Sejak peletakkan jawatan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan Malaysia, kita tertanya-tanya; siapa bakal menggantikan jawatan penting ni? Kalau korang rajin godek-godek artikel kat Internet, korang boleh nampak beberapa nama naik. Kebanyakan nama tu datang dari parti Bersatu, memandangkan sebelum ni Maszlee datang dari parti Bersatu.
Hari ni teka-teki tentang jawatan tu terjawab, dan ramai je orang tembak tak kena. Cuma untuk kami, ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan…
Tun Mahathir akan memangku jawatan Menteri Pendidikan, sehingga penggantinya di jumpai
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan memangku jawatan Menteri Pendidikan berikutan kekosongan yang ditinggalkan Dr Maszlee Malik. Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya kata – perkara tu dah dipersetujui jemaah menteri dalam mesyuarat pra kabinet semalam.
“Ia berkuat kuasa 3 Januari lalu sehingga menteri pendidikan yang baharu akan dilantik,” – Menurut kenyataan tersebut
Maszlee yang merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam dilantik sebagai menteri pada Mei 2018. Peletakan jawatannya minggu lepas menimbulkan pelbagai spekulasi sebab ada portal berita dedahkan kandungan dipercayai satu surat arahan peletakan jawatan kepada Maszlee.
Surat tu mengandungi 17 perenggan ditulis sendiri Mahathir didakwa dihantar ke pejabat Maszlee pada 27 Disember lalu. Laporan berita tu dedahkan kandungan surat; menyatakan Maszlee gagal mengikut nasihat dan beberapa kali langgar keputusan Kabinet.
Sebenarnya dari awal lagi Tun Mahathir nak jadi Menteri Pendidikan, tapi…
Sebenarnya, sejak dari awal Perdana Menteri kita, Tun Mahathir Mohamad ada hajat nak menggalas satu portfolio Kabinet sebagai Menteri Pendidikan. Dia nak jawatan tu sebab sifatkan sistem pendidikan kita tengah berada kat kedudukan ‘kebelakang’.
“Saya pegang portfolio pendidikan kerana ramai yang tidak berpelajaran. Teknik pengajaran adalah kebelakang. Kita patut pelopori teknik pengajaran baharu selain memastikan guru fokus kepada pengajaran,” – Tun Mahathir, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Dia pernah kata macam tu pada satu sidang media beberapa minggu selepas Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada PRU14.
Cuma, pengumuman yang dia lakukan tu tak dapat sambutan yang baik dari rakyat. Ramai yang tak setuju Perdana Menteri pegang apa-apa portfolio supaya dia boleh fokus untuk bangunkan negara. Bukan setakat tu je, kita jugak tak mahu Perdana Menteri terlebih kuasa; macam yang terjadi dengan kerajaan kita sebelum ni.
Akibat daripada respons rakyat ni, masa tu – Tun Mahathir tak jadi dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Dia pun bagilah kita Maszlee. Cuma kami pun tak tahulah – adakah ini takdir apabila Maszlee pulak ada prestasi yang bermasalah; akhirnya jawatan tu dapat kat Tun Mahathir jugak.
Sebelum PRU14, PH dah janji yang PM takkan pegang jawatan menteri lain
Perdana Menteri tak akan memegang jawatan menteri lain, terutama jawatan Menteri Kewangan sekiranya Pakatan Harapan menang pada pada Pilihan Raya Umum Ke-14, ini adalah janji yang ditawarkan oleh PH beberapa bulan sebelum PRU14. Ramai yang senang dengan pengumuman ni sebab macam yang kami kata tadi, PM tak boleh terlalu berkuasa.
Masa tu, ia dibuat melalui kenyataan bersama Majlis Pakatan Harapan. Diorang juga kata kerajaan PH juga akan turunkan bilangan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada tiga orang je. Kenyataan bersama ni dikeluarkan oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.
Dalam kenyataan tu, PH kata nak reformasi peranan Kabinet dan JPM secara keseluruhannya supaya sistem pentadbiran kabinet kolektif akan kembali diamalkan di negara ini.
“Demi rakyat dan negara, sertailah kami akan membentuk sebuah kabinet berwibawa, berpengalaman, berkelayakan dan berkemampuan agar membawa Malaysia ke satu arah yang betul serta makmur,” – Menurut kenyataan tu, seperti yang dilaporkan Astro Awani
Ia adalah satu lagi bentuk pelanggaran janji dari PH, tentunya tak baik untuk imej mereka
Mustahil kita dapat melupakan lawak yang dicipta oleh Mat Sabu tentang peranan Najib sebagai Menteri Kewangan, Pengerusi 1MDB dan Perdana Menteri dalam masa yang sama. Bila 1MDB habis duit, Najib mintak dengan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan pun bincang dengan Perdana Menteri. Ia sebenarnya lebih bermakna daripada sekadar jenaka, dalam mana-mana negara; Perdana Menteri tidak boleh terlalu berkuasa.
Ia juga adalah pelanggaran janji yang dilakukan oleh Pakatan Harapan; bukanlah langkah ke hadapan jika mereka mahu menawan hati rakyat. Tahun 2020 adalah tahun penting untuk Pakatan Harapan, ia boleh menjadi tahun yang akan beri gambaran bagaimana prestasi mereka menghadapi PRU15.