Presiden Putra, Ibrahim Ali membidas kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mengatakan adalah “tidak munasabah” untuk memilih Dr Mahathir Mohamad bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Ibrahim persoalkan jika faktor usia menjadi ukuran, mengapa bekas perdana menteri itu dilantik sebagai penasihat empat kerajaan negeri yang ditadbir PAS (SG4).
Malah katanya, jika faktor usia diambil kira, Abdul Hadi juga perlu memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda untuk menyandang jawatan sebagai presiden PAS.
“Presiden PAS telah membuat kenyataan menolak bulat-bulat cadangan Tun M sebagai calon Parlimen Kemaman dengan alasan tidak munasabah. Agak terkejut juga saya alasan yang diberi tidak munasabah.
“Apa yang dikatakan tidak munasabah? Apakah kerana umur atau Tun M tidak layak.
“Jika kerana umur, maka Abdul Hadi juga kena beri laluan jawatan presiden PAS kepada pihak yang lebih muda kerana umurnya sudah lanjut dan sudah bertongkat. Manakala, Tun M belum lagi bertongkat dan cergas bergerak sana sini hingga saban hari keluar negara.
“Jika Tun M tak munasabah dicalonkan untuk Parlimen Kemaman, apakah munasabah Tun M dilantik sebagai penasihat SG4?” soal Ibrahim dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Abdul Hadi berkata adalah tidak munasabah untuk parti itu mencalonkan Dr Mahathir bertanding pada PRK Kemaman.
Katanya, jika pihak tertentu mahu menimbulkan sebarang cerita berhubung calon PRK Kemaman, ia perlu dilakukan berlandaskan cerita yang munasabah.
“Tidak….tidak munasabah hendak timbulkan (cerita) berhubung calon PRK Kemaman… biarlah munasabah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar PAS Ke-69 di Pusat IDCC di Shah Alam.
Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya mengenai calon PAS untuk PRK Kemaman yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2 Dis depan.
Mengulas lanjut, Ibrahim mengingatkan PAS tentang keikhlasan bukan sahaja terletak pada “ucapan di bibir”.
“Jika kena dengan kepentingan diri atau parti maka warna putih boleh menjadi hitam. Janganlah kedekut bila kita sudah berharta kerana Allah tidak suka kepada orang yang kedekut.
“PAS sudah mempunyai jumlah ahli Parlimen yang banyak iaitu 43 selepas PRU-15 dan hilang satu kerusi Kemaman. Apakah ruginya jika diberi satu kerusi Kemaman ini kepada Tun M.
“Seluruh dunia akan tertumpu ke Kemaman dan nama PAS akan melonjak di persada dunia.
“Peranan Tun M sebagai penasihat SG4 akan lebih berkesan. Perahlah susu dan tadahlah dengan mangkuk, dan bukan tempurung,” katanya.
Meletakkan Tun M sebagai calon adalah langkah kamikaze
Sebarang tindakan oleh PAS untuk mencalonkan Dr Mahathir Mohamad pada PRK Parlimen Kemaman ini disifatkan “langkah kamikaze” oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi.
Puad berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Salleh Said Keruak, bekas pemimpin Umno Sabah dan menteri persekutuan, bahawa PRK Kemaman menjadi satu cara untuk mengembalikan Mahathir ke Dewan Rakyat, selaras cita-cita PAS untuk kembali berkuasa pada peringkat persekutuan.
“Tidak mungkin PRK Kemaman akan jadi tiket ke Putrajaya kalau Tun M jadi calon. Menang satu kerusi tidak ubah apa apa. Ia langkah kamikaze,” katanya di Facebook.
Salleh mencadangkan jika memenangi kerusi Kemaman, Mahathir juga boleh menjadi calon perdana menteri bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bekas ketua menteri Sabah berkata, PAS amat percaya Mahathir boleh membantu parti itu, seperti dilakukan bekas perdana menteri tersebut ketika menerajui Pakatan Harapan (PH) untuk menawan Putrajaya pada PRU14 (2018) – “dengan syarat beliau menjadi Ahli Parlimen”.
Puad berkata, langkah “menjual nama Mahathir” akan menyinggung perasaan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin serta partinya, Bersatu.
“Muhyiddin dan Bersatu pasti tersinggung (jika) PAS yakin jual nama Mahathir lebih untung dari jual nama Muhyiddin. Bahkan PN akan pecah.
“(Macamlah) PAS tiada tokoh jadi perdana menteri. Sanggupkah PAS dicemari macam Tun M cemari PH selama 22 bulan?” soalnya, merujuk pada penggal singkat PH menjadi kerajaan selepas PRU14.
Semalam, Presiden PAS Hadi Awang menepis desas-desus Mahathir akan dinamakan sebagai calon PN di Kemaman.
“Tidak munasabah (Mahathir dicalonkan),” katanya pada sidang media di Muktamar PAS ke-69. Tambahnya, PAS dan PN masih belum memutuskan calon yang akan diketengahkan pada PRK itu.
PRK Kemaman diadakan selepas kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada PRU15 dibatalkan susulan dakwaan berhubung sogokan semasa tempoh berkempen untuk meraih undi.