Satu persoalan yang sering menghantui saya ketika lepak atau melakukan analisis “content” di media sosial – bagaimana manusia boleh menjadi rasis atau terlalu obses dengan pandangan diorang? Kita boleh menyebut banyak makna rasisme, dan perbahasan tentang maksud dan topik sering kita dengar, tapi manusia – masih lagi gemar merasakan “bangsa yang dia miliki mempunyai darjat yang lebih tinggi berbanding orang lain”. Saya fikir ia adalah tema pokok dalam rasisme – apabila sesuatu bangsa merasakan mereka “berbeza” dari bangsa yang lain.
Kalau kita cari di Internet pun, kita selalu diberitahu rasisme merupakan satu bentuk kepercayaan, sikap dan amalan yang mendiskriminasi segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya. Pada dasarnya, kepercayaan ini mengandaikan bahawa manusia dibahagikan kepada kaum yang berbeza; dan ia mengandaikan nilai dan darjat seseorang boleh ditentukan berdasarkan kaum mereka.
Selalunya ia berlaku apabila ada kumpulan “bangsa” yang lebih ramai di sesuatu tempat, mereka menggunakan keramaian atau hujah orang lain adalah bangsa yang lebih rendah atau pendatang untuk berlaku tidak adil (baca: rasis) terhadap bangsa lain. Cuma, ia juga boleh berlaku kerpada kelompok minoriti yang bersifat rasis terhadap majoriti. Apa yang cuba saya hujahkan, di mana-mana kelompok, ada orang yang rasis. Mereka ini sepatutnya dibuang dari bangsa itu – dan perlu menukar bangsa kepada bangsa “rasis”.
Melalui pemerhatian saya, media sosial selalu cuba untuk menjadikan anda “ekstrem” dengan cara tersendiri
Saya ingin mengandaikan kebanyakan rakyat pada hari ini menghabiskan masanya di media sosial. Media sosial beroperasi dengan mengharapkan orang akan melakukan “engagement” terhadap platform mereka. Dengan cara ini, ia akan menyebabkan orang akan duduk lebih lama di platform itu. Apa cara terbaik untuk memancing emosi pengguna media sosial di Malaysia? Sudah tentu dengan memudahkan seseorang mendapat update sesuatu yang dia gemari atau benci.
Cuba lihat bagaimana anda menghabiskan masa di media sosial – selalunya anda akan menerima “update” dari rakan-rakan anda, selebriti, syarikat, dll. Jika anda adalah seseorang yang rasis – anda berpotensi untuk mengikuti tokoh-tokoh yang rasis, dalam hal ini – media sosial telah membantu menyuburkan sikap rasis yang ada pada jiwa anda. Sudah menjadi lumrah, mereka yang kecil akalnya, mudah terpengaruh dengan propaganda dan dimanipulasi.
Cuma, media sosial bukan sekadar menanam rasa “cinta” terhadap sesuatu yang kita telah sokong dengan cara memaparkan sesuatu yang kita suka, ia juga sering memperlihatkan sesuatu yang kita amat benci. Misalnya pandangan politik kita adalah UMNO, dan kita amat membenci DAP, kerana pada akal kita – DAP adalah Cina yang rasis dan ingin menjatuhkan Melayu. Ia juga boleh berlaku sebaliknya.
Dalam contoh kita benci DAP tadi, kita berkemungkinan akan menerima berita atau hantaran dari DAP. Apabila kita melihat sesuatu yang kita terlalu benci – ia akan memberi kebarangkalian yang tinggi untuk kita memberikan komentar atau “share” hantaran itu. Selalunya kita akan maki atau sumpah seranah hantaran yang kita tak suka tu. Benda ni akan menambah engagement; kerana sudah tentu komentar kita akan mendapat respons dari pengikut-pengikut DAP pulak.
Ini adalah contoh ekstrem yang saya cuba bawa, untuk memperlihatkan “kemarahan” kita adalah keberuntungan untuk platform media sosial. Ia boleh menjadi salah satu sebab mengapa kebanyakan platform media sosial yang ada pada hari ni – sangat anti kepada apa-apa gesaan yang mintak diorang lakukan fact check pada platform mereka. Pertama, sudah tentu akan ada perbahasan yang hangat tentang – siapa yang akan tentukan kebenaran? Kemudian, jika undang-undang berita palsu di media sosial diperkenalkan, ia berpotensi akan merumitkan pengguna media sosial. Keadaan ini akan menyebabkan penurunan pengguna. Kita suka benda yang simple-simple je kan.
Dua elemen yang saya sebutkan ini; kita diberi makan “hal yang kita suka” dan “hal yang kita paling benci” menyebabkan kita hidup dalam satu “bubble” media sosial. Sukar untuk anda mempunyai pandangan yang menyeluruh sekiranya anda membenarkan diri anda terpengaruh dengan algoritma media sosial yang ingin anda menjadi seseorang yang memiliki kepercayaan yang pekat dan statik. Ini akan memudahkan kerja ahli politik dan tauke media sosial untuk menarik anda untuk mengembangkan “perniagaan” mereka.
Cuba cari pandangan alternatif dan pecahkan “bubble” yang anda telah cipta
Salah satu cara yang baik untuk memecahkan kepercayaan pekat yang anda miliki adalah melihat sumber berita alternatif dan berbeza dengan apa yang anda sedang pegang. Mengambil contoh isu #BlackLivesMatter, jika anda seseorang yang tidak suka pada demonstrasi dan beranggapan gerakan ini merupakan salah satu kempen politik demokrat di Amerika Syarikat, anda harus cuba melihat pandangan-pandangan alternatif yang lain.
Misalnya anda melihat perusuh yang menggila, anda harus cari “content” yang memaparkan mereka yang berdemonstrasi tanpa mengira warna kulit mengadakan demonstrasi dengan aman. Di sesetengah tempat, polis sendiri terlibat dengan gerakan ini, kerana beranggapan – kewujudan polis rasis yang ganas tu adalah sesuatu yang benar-benar berlaku di sana. Apa yang paling penting dalam alam digital ni – sentiasalah mencabar fikiran anda, jangan mudah untuk membuat konklusi dan cuma merujuk berita-berita dari “bubble” anda.
Akhirnya, ramai yang akan setuju dengan ayat; media sosial cuma platform, bagaimana ia digunakan, terserah kepada pengguna. Cuma, saya nak kata – ia adalah satu acuan sistematik, platform yang akan cuba memancing emosi anda.
Maklumat penulis: Rahman Imuda merupakan Ketua Pengarang ORANGKATA, dan pandangan ini tidak semestinya mewakili pendirian ORANGKATA.