Barisan Nasional (BN) bertekad merampas semula kerusi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai kajian dan tinjauan telah dilaksanakan parti itu bagi mengenal pasti kerusi berpotensi untuk dimenangi semula.
“Kerusi yang dimenangi Bersatu dan kerusi yang dimenangi Pas di kawasan tertentu, kita sudah lakukan tinjauan dan kajian. Kita akan berusaha bersungguh-sungguh supaya kerusi itu kembali dimenangi calon UMNO pada PRU akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja. Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Mohd Lassim Burhan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan dakwaan pembangkang yang mengaitkan UMNO sebagai sekutu langsung kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah tidak berasas. Beliau yang juga Pengerusi BN menegaskan bahawa kerjasama antara parti itu dibentuk atas dasar kepentingan negara dan demi menjamin kestabilan kerajaan perpaduan.
“Isu UMNO-DAP ni hanyalah permainan naratif pihak lawan. Dalam BN, kita ada MCA, MIC. Dalam Pakatan Harapan (PH) kita ada rakan-rakan yang bantu kita capai kemenangan. Kemenangan kita hari ini bukan sebab kita hebat tapi kerana kita dibantu oleh rakan PH dan parti lain. Saya tahu, ramai yang tak setuju, tapi itulah hakikatnya. Akhir kata, ini bukan tentang saya… ini tentang UMNO. Kita bangkit bukan sebab seorang tetapi kerana seluruh ahli dan kepimpinan yang setia,” katanya.
Sementara itu, Perikatan Nasional meragui kemampuan Umno
Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan kemampuan UMNO untuk mempertahankan 26 kerusi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu. Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemimpin UMNO seharusnya mengukur baju di badan sendiri sebelum berhasrat merampas negeri-negeri yang kini diterajui PN seperti Kedah, Perlis dan Terengganu pada pilihan raya akan datang.

“PN ini realistik, pragmatik, kita meneliti apa yang telah dan sedang berlaku sekarang ini, yang secara umumnya ramai orang Melayu, terutama ahli UMNO, sudah menolak. Persoalan pokok, bolehkah UMNO pertahankan 26 kerusi? Usah cakap mahu ambil semua kerusi lain. Saya ragu. Itu yang saya fikirkan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Kampung Jayor
Mengulas lanjut mengenai hasrat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan partinya akan bertanding di semua kerusi Bersatu dan Pas, Muhyiddin menegaskan beliau tidak menghalang niat tersebut.
“Tak apalah, bila bertanding dia (UMNO) kenalah letak calon. Dia tak kata nak bertanding tapi tak letak calon,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menegaskan PN kekal yakin dengan sokongan rakyat berdasarkan perkembangan semasa, berbanding kedudukan UMNO ketika ini yang didakwanya mengkhianati perjuangan asal.
Menurut beliau, UMNO kini turut menyokong kerjasama dengan DAP, sebuah parti yang mempunyai ideologi bertentangan dengan asas perjuangan UMNO sejak dahulu.
“Kita yakin dengan apa yang sedang berlaku, pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO terhadap ahli-ahlinya dengan meninggalkan perjuangan asal dan mendukung kerjasama dengan DAP yang sejak awal lagi bertentangan ideologi dengan UMNO. Juga lain-lain isu serta masalah negara yang didukung oleh UMNO dalam PH-BN semuanya tidak membantu perpaduan mereka,” katanya.
Akmal Saleh sedia jika Umno mahu bertanding secara solo
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan sayap itu perlu bekerja keras dan bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) seolah-olah parti bertanding secara solo tanpa bergantung kepada mana-mana pihak. Menurutnya, sebarang kerjasama hanya boleh berlaku sekiranya terdapat persefahaman, namun jika gagal dicapai, UMNO bersedia untuk bertanding solo pada bila-bila masa.
“Kalau tak ada persefahaman, UMNO sedia untuk pergi solo bila-bila masa,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menjelaskan, kejayaan UMNO di Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu tidak boleh disamakan dengan negeri lain seperti Selangor.

“Namun prinsip utama tetap sama iaitu rakyat mahu pemimpin yang bekerja, bukan muncul hanya semasa pilihan raya. Kalau kita betul-betul turun ke bawah dan berkhidmat untuk rakyat, saya percaya UMNO akan kembali bertakhta di hati rakyat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal menegaskan pentingnya kesetiaan dalam perjuangan parti sambil menyifatkan ramai pemimpin yang kekal bersama UMNO bukan kerana jawatan atau projek sebaliknya atas dasar prinsip.
“Mereka yang setia tanpa kepentingan peribadi inilah sebenarnya kekuatan UMNO, tapi setia itu bukan bermakna tunduk membuta tuli. Kalau salah, kita tegur dan jika betul, kita pertahankan,” tambah beliau.
Menyentuh usul penggantungan terhadap Datuk Seri Hishammuddin Hussein ditarik balik dan cadangan membawa masuk semula beberapa tokoh lama, Muhamad Akmal berkata, beliau bersedia menjadi jambatan untuk sesiapa sahaja yang mahu kembali menyumbang demi parti.
“Saya kata turunkan ego, kalau benar sayangkan parti, baik daripada mereka yang tinggalkan UMNO mahu pun pimpinan yang ada sekarang termasuk saya sendiri, kita kena cari kesepaduan. UMNO hari ini hanya tinggal 26 kerusi, jangan kita pecah-pecahkan lagi kerana parti ini bukan milik individu, tetapi untuk semua,” katanya.
Mengulas soal Kabinet dan kedudukan menteri selepas Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz keluar UMNO dan berhasrat menyertai PKR, Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO tidak terlalu menuntut jawatan tetapi mahu suara rakyat dibawa ke atas.
“Siapa jadi menteri bukan keutamaan kami, tapi hargailah orang yang kekal setia di bawah. UMNO tak pernah ketandusan pemimpin, kalau satu pergi, Insya-Allah sepuluh lagi akan datang dan lebih baik,” tegas beliau.