Keterlibatan anak muda dalam politik perlu pendidikan

weq (1)

Anak muda merupakan segmen masyarakat yang sering dikaitkan dengan persoalan kematangan dalam politik. Menariknya, persoalan kematangan adalah sesuatu yang abstrak dan tidak boleh diukur semata-mata menggunakan indikator umur. Mungkin ada di antara kita yang pernah dengar – umur cuma angka. Umur seseorang tidak boleh menjamin apa-apa, dalam semua segmen umur akan ada individu yang baik dan ada juga yang tidak baik. Apa yang kita boleh lakukan adalah memastikan setiap segmen umur dalam masyarakat memiliki wakil dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan. Semangat anak muda perlu dimurnikan dengan pengalaman orang-orang yang lebih tua. Sinergi di antara dua kumpulan umur pastinya akan membantu proses pembinaan negara.

Ramai orang muda diberikan gambaran negatif tentang politik, sebab itulah kita selalu mendengar pendapat ‘politik itu kotor’. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 kita melihat kebangkitan anak muda dalam penyertaan mereka secara langsung di dalam dunia politik. Kami pastinya percaya pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya yang berlaku ketika kejatuhan Pakatan Harapan sedikit sebanyak telah mengukuhkan pandangan anak-anak muda berkaitan kekotoran politik. Seandainya anak muda berputus asa dalam politik, kita akan melihat ramai orang-orang yang tidak mendapat mandat akan menjadi wakil rakyat.

anak muda 2
Orang muda harapan negara…

Ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki untuk menjernihkan pandangan ramai, khususnya orang muda terhadap politik. Demokrasi sebuah sistem yang dibentuk atas asas kepercayaan bahawa manusia mempunyai pandangan berbeza dan hak untuk berpandangan demikian. Kenyataan ini menuntut politik yang lebih berhemah. Rakyat terutamanya anak muda perlu diberi keyakinan perubahan melalui pilihan raya adalah jalan terbaik untuk membawa negara ini maju ke hadapan. Selagi kita tidak berjaya memberi keyakinan politik kepada golongan muda, maka masa hadapan negara ini berada dalam bahaya. Keyakinan politik ini tidak boleh terbatas dengan pilihan raya semata-mata, ia termasuklah sikap orang muda sepanjang penggal berlangsung – perlu ada respons dan kritikan orang muda terhadap sistem politik negara.

Peluang dan pendidikan harus bergerak bersama

Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga berusaha dengan membuat kajian berkaitan tahap kecaknaan pelajar di sekolah berkaitan politik. Menurutnya, perkembangan itu disifatkan hasil daripada gesaan yang dilakukan oleh ramai pihak untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Apabila kita tekankan berkaitan Undi 18 ini, kita nampak kesan yang jelas. Antaranya kepada sistem pendidikan negara yang secara tidak langsung membantu pelajar cakna terhadap isu politik. Kita akan lihat hasilnya pada lima sehingga 10 tahun akan datang. Kita juga jangan anggap perkara ini telah selesai sebaliknya kita masih perlu tekankan lagi,” katanya semasa program Youth Forum 2021, seperti yang dilaporkan Sinar Harian

doc7hhme15j19vkn1r36zu
Tharma dari UNDI18

Tharma menjelaskan, golongan belia perlu lebih bersedia dan mengambil tahu berkaitan dengan politik semasa negara kerana sebanyak 7.8 juta pengundi pada tahun 2023 adalah daripada golongan tersebut. Anak muda mempunyai perbezaan berbanding golongan yang lebih berusia dari segi kerterbukaan untuk mengundi ahli politik yang berbeza kaum dan kurang setia pada parti politik.

Pemuda harapan bangsa. Penglibatan belia dalam aktivisme politik dan sosial bukanlah suatu perkara baharu. Di Thailand misalnya, tidak lama dahulu kita melihat golongan muda mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut pindaan terhadap perlembagaan, mendesak supaya Perdana Menteri mereka meletak jawatan, dan mengembalikan kebebasan mereka untuk beraktiviti. Anak muda di Myanmar juga sedang mengibarkan semangat yang sama, malah lebih menyayat hati apabila ada yang terbunuh demi mempertahankan demokrasi.

Selain mengharapkan keterlibatan anak muda dalam politik, tugas memperkasakan anak muda penting kerana mereka diharapkan menjadi ejen yang memainkan peranan aktif dalam mengangkat masalah-masalah masyarakat dan mempertahankan hak asasi manusia. Pendidikan politik adalah kunci utama dalam mendidik individu tentang kepentingan hak bersuara.

Proses ini memerlukan masa dan pengorbanan

Kami pun tak nak berceramah tentang kepentingan anak muda dalam politik. Apa yang pasti, sekiranya anak muda membiarkan politik kita hanya diwakili oleh golongan berumur sahaja, kita akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Cuma, persoalan umur bukanlah satu-satunya persoalan yang telah menjadikan politik di negara kita kucar-kacir. Ia adalah sebahagian daripada masalah, dan masalah itu hanya boleh diubati dengan adanya pergerakan agresif dan strategik dalam kalangan orang muda. Semuanya bermula dengan langkah proaktif seperti mewujudkan pergerakan-pergerakan anak muda yang bersifat lokal. Masalah ini adalah masalah struktural kerana kebanyakan parti-parti politik memiliki kepercayaan yang rendah terhadap anak-anak muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published.