Baru-baru, kita dah boleh lihat dan berbangga dengan pencapaian SPM adik-adik tahun ni. Generasi SPM 2020 adalah generasi yang paling unik sebab diorang terpaksa berpuas hati dan terus beradaptasi dengan pembelajaran atas talian. Tekanan diorang tentunya sedikit berbeza dengan generasi terdahulu, dimana kelas bersemuka dan sesi kelas tambahan boleh diadakan di sekolah. Berbanding keadaan lalu, mod bersemuka dengan para guru sukar dijalankan kerana sekolah pun kejap buka, kejap tutup akibat pandemik.
Apapun keputusan adik-adik di luar sana, jalan ke peringkat lebih tinggi sentiasa terbuka. Sama ada nak lanjutkan ke kolej, nak ambil STPM ataupun terus ke institut kemahiran lain. Namun begitu, salah satu perkara yang penting untuk diperiksa terlebih dahulu sebelum melanjutkan pelajaran korang ke peringkat tinggi adalah MQA. MQA ni agensi pengiktirafan, dan amatlah penting untuk korang pastikan bahawa kursus pilihan korang tu memang dah kena iktiraf agar tak timbul masalah lain hari.
MQA agensi pengiktirafan, namun masih ada isu di sebalik penarafan program
Sebelum kita nak kupas selanjutnya, kita kena faham apa benda MQA ni. Nama panjang bagi MQA adalah Malaysian Qualifications Agency, atau dalam bahasa Melayu, Agensi Kelayakan Malaysia. Entiti ni ditubuhkan pada 2007, iaitu apabila kerajaan putuskan nak gabungkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi (BJK, KPT) pada 2 tahun lalu. Entiti ni dikuatkuasakan di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007, dan secara rasminya dilancarkan oleh YB Dato’ Mustapa Mohamed.
Peranan utama MQA ni untuk laksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualitifications Framework, MQF) sebagai landasan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi dan titik rujukan kriteria serta standard kelayakan kebangsaan. Selain tu, MQA turut berperanan sebagai badan tunggal yang selia dan selaraskan jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara. Yang lebih umum, MQA ni adalah agensi yang menilai dan memelihara jaminan kualiti sesebuah institut atau kursus yang diorang tawarkan.
Dalam MQA jugak, ada konsep swaakreditasi. Ia melayakkan sesebuah pemberi pendidikan tinggi (PPT) untuk mengakredit program pengajian sendiri kecuali program profesional yang perlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan. Namun untuk layak… kenalah memenuhi beberapa syarat dan kriteria tertentu yang digariskan oleh MQA terlebih dahulu.
Misalnya, MQA dah sediakan senarai dokumen standard program. Standard program ni dah dibentuk oleh panel dengan konsultasi PPT awam dan swasta, kementerian dan badan berkanun berkaitan, badan profesional, industri berkaitan dan pelajar. Standard ni wajib dipatuhi oleh semua yang ada tawarkan kursus-kursus tersebut. Akan tetapi, isu seputar MQA masih lagi berleluasa. Ada sesetengah kolej atau universiti yang masih mempunyai masalah akreditasi program sehinggakan ia menyusahkan para pelajar dan menyulitkan urusan masa depan diorang kelak.
Isu akreditasi program dah lama berlangsung, daripada KV hinggalah universiti awam
Pada 2017, kita dikejutkan dengan berita bahawa universiti dikatakan tak iktiraf graduan Kolej Vokasional tanpa SPM. Ada jugak yang mengaitkan keengganan universiti nak iktiraf diorang pun disebabkan masalah akreditasi program yang tak selesai lagi. Ni suatu yang pelik, sebab kolej vokasional adalah program teras dasar negara yang nak bina tenaga kerja dalam bidang-bidang khusus seperti automotif, elektronik, elektrik dan lain-lain lagi.
Bila dah disebut sebagai sebahagian daripada dasar negara, ni bererti program kolej vokasional jugak adalah institusi pengajian tinggi awam. Yang kami kesali, adalah pengurusan dan pengendalian kolej vokasional tu sendiri yang seolah mempunyai banyak masalah hingga menyempitkan ruang melanjutkan ke peringkat tinggi dengan lebih mudah bagi para pelajar KV.
Kemudian, kita disajikan lagi dengan beberapa program pendidikan atau kursus program daripada universiti sendiri yang takde akreditasi. Di peringkat swasta, dah banyak kali masalah ni berlaku. Pada tahun ni, isu tersebut dilaporkan berlaku kat Universiti Limkokwing. Terdahulu, universiti tersebut turut mengundang kontroversi jugak apabila ia didakwa mengugut para pelajar khususnya pelajar asing yang belajar di sana. Tahun ni lagi, Kosmo melaporkan bahawa kira-kira 800 mahasiswa antarabangsa universiti tersebut kabur bila beberapa kursus dah ditarik semula oleh MQA.
“Kami akan memulakan karier profesional dengan ketidakpastian dan ketakutan selepas banyak program Sarjana Muda, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan doktor falsafah telah dibatalkan. Ini kerana Limkokwing tidak mampu untuk mengekalkan syarat dan piawaian tertentu yang ditetapkan oleh pihak MQA,”- Mohammed, wakil pelajar antarabangsa, seperti yang dilaporkan Kosmo
Bukan tu je, universiti awam turut tak terkecuali dalam kemelut masalah ni. Pada tahun lalu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang melahirkan graduan Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang USIM masih belum diiktiraf sebagai orang yang layak untuk beramal menjadi seorang peguam bela dan peguam cara. Untuk isu kursus perundangan kat USIM ni, masalah sebenarnya tak terletak kepada pengiktirafan MQA; ia terletak dalam Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LKPU). Menurut Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia:
“Persoalan kini kenapakah graduan undang-undang USIM masih belum diiktiraf sebagai orang berkelayakan oleh LKPU walaupun pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA) sudah memberi akreditasi kepada program ini? Kenapakah MQA di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan LKPU di bawah Jabatan Perdana Menteri membawa pendekatan berbeza dalam pengiktirafan mereka?”- seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Dari UPM jugak, sorang graduan dari luar negara dakwa program PhD universiti tu tak diiktiraf di luar negara. Saed Jnaidi dari Palestin kata, dia dah dapat PhD program Komunikasi Massa lepas tamat pengajian pada 2019. Tetapi dia dakwa, PhD tu tak dapat akreditasi pun daripada kerajaan Malaysia bila dia nak mohon visa bagi membolehkannya mendapat tahap orientasi satu tahun di Belanda. Jelasnya lagi, dia dah tanya dengan MQA dan rupanya, program PhD tu memang belum didaftarkan secara rasmi sekaligus mengesahkan kenyataan sebuah badan pentauliahan di Belanda iaitu Nuffic. Awalnya, Nuffic ni yang maklumkan PhDnya tak diiktiraf pulak.
“Saya selalu berasa bangga kerana berjaya menamatkan pengajian di sebuah universiti tertinggi di Malaysia dan sekarang saya berasa sangat ‘gembira’ ditipu kerana pernah belajar dalam program yang belum didaftarkan secara rasmi. UPM juga membayangkan untuk menjadi salah satu universiti dengan reputasi antarabangsa tetapi gagal memenuhi syarat asas untuk memastikan ijazahnya diiktiraf oleh badan pentauliahan tempatan dan antarabangsa.
Malah kami dimaklumkan MQA bahawa bukan sahaja program saya sahaja tidak menerima pentauliahan namun banyak program sarjana dan PhD lain yang ditawarkan di UPM belum mendapat akreditasi program dari kerajaan,”- seperti yang dilaporkan Malaysia Gazette
Hal ni merupakan suatu perkara yang mengecewakan bagi sesiapapun, iaitu apabila kolej dan universiti yang ada masih gagal mengendalikan urusan pengiktirafan dengan sebaik mungkin. Dalam banyak hal, kita seringkali melihat universiti ni diwacanakan dari segi akademik dan kualiti keluarannya – tetapi kita jugak kerap menolak keluar perkara seperti ini, seakan-akan memberi tanda bahawa hanya para ilmuwan je yang wajar dikritik dalam universiti. Bagaimana pula dengan isu pentadbiran dan ketidakcekapan sesetengah institut pengajian tinggi sehinggakan memalukan negara serupa begini? Persoalan ni cukup tuntas dan kritikal untuk kita renungi bersama.