Bila kita sebut Hawaii, kita pasti akan terbayang suasana tepi pantai dengan ditemani segelas minuman dalam bentuk gelas yang diperbuat dari tempurung kelapa. Tarian hula, dengan penari wanitanya memakai lingkaran bunga di atas kepala sedang menghiburkan para pelancong yang bertandang ke sana.
Gambaran tu cuma sekilas je daripada keseluruhan budaya yang masih lagi diamalkan dalam kalangan masyarakat Hawaii. Sebenarnya, mereka pun macam kita jugak; wujud banyak legenda dan mitos tempatan yang sebenarnya kekal dalam ingatan mereka. Malah, sebahagian legenda ni turut dipegang sehingga kini termasuklah legenda perarakan pahlawan hantu pada malam bulan mengambang…
Legenda roh pahlawan gagah berarak didakwa benar terjadi, pelancong tak disaran keluar waktu malam
Mungkin untuk pelancong asing, benda ni selalu dianggap rekaan orang tempatan semata-mata untuk kawal pergerakan orang asing terutamanya orang putih ni. Ada antara mereka rasa legenda atau mitos ni mengarut je. Namun ikut Kapten Cook, sorang pelayar Eropah yang pernah mencatat pengalamannya belayar mencari tanah baharu; legenda ni umpama satu fenomena ghaib yang biasa dalam kalangan orang tempatan.
Perarakan pahlawan yang dah mati disebut oleh masyarakat Hawaii sebagai Huaka’i Po, di mana dalam roh atau semangat pahlawan tersebut (O’lo) kelihatan berarak dengan diketuai oleh roh Raja Kamehameha. Ye, korang tak salah baca dan kami tak salah tulis: Kamehameha tu nama sorang raja yang gagah di Pulau Hawaii ni.
Perarakan ni biasanya dah boleh didengari jauh, iaitu dengan bunyi paluan gendang yang selalu digunakan ketika pahlawan dulu-dulu nak perang. Ada jugak penduduk tempatan yang kata ia turut diiringi dengan tiupan seruling tanduk, mantera pahlawan dan kadangkala, cahaya api yang terang di tengah-tengah hutan gelap.
Selain tu, ada jugak sempat melihat Huaka’i tu pada waktu bulan mengambang. Pahlawan-pahlawan tersebut dikatakan tinggi dan berbadan sasa, dengan perisai pahlawan serba gangsa. Lopaka Kapanui, antara pengumpul kisah lisan Hawaii kata roh atau semangat pahlawan yang berarak tu bukan nak takutkan orang. Sebaliknya, mereka nak jaga roh ketua-ketua tertinggi tu.
Oleh sebab perarakan pahlawan hantu ni cuma berlangsung pada waktu malam, jadi para pelancong disaran agar tak keluar malam terutamanya bila dah malam terang bulan mengambang dan apabila menginap di beberapa kawasan hangat yang menjadi ‘laluan utama’ perarakan pahlawan ni.
Walaupun begitu, dalam situasi tertentu perarakan pahlawan ni muncul jugak pada waktu siang. Mengikut cerita orang tua-tua, kalau pahlawan-pahlawan ni boleh dilihat pada waktu siang; biasanya tu menandakan ada antara keturunan (ohana) pahlawan Hawaii tu yang meninggal dunia.
Roh si mati yang berketurunan pahlawan gagah ni dikatakan ‘dihantar ke alam barzakh’ oleh perarakan tersebut, dimana kadangkala perarakan tu boleh melintasi atau menembusi halangan konkrit lain seperti rumah dan bangunan. Jika ada rumah penduduk tu yang dilintasi perarakan ni, mereka kena ‘bersihkan’ semula rumah tersebut supaya takde apa-apa yang buruk berlaku.
Lari atau sembunyi, tu petua paling mudah untuk elak bertembung dan ‘dibunuh’ oleh Huaka’i
Mengikut legenda ni jugak, ada beberapa petua yang perlu diikuti oleh para penduduk atau sesiapa je yang terlihat perarakan tersebut pada waktu siang atau malam. Contohnya, mereka tak boleh tengok wajah pahlawan-pahlawan tu terutamanya yang paling hadapan. Kenapa pulak?
Haa… sebab yang kat depan tu biasanya pahlawan besar seperti Raja Kamehameha tu. Dalam adat Hawaii suatu masa dahulu, orang biasa tak boleh tengok muka raja kerana mereka dianggap suci. Begitulah jugak kepercayaan tempatan bila terjumpa dengan perarakan Huaka’i.
Sebab tu Huaka’i dikatakan dah bagi tanda mereka nak lintas iaitu dengan paluan gendang perang serta cahaya api, iaitu supaya orang bersembunyi atau lari terus. Kalau ternampak dan disedari oleh salah sorang Huaka’i ni, orang tersebut akan mati kecualilah kalau orang yang ternampak tu adalah darah keturunan salah sorang pahlawan tu.
Beberapa kawasan ‘panas’ yang menjadi tumpuan Huaka’i ni adalah Nu’uanu Pali Lookout, Kalihi Valley, dan Ka’a’awa Valley di Oahu, Hawaii. Oahu Pali Highway jugak menjadi salah satu kawasan utama Huaka’i sebab di sebelah kawasan tersebut adalah kawasan perang Kamehameha. Banyak kubur bekas ketua perang yang gugur di sekitar Kualoa Ranch, jadi ia bukanlah kawasan popular untuk pelancong pada waktu malam.
Pernah tak ada orang betul-betul mati di tangan Huaka’i? Yang dilaporkan secara rasmi tu takdelah, cuma ikut kisah tempatan, ramai jugak yang betul-betul nak tengok Huaka’i tu terutamanya di kawasan Oahu Pali Highway pada waktu malam. Tapi esoknya, penduduk tempatan kata yang dah pergi waktu malam tu tak pulang-pulang lagi.
Oahu Pali Highway tu jugak memang dikatakan keras hingga dikatakan banyak kemalangan serta insiden bunuh diri kat situ. Jadi sebaiknya kalau korang ke Hawaii… hormatilah kepercayaan mereka. Kita sebagai orang asing kat pulau besar penuh sejarah tu pun tak tau sangat apa yang dah berlaku, namun sensitiviti budaya dan masyarakat tu kenalah dihormati termasuklah legenda serta mitos tempatan.