YDPA tak akan layan usaha ganggu kestabilan negara

f1

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan tak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara.

Baginda bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah baginda pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 hari ini.

Baginda turut menyeru kepada semua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang supaya bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan diletakkan di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab semua 222 Ahli Dewan Rakyat kerana Yang Berhormat semua telah
diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka di dalam Kerajaan.

“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana,” titah baginda.

Amaran Speaker kepada wakil-wakil rakyat

Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memberi amaran kepada ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang supaya meninggalkan pertelagahan politik mereka di luar dewan.

Dalam ucapannya pada sesi pemasyhuran sebelum memulakan Sesi Pertanyaan Menteri hari ini, Johari berkata dia dan timbalan-timbalannya, tidak akan bertolak ansur dengan ahli Parlimen mempergunakan Dewan Rakyat sebagai gelanggang untuk menghentam musuh politik mereka.

“Masalah-masalah yang berlaku di luar Dewan (Rakyat) sama ada peperangan yang berlaku antara parti dengan parti, atau apa-apa juga melalui media sosial, selesaikanlah di luar dan jangan mengheret semua itu ke dalam Dewan (Rakyat).

“Mana-mana YB (ahli parlimen) menggunakan platform ini untuk tujuan mengenakan kawan-kawan, kita akan pastikan mengenakan tindakan sewajarnya,” katanya.

Johari juga mengingatkan ahli Parlimen bahawa mereka telah melafazkan ikrar Rukun Negara di Dewan Rakyat lebih awal hari ini dan oleh itu perlu berusaha untuk mencapai prinsip-prinsip tersebut.

Menurut speaker, ahli Parlimen mesti menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat yang mengikuti persidangan Parlimen melalui pelbagai platform.

“Ahli YB hendaklah sentiasa mempamerkan kematanagn semasa berucap, atau berbahas, termasuk menjaga kesopanan dan kesusilaan seperti yang telah kita ikrarkan tadi.

“Saya dan timbalan-timbalan saya akan tegas bahawa kami tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mengambil tindakan sekiranya ahli-ahli YB tidak mematuhi peraturan mesyuarat,” katanya.

YDPA titahkan kerajaan bina dasar bina keharmonian

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Isnin menitahkan kerajaan merangka satu dasar untuk mengukuhkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sultan Ibrahim bertitah, ini kerana berdasarkan pengamatan Seri Paduka Baginda, hubungan perpaduan antara kaum di negara ini masih belum sempurna, walaupun setelah lebih 60 tahun Malaysia dibentuk.

“Masih ada generasi yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.

“Pepatah Melayu ada menyebut meluntur buluh biarlah dari rebungnya, yang bermaksud jika kita hendak melahirkan generasi masa depan yang bersatu padu dan saling memahami, kita mesti membentuk mereka sejak dari kecil,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Pada masa yang sama, Yang di-Pertuan Agong turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk menjaga keharmonian negara, serta tidak menyentuh isu-isu sensitif yang melibatkan raja, kaum dan agama.

Sultan Ibrahim bertitah, perlembagaan telah mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan perkara itu akan terus kekal terpelihara.

Bagaimanapun Seri Paduka Baginda bertitah, agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman, tetapi tidak boleh disebarkan kepada orang Islam.

“Oleh itu janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menggugat atau mempolitikkan asas perlembagaan ini. Saya berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menyelesaikan perkara-perkara berkaitan perjanjian Malaysia 1963 dan berharap agar ia memenuhi hasrat dan aspirasi demi kemakmuran bersama,” titah Seri Paduka Baginda.

Kepada rakyat Malaysia yang selama ini mengekalkan perpaduan, hidup bersatu padu dan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara, Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan terima kasih.

“…marilah kita berdoa ke hadrat Allah S.W.T semoga negara Malaysia dikurniakan rahmat dan keberkatan, kekal aman, maju dan makmur,” titah Seri Paduka Baginda.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda mahu Malaysia lebih tegas dalam mendukung soal keamanan dan menentang keganasan di peringkat antarabangsa.

Sultan Ibrahim bertitah ini termasuk dalam isu Palestin, dengan menggesa supaya gencatan senjata segera dilaksanakan dan bantuan kemanusian kepada penduduk Gaza dipercepatkan.

“Selain itu, sama ada di peringkat ASEAN mahupun dunia, Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif dalam memupuk semangat perpaduan dan memacu kemajuan, mengambil kira cabaran geopolitik dan perkembangan serantau,” titah Yang di-Pertuan Agong.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *