Speaker Dewan Rakyat masih meneliti status enam ahli Parlimen

f1

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul belum menerima sebarang notis rasmi daripada mana-mana pihak, berhubung kekosongan kerusi membabitkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang digugurkan keahlian mereka dalam parti.

Johari berkata, beliau juga memerlukan masa untuk meneliti semua perkara dengan cermat, terutama melibatkan undang-undang termasuk akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663), sebelum memutuskan sebarang keputusan terhadap mereka.

“Pertamanya, pada masa ini belum ada lagi (notis dihantar). Apa berlaku di luar itu pada saya adalah noise dan selagi saya tak menerima secara hitam putih apa yang disebut oleh parti, apa tindakan diambil oleh parti terhadap parti mereka, saya rasa itu bukan bidang kuasa saya…saya tidak harus masuk campur.

“Kedua, saya ambil sikap bahawa mereka mungkin ahli parti, tetapi apabila mereka mengangkat sumpah di depan saya untuk menjunjung Perlembagaan dan taat setia kepada Malaysia di hadapan saya, jadi saya harus mengambil tanggungjawab untuk mempertahankan kebebasan dan hak Parlimen,” katanya

Beliau berkata demikian sebelum dibawa melawat Kyoto State Guest House yang merupakan sebuah penginapan rasmi untuk tetamu negara bagi Jepun, dengan Johari turut diberi penghormatan untuk menginap di situ.

Johari kini dalam rangka lawatan rasmi lima hari bersama delegasi Parlimen Malaysia ke Jepun bermula Isnin, atas undangan Speaker Dewan Perwakilan Jepun, Fukushiro Nukaga.

Turut menyertai delegasi itu ialah Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin; Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Alam Sekitar, Sains dan Perladangan, Vivian Wong Shir Yee (Sandakan); dan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol).

Johari berkata, sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau akan mengambil tanggungjawab untuk menilai setiap tindakan wakil rakyat sebagai Ahli Parlimen dan bukan ahli mana-mana parti.

“Untuk saya mengambil tindakan, saya mesti berhati-hati, saya mesti mendalami segala-galanya, semua aspek sebab apa juga keputusan yang saya buat (bukan sahaja) akan memberi kesan kepada ahli parti itu atau Ahli Parlimen tetapi juga negara.

“Saya mengambil sikap amat berhati-hati serta cermat dan selagi saya tidak yakin dengan keputusan yang saya buat itu, saya tak akan buat dulu. Saya amat berhati-hati bukan sahaja undang-undang tetapi moral dan segalanya saya kena pastikan bahawa tindakan saya itu betul dan saya tidak mahu dipersalahkan atau rasa bersalah apabila saya tidak berada di jawatan itu nanti,” katanya.

Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti, untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Kuasa menentukan akan terletak di tangan Speaker

Kedudukan kerusi enam Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama ada kekal atau dikosongkan akan ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, beliau percaya kedudukan wakil rakyat berkenaan, akan ditentukan berdasarkan peruntukan yang terkandung di dalam akta anti lompat parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663).

Ahmad Zahid berkata, beliau juga menunggu keputusan yang akan dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, sekiranya notis pengosongan kerusi dibawa ke sidang Parlimen pada hujung bulan nanti.

“Kita serahkan kepada budi bicara speaker dan tunggu persidangan Parlimen pada hujung bulan ini,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP)

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan keahlian wakil rakyat Bersatu yang tidak mematuhi arahan kepemimpinan, terhenti serta-merta.

Mereka ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang Abdul Rashid Asari.

Bersatu tidak perlu menunggu sehingga sidang Parlimen

Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu memaklumkan kekosongan kerusi tujuh wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seperti yang termaktub dalam Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional (KPPP) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berpendirian bahawa keanggotaan tujuh wakil rakyat parti itu telah dilepaskan selepas kegagalan untuk mematuhi arahan Bersatu bagi menyatakan kesetiaan dalam tempoh 14 hari.

Menurut badan pemikir itu, pelepasan keahlian berkenaan tidak boleh disalah erti sebagai pemecatan yang mempunyai implikasi perlembagaan berbeza.

“Bersatu tidak perlu menunggu sehingga Dewan Rakyat bersidang pada 24 Jun untuk melakukan perkara ini. Pemakluman ini wajar dilaksanakan secara profesional dan tidak dijadikan aksi politik. Penangguhan maklum kepada Speaker Dewan Rakyat akan mengganggu proses dan persediaan SPR untuk pilihan raya kecil (PRK) yang perlu berlaku,” katanya

Sebelum ini, Razali memaklumkan Bersatu akan menghantar notis kekosongan kerusi Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat, selepas keahlian enam ahli Parlimennya digugurkan secara automatik pada akhir bulan lalu.

Mengulas lanjut, menurut KPPP, Bersatu juga perlu memaklumkan kepada Speaker DUN Selangor, Lau Weng San berhubung pelepasan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Kenyataan itu berkata, kelima-lima wakil rakyat itu telah dipilih sebagai ahli Perikatan Nasional (PN) melalui keahlian Bersatu menyebabkan pemberhentian tersebut mengakibatkan kerusi mereka dikosongkan.

“Pelepasan keahlian untuk Ahli Parlimen Gua Musang yang juga ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik tidak menyebabkan kerusi tersebut dikosongkan kerana mereka telah dipilih sebagai calon Pas. Bagaimanapun, kedua-duanya perlu sukarela meletakkan jawatan bagi membolehkan PRK diadakan agar pengundi boleh menentukan sama ada mereka menyokong wakil rakyat tersebut yang telah berubah haluan. Oleh itu, Speaker Dewan Rakyat dan DUN perlu memaklumkan SPR kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 21 hari daripada notis oleh Bersatu.” Menurut kenyataan yang dikeluarkan KPPP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *