Baru je kita dah rasa macam nak kembali ke normal, tiba-tiba ada pulak varian baharu muncul. Sebenarnya dalam hujung tahun ni, ada dua varian baharu dah dikenalpasti iaitu varian Mu dan kini, varian Omicron. Namun sedikit berbeza dengan Mu, Omicron ni dah sampai pulak ke Malaysia hanya selang beberapa minggu selepas berjaya dikenalpasti oleh para saintis virologi. Susulan berita tersebut, banyak laporan media yang kata Omicron ni lebih bahaya berbanding varian terdahulu. Betul ke? Ini lima fakta tentang Omicron yang korang perlu tau!
1. Nama Omicron dipilih melangkau dua nama lain selepas nama varian Mu
Seperti yang korang sedia maklum, WHO sejak awal pandemik dulu dah gesa supaya nama awalnya, virus Wuhan ditukarkan kepada COVID-19. Ni diambil sebagai langkah nak pastikan nama virus tu tak menyentuh sebarang nama negara, kaum, agama dan lokaliti.
Oleh tu, nama varian dah ditukarkan kepada nama huruf Greek – jadilah apa yang kita kenal sekarang seperti varian Alpha, Beta, Delta, Lambda, Mu.. dan sekarang ni pulak, Omicron. Namun taukah korang, nama Omicron tu dipilih selepas melangkaui dua huruf yang sepatutnya datang selepas Mu?
Menurut penjelasan WHO dalam kenyataan yang die-melkan kepada CNN, diorang tak guna sebutan Nu sebab dikhuatiri ada iras dengan perkataan Inggeris ‘new’ yang bermaksud baharu. Manakala Xi pulak tak digunakan sebab ia merupakan nama keluarga yang biasa digunakan khususnya di Asia Tengah. Oleh sebab tu, diorang langkau terus ke Omicron – yang mana takde persamaan dengan nama orang atau tempat, perkataan seharian dan lain-lain.
Kalau ada lagi varian baharu muncul dan dikenalpasti… ada sembilan lagi huruf Greek yang masih ada: Pi, Rho, Sigma, Tau, Upsilon, Phi, Chi, Psi, Omega. Namun dalam telahan kami, boleh jadi Chi pun tak digunakan memandangkan ia jugak mirip nama keluarga yang biasa ditemukan di Asia Tengah dan Tenggara.
2. Kandungan ‘spike protein’ Omicron lebih banyak dari varian terdahulu
Seperti yang kita faham, sebelum ni setiap varian tu ada sedikit mutasi daripada varian gelombang pertama pada awal 2020 dulu. Koronavirus biasanya buat replika sendiri dalam badan manusia, jadi semakin ramai dan semakin lama ia dapat membiak… maka semakin ‘bijak’lah virus tu.
Pengkaji dari Afrika Selatan adalah pihak pertama yang laporkan diorang jumpa varian baharu Omicron, dilaporkan mempunyai lebih dari 30 mutasi dalam ‘spike protein’nya. Spike protein ni komponen di permukaan virus tu, membenarkan diorang melekat kat sel manusia dan kemudiannya masuk ke dalam badan. Satu sampel di Botswana pulak dikenalpasti mempunyai 50 mutasi – jumlah yang jauh lebih banyak berbanding varian lain.
Yang buat ramai pengkaji gusar adalah kemungkinan jumlah ‘spike protein’ tu boleh elak antibodi yang terhasil dari badan sama ada dari jangkitan lalu atau vaksinasi. Mutasi tu jugak mungkin boleh kurangkan keberkesanan rawatan. Walaupun begitu, harus disebutkan jugak tentang varian awal seperti Beta dan Mu.
Diorang pun ada kebolehan untuk elak pertahanan antibodi, tapi diorang takdelah jadi ancaman besar kerana diorang tak mampu tersebar luas. Setakat ni, Omicron masih boleh dikenalpasti dengan ujian calitan hidung… jadi kita masih boleh kenalpasti pesakit yang terjangkit dan buat langkah susulan mengekang penularan virus tersebut.
3. Pengeluar vaksin utama dunia sedia ubah formula tangani Omicron
Ada jugak yang kata disebabkan kemunculan Omicron ni, boleh jadi vaksin dulu tu tak mampu tandingi varian kali ni. Walau bagaimanapun, pengeluar vaksin tetap yakin bahawa vaksin diorang mampu melawan varian Omicron. Diorang akan tetap kaji dan kumpul data baharu berkenaan Omicron. Hal ni tak pelik, sebab syarikat pengeluar vaksin ni pun turut mengubah formula diorang agar disesuaikan untuk kadar bakal penerima vaksin dalam lingkungan umur kanak-kanak.
Buat komuniti anti-vaksin, tahan dulu lidah korang ye sebelum dakwa vaksin tak berkesan. Lagipun, vaksin berkesan hanya bila kita pun awal-awal dah cegah elak jangkitan Covid-19. Vaksin secara asasnya mengajar antibodi kita untuk kenal Covid-19 dan musnahkannya sebelum jadi komplikasi yang lebih teruk hingga membawa kematian.
Oleh tu, kementerian-kementerian kesihatan seluruh dunia mengesyorkan bahawa selain perlindungan dari dua dos vaksin awal tu.. sebaiknya kita ambil jugak dos penggalak. Bila kita ambil dos penggalak, kita mengukuhkan sistem tahap antibodi kita. Kata pakar virologi Pei-Yong Shi, dos penggalak akan meningkatkan lagi kadar antibodi kat dalam badan dan boleh bantu lawan varian Covid-19 yang mungkin akan muncul selepas ni.
4. Omicron didakwa impak dari ketaksamarataan akses terhadap vaksin, kurang dari 10% populasi Afrika dah vaksin
Negara-negara Afrika dah mempergiat langkah diorang untuk kawal penularan varian Omicron selepas kes harian diorang meningkat mendadak. Kami ingat lagi, dulu ramai berteka-teki Covid-19 mungkin tak tahan panas dengan mengambil contoh kat Afrika. Diorang kata, Afrika takde atau kurang kes.
Sekarang ni pulak, terbuktilah bahawa kat Afrika pun boleh jadi ‘pusat’ jangkitan varian baharu Covid-19 ni. Di sana, varian tersebut dikenalpasti di empat negara iaitu Ghana, Nigeria, Botswana dan Afrika Selatan. Namun begitu, satu fakta penting yang harus kita fahami adalah di Afrika, kadar vaksinasi diorang kurang.
Mengikut laporan WHO, hanya lima negara Afrika yang berjaya capai sasaran vaksinasi sekurangnya 40% populasi diorang menjelang akhir 2021. Tetapi keseluruhannya, kadar vaksin diorang rendah: bayangkan, hanya 7.5% populasi diorang je dah lengkap dos. Lebih dari 80% populasi diorang tak dapat pun satu dos lagi. Botswana boleh jadi negara keenam yang capai sasaran jika kadar semasa dapat diteruskan. Tiga negara Afrika lagi dah cukup keperluan vaksin, namun tak cukup pantas nak agihkan sekiranya dah capai sasaran WHO sebelum akhir tahun ni.
Dr. Matshidiso Moeti, Pengarah WHO untuk Afrika kata;
“Kombinasi kadar vaksin yang rendah, penyebaran virus yang berterusan dan mutasi adalah gabungan yang buruk. Varian Omicron adalah kejutan bahawa ancaman Covid-19 itu benar. Dengan kadar bekalan vaksin yang semakin baik, negara-negara Afrika harus memperluas liputan vaksinasi mereka untuk melindungi populasinya,”- seperti yang dilaporkan Afro WHO
Diorang menghadapi banyak kekangan, baik dari segi kewangan dan saluran untuk diorang dapatkan akses kepada vaksin. Lebih dikesali, ia ada kena mengena dengan tabiat negara kaya yang sengaja beli banyak dan simpan untuk diorang sendiri. Diorang beli dahulu, lepas tu barulah negara membangun dapat beli. Selain tu, diorang jugak berhadapan dengan kekangan operasi dan logistik lain.
5. Omicron dah sampai Malaysia, kes masih terkawal
Pada 3 November, kita rekodkan kes pertama Omicron. Kes Omicron ni membabitkan sorang pelajar yang ada rekod perjalanan dari Afrika Selatan. Pelajar tu dah diarah untuk kuarantin diri, dan setakat ni patuh dengan arahan tersebut. Semua saringan kepada kontak rapat pelajar tu negatif.
Berikut adalah laporan dari Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan:
“Pelajar sebuah universiti swasta di Ipoh berusia 19 tahun itu, tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu dan menjalani ujian Rt-PCR setibanya di KLIA. Susulan ujian itu, pelajar terbabit diperintah menjalani pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.
Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh pula menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti. Pelajar terbabit menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, beliau patuh kepada perintah yang dikeluarkan. Pengesanan kontak rapat dijalankan terhadap semua penumpang dan pemandu bas iaitu seramai lima orang. Mereka juga menjalani saringan ujian COVID-19 dan kuarantin wajib. ‘Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif,”- seperti yang dilaporkan Berita Harian
Dalam hal ni, kita boleh lihat keberkesanan langkah kawalan kita selain vaksinasi. Misalnya, kita tetap kuatkuasakan pemakaian pelitup muka walaupun kadar vaksinasi kita dah tinggi. Kemudian, pihak universiti jugak kuatkuasakan peraturan bas dan kuarantin diri. Ni suatu kejayaan kecil, di sebalik hangatnya kegusaran baharu kita terhadap Omicron.
Susulan penularan Omicron, lapan negara yang dikenalpasti dah disekat masuk. Sementara tu, gelembung perjalanan antara Malaysia dan Singapura masih dilangsungkan. Singapura pun ada jugak kes Omicron dah, jadi pastinya kedua-dua negara akan tingkatkan kawalan kesihatan diorang di pintu sempadan.