahan minda dari sebuah artikel yang disiarkan pada 2 April tahun ni di Utusan.com. Dalam segmen Forum tu, Abdul Hamid dari Temerloh, Pahang berkongsi sedikit buah fikirnya mengenai isu guru pencen awal. Katanya, benda ni dah lama iaitu sejak 1980-an lagi. Akan tetapi, ia beransur-ansur jadi besar terutamanya bila diperkenalkan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Berdasarkan pengalamannya, dalam banyak-banyak masalah guru ni… kalau ditulis memang tak cukup. Namun memadai untuk siaran tersebut, dibangkitkan dua isu utama. Pertamanya, soal suasana tempat kerja yang tak kondusif. Selain isu infrastruktur, jumlah murid terlalu ramai dalam sesebuah kelas selalunya melebihi paras ideal iaitu 15 orang.

gurukelassempit
Via Sinar Harian

Memang ada usaha kerajaan nak buat sekolah baharu terutamanya di bandar bagi mengimbangi pertambahan murid. Tetapi pembinaannya tetap sukar dilaksanakan segera kerana ia melibatkan harta awam dan takde kawasan sesuai serta selamat nak dijadikan tapak sekolah. Bila tempat kerja dirasakan tak seronok bagi guru dan pelajar, maka berlakulah isu pelajar ponteng kelas dan guru tertekan fizikal dan mental dalam menangani masalah di tempat kerja.

Selain tu, banyak cadangan dan janji kerajaan yang akhirnya takde kesudahan. Contohnya, nak kurangkan subjek dan beban buku teks murid ke sekolah. Dulu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr. Amin Senin pernah syorkan agar pengurangan buku teks murid sekolah rendah dilaksanakan. Akan tetapi, semua senyap takde perbincangan. Kalaulah cadangan tu diluluskan, sudah pasti masalah beg murid dengan buku teks yang berat tu boleh diatasi sekarang. Bagi guru, kerja jadi lebih mudah dan tak tertekanan dengan silibus yang banyak serta tak perlu isi pelbagai borang dan data.

bukuteksberat
Via Berita Harian

Mengikut carian kami lagi, ada jugak laman pendidikan dan perguruan yang siap senaraikan 18 poin kenapa guru nak pencen awal. Rupanya bebanan tugas guru cuma satu je daripada banyak sebab. Kami dapat rumuskan ada tiga perkara utama yang mencetuskan dilema buat para pendidik.

  • Sistem sedia ada banyak birokrasi, dan dilihat banyak utamakan pengurusan cemerlang berbanding benar-benar peduli pada pencapaian dan hala tuju murid. Kehendak orang atasan khususnya yang di pejabat dipenuhi dahulu, terutamanya bila diorang minta data.
  • Peranan guru diperbanyakkan – menjadi pendidik, pentadbir dan pelaksana dasar pendidikan. Rata-rata lebih tak gemar menjadi pentadbir (yakni urus data untuk pejabat pendidikan dan jabatan).
  • Ada yang memang nak bersara awal khasnya bila memikirkan tanggungjawab dan amanah yang dipikul semakin berat tapi kudrat semakin kurang, selain nak beri peluang kepada guru-guru muda berkhidmat.
sistemdataguru
Via Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi

Kami harap untuk Hari Guru ni, slogan megah “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera” ni bukanlah sekadar hiasan untuk melengkapkan senarai program sambutan yang dilakukan oleh kerajaan. Slogan tu harus dimaknai lebih besar dan lebih serius. Jika benar guru itu tunjang sekolah sejahtera, maka mengehadkan peranan guru itu pada komitmen terhadap sekolah dan kesejahteraan murid sahaja lebih baik agar diorang tak lagi hilang fokus dan tenaga ke arah sistem pengurusan dan pentadbiran yang diperlukan oleh pihak atasan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *