Zafrul keluar Umno masuk PKR, ramai tak puas hati

f1 min (9)

Pemuda UMNO Selangor menyifatkan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz meletakkan jawatan dalam parti itu dan memohon menyertai PKR sebagai tidak bertanggungjawab dan ada kepentingan peribadi. Ketua Pemudanya, Datuk Mohd Imran Tamrin, berkata ia juga bukan contoh tindakan yang baik sebagai pemimpin politik.

“Kedudukan beliau dalam anggota pentadbiran kerajaan iaitu Menteri Perdagangan, Pelaburan dan Industri adalah atas kapasitinya sebagai kepemimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat dan negeri yang beliau sandang sebelum ini.

“Justeru, Pemuda UMNO Selangor menggesa pucuk pimpinan parti supaya mempertahankan jumlah komposisi menteri dan timbalan menteri daripada parti itu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan. Kita mahu jumlah tujuh menteri dan lima timbalan menteri daripada UMNO dikekalkan. Ia penting bagi menjaga keseimbangan suara parti dalam kerajaan,” katanya

Beliau berkata, pendirian Pemuda UMNO tidak melihat Tengku Zafrul sebagai individu sebaliknya sebagai pemimpin parti yang mengambil keputusan peribadi dengan tidak melihat kepada kedudukan serta tanggungjawab beliau sebagai pemimpin parti politik yang dipilih dalam parti.

“Beliau tidak dilantik tetapi dipilih sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan dipilih sebagai Ketua UMNO Kota Raja,” katanya.

Mohd Imran berkata, meletak jawatan seterusnya menyertai parti dalam kerjasama juga bukan budaya UMNO dan Barisan Nasional yang mana setiap parti dalam komponen menghormati antara satu sama lain.

Rafizi tindakan Zafrul adalah tidak bertanggungjawab dan bahaya untuk perpaduan BN-PH

Tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR boleh mencetuskan gelombang politik yang sukar dikawal oleh Kerajaan Perpaduan. Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Kerajaan Perpaduan dibentuk hasil perjanjian rasmi, namun ia tidak memperincikan sama ada parti-parti boleh menerima keahlian antara satu sama lain.

“Semasa Kerajaan Perpaduan dibentuk, kita sebenarnya dikemudi oleh satu perjanjian Kerajaan Perpaduan. Saya yang draf dan saya ingat tidak ada dalam perjanjian itu nyatakan sama ada ia dibenarkan atau tidak. Ia satu perkara yang samar-samar sebenarnya. Tetapi saya percaya kebimbangan UMNO berpunca daripada usaha untuk kekalkan keharmonian dalam kalangan parti dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya

d1b9baf8aea70c5d73d98eee1319d47a
Rafizi Ramli. Via MalaysiaKini

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Belia Madani 2.0 Parlimen Pandan, di Ampang.

Sebelum ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan bahawa UMNO memandang serius niat peletakan jawatan yang dimaklumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menerusi hantaran di Facebook, Jumaat lalu.

Jelasnya, amat tidak wajar untuk mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian daripada ahli parti-parti lain sewenang-wenangnya.

Rafizi menambah, fenomena lompat parti adalah perkara yang sepatutnya dielakkan kerana ia boleh membuka ruang kepada kesan tidak dijangka, sekali gus mencetuskan duluan yang sukar dikawal. Ketika diminta mengulas sama ada wujud rancangan jangka panjang untuk Tengku Zafrul selepas penyertaannya ke dalam PKR, Rafizi berkata, perkara itu tiada kaitan dengannya dan perlu dijawab sendiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Jika tanya tentang perancangan PKR, tanya kepimpinan baharu PKR. Keputusan saya tiada kaitan dengan Tengku Zafrul atau dengan PKR, UMNO atau Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Bagi Zahid Hamidi pula, keputusan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meninggalkan UMNO tidak akan menjejaskan usaha kerajaan dalam mengukuhkan ekonomi negara serta memperkasa sektor perdagangan. Katanya pegangan politik seseorang itu tidak seharusnya dicampur aduk dengan pengendalian dan pengurusan organisasi apatah lagi melibatkan pentadbiran sebuah negara.

“Kita ada had sempadan yang jelas (antara politik dan pentadbiran), kita profesional, dalam prinsip ini saya memilih untuk santuni perbezaan pandangan itu,” katanya

Zafrul tak nak adakah PRK khas untuk dia kerana dikatakan membazir

Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak bersetuju dengan konsep mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi merebut jawatan dalam kerajaan tanpa keperluan mendesak. Beliau berkata, ia kerana pelaksanaan PRK mengambil masa lama dan melibatkan wang rakyat.

tengku zafrul g shock
Zafrul. Via G-Sentral

Malah, menurutnya, tiada sebarang perbincangan berlaku mengenai perkara tersebut dan ia bukan sebahagian daripada pertimbangannya dalam membuat keputusan meninggalkan UMNO demi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya akan terus melaksanakan tugas sebagai ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan pada Disember tahun ini. Berkenaan kedudukan sebagai seorang menteri, saya menyerahkan sepenuhnya isu ini kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat dan selagi diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu jawatan,“ katanya

Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat sebelumnya berpandangan, Tengku Zafrul memerlukan PRK untuk kekal relevan dalam politik. Dalam pada itu, Tengku Zafrul sekali lagi menegaskan, keputusan untuk berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi sepenuhnya dan bukan atas dasar paksaan mana-mana pihak.

“Saya akui ia bukanlah satu keputusan mudah, namun saya telah mempertimbangkan semua pandangan dengan cukup mendalam. Setiap individu berhak membuat pilihan peribadi dan saya amat menghargai pendapat serta penerimaan terhadap keputusan ini. Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sahabat MKT UMNO, seluruh akar umbi terutamanya UMNO Bahagian Kota Raja dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh saya bersama parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *