Jurureka Belanda dakwa kita dah lupakan baju kurung, habis dikecam rakyat Malaysia

F1
Jurureka Belanda dakwa kita dah lupakan baju kurung, habis dikecam rakyat Malaysia

Kekayaan budaya busana Melayu sungguh menakjubkan dan seringkali diminati oleh warga Malaysia dan orang luar. Sebut je baju kurung; kami rasa hampir semua wanita Malaysia ada sekurang-kurangnya sepasang kat dalam rak pakaian mereka tak kira kaum dan agama. Baju kurung pun ada pelbagai gaya lagi, dan antara jenis pakaian yang paling mudah kalau dah takde idea nak pakai apa bila nak ke majlis rasmi atau kenduri keramaian.

728 X 90

Namun begitu, keterbukaan perkongsian kita ni pun ada had jugak. Lagi-lagi apabila ada sorang jurureka Belanda yang cuba kata seolah-olah kita ni dah melupakan busana baju tradisional sehingga memerlukan tenaga orang putih untuk ‘perjuangkan’ agar tak hilang di dunia. Sudahnya, warganet Malaysia kecam teruk sampai wakil syarikatnya mohon maaf atas kesilapfahaman tersebut.

Nala Baju Kurung
Via Coconuts

Jurureka Belanda kata cinta Malaysia, tapi guna inspirasi rekaan Melayu dengan harga yang tinggi

Semua ni bermula dengan sebuah artikel yang disiarkan di South China Morning Post. Artikel ni nampak sedikit normal, tapi bila dibaca secara cermat… ia betul-betul membuatkan kita terfikir sejenak tentang maksud tersirat artikel tu. Memandangkan kini artikel tersebut dah disunting dan diubah sedikit lepas menerima kecaman warganet, maka kami nak kongsikan apa Says.com sempat laporkan mengenai hal ni.

Artikel tersebut asalnya bertajuk “Shocked by Kuala Lumpur’s Commercialisation, a designer set about creating products that celebrate Malaysian heritage”. Kemudian ia ditukar menjadi “I want to see Malays dressing beautifully again, says designer”, lepas tu disunting lagi menjadi “How Malaysian culture inspires a Dutch designer”. Setakat artikel ni ditulis, ia menjadi tajuk utama untuk artikel tersebut.

Artikel Nala Baju Kurung
Tajuk lama sebelum dikecam… Via Twitter

Tajuk artikel tu dilihat seperti kemajuan Kuala Lumpur tu sendiri tak kena di mata orang putih ni. Buat apa nak terkejut, kan namanya ibu kota Malaysia? Sebagaimana kontroversialnya tajuk tersebut, isi kandungan artikel tersebut turut mengundang reaksi negatif. Lisette Scheers, pengasas Nala Design ni ceritakan sikit pasal hidupnya. Dia lahir di Singapura pada 1970, dan berpindah ke Malaysia ikut bapanya. Lepas tu dia cerita pengalaman kerinduannya pada Kuala Lumpur yang lama semasa dia masih kecil dan bapanya ketika tu pulang kerja, dan bermain golf di hujung hari.

Seterusnya, dia cerita jugak bagaimana dia pindah ke Belanda dan rasa hidup di Malaysia lebih mesra. Maka dia putuskan untuk pindah ke Malaysia semula, dan nak mula buka syarikat rekaannya sendiri dengan ambil inspirasi dari budaya Melayu. Penulis yang temu bual Lisette ni pun orang putih jugak bernama Thomas Bird, jadi dia rasa layak jugaklah Lisette ni didengari pandangannya tentang busana Melayu sedangkan tak pasti pun sejauh mana Lisette benar-benar berpengetahuan dalam busana Melayu.

Beberapa pandangannya yang mengundang kecaman adalah dia kata orang Malaysia ni kena berpakaian lebih cantik semula, dan oleh demikian, dia nak reka produk yang meraikan budaya Melayu agar orang Malaysia tak lupa budayanya. Dia jugak macam nak bagitau bahawa baju kurung ni dah jarang digunakan. Lebih jauh, usaha ni diumpamakan sebagai sebuah ‘crusade’ atau perjuangan suci. Di sinilah ramai mempersoalkan set minda Lisette: adakah Malaysia perlukan orang putih untuk mengingati budayanya sendiri?

Ramai membalas kembali pandangan Lisette ni, mendakwa ni suatu pandangan sempit dari sorang ekspatriat yang tinggal di buih komuniti Bangsar. Macam yang kami kata awal tadi, baju kurung ni tak pernah lesap pun dalam ingatan Malaysia. Dalam acara rasmi, baju kurung tetap digunakan. Sewaktu sambutan Raya, baju kurung amatlah laris dibeli, bahkan direka sendiri dan dijahit ikut cita rasa nak beraya guna baju kurung apa tahun ni.

Baju Kurung Nala
Via Mstar

Ada menambah lagi, banyak je pereka fesyen kecil-kecilan yang menjual rekaan baju kurung tu. Batik turut luas dipergiat, dijual beli dan tak segan rakyat nak memakai. Komentar warganet tak berhenti setakat tu; ada sampai melihat sendiri katalog Naladesign, dan rata-rata rekaannya kurang menepati busana Melayu yang sebenar. Dahlah mahal…  agaknya nak tunjuk dialah ‘terpaling’ berkelas tinggi, lupa bahawa ada orang tak mampu nak beli baju kurung berkualiti tinggi. Bukan sebab takde jati diri atau tak sayangkan budaya pulak…

Akhirnya Naladesign mohon maaf kerana wujud salah faham, isu mentaliti kolonial ni pun kena terus dibanteras

Naladesign akhirnya memohon maaf kerana boleh terwujud pulak salah faham akibat artikel tersebut. Walaupun begitu, ada jugak yang sebenarnya cuba nak jadi orang tengah, atau menyokong penuh Naladesign. Yang menyokong penuh ni kata, ramai orang tak betul-betul faham apa yang cuba disampaikan oleh Lisette ni.

Ada sorang warganet ni bertanya kembali, mungkin ni tanda besar bahawa Lisette memang lebih sayangkan negara berbanding warga Malaysia sendiri lalu menyamakannya dengan wartawan Sarawak Report, Clare Rewscastle Brown. Benarkah gitu? Sekali imbas, kami dah tau ni suatu hujah yang tak kena kerana ia wujud dalam dua konteks berbeza.

Malaysia Korupsi
Clare Rewscastle Brown (kiri) dan Lisette (kanan)… Via The Straits Time/Edgemarkets

Satu dari konteks politik dan keadilan sosial, yang mana wartawan tu jadi ‘whistleblower’. Satu pulak nak gunakan rekaan budaya kita, dakwa kita lupa budaya dan jualkannya kembali dengan harga yang mahal. Satu tentang politik, di mana ketelusan adalah wajar. Satu tentang budaya, orang putih ada sejarah menjajah kita dan gunakan kita sebagai sumber mereka. Lepas merdeka, takkanlah nak biarkan mereka gunakan budaya kita untuk kekayaan mereka?

Sebab tu lah, kita kena terus memacu jalan untuk membebaskan diri daripada terus ditawan minda khususnya oleh Barat. Kita memang dikenali sebagai masyarakat yang mesra dan terbuka, namun tu tak bermakna kita kena mengiyakan segalanya termasuklah bila kita didakwa lupa budaya. Ciri mentaliti kolonial lebih kurang macam tu lah; mereka rasa merekalah yang lebih wajar dan lebih layak, manakala orang tempatan dilihat lemah, lembab dan malas. Sepanjang perjalanan kami memberikan konten untuk korang, terbukti berkali-kali bahawa orang Malaysia ni cerdas, pintar, gagah dan berani maju menggapai cita-cita.

Nst Mars Zyson
Zyson Kang, anak kecil Malaysia yang menang cabaran NASA tahun lalu… Via NST

Kalau betul Lisette ni benar-benar sayangkan Malaysia, lebih baik jikalau dia belajar lebih mendalam tentang busana dan budaya pemikiran Melayu serta tak segan menggunakan khidmat profesional tempatan agar lebih asli berbanding sekadar terinspirasi lalu mencampuradukkannya dengan budaya masyarakat yang jugak pernah dijajah suatu masa dulu.

Budaya kita sama agung dengan budaya Eropah; tak lagi wajar dipandang sebagai budaya eksotik penuh magis macam penjajah dulu-dulu. Boleh jadi sebab tu jugaklah ada pelancong rasa kecewa bila Kuala Lumpur ni dah macam kota mereka di negara asal – ada sesetengahnya memang nak kita tak maju membangun supaya mereka boleh rasa ‘vibe’ kampung tua.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top