Wang kripto ni dah lama mendapat perhatian para pelabur muda, atau sesiapa je yang terfikir nak jana wang menerusi alternatif baharu tanpa melalui bank. Ramai berpandangan, bank ni tak adil dan hanya menguntungkan orang kaya je serta menyempitkan ruang buat orang-orang biasa membuat keuntungan. Pandangan yang sama turut dilaungkan dalam perdagangan saham, hingga ada orang kata, ikan bilis hanya ikut permainan jerung besar je. Apatah lagi ketika pandemik melanda dan orang dah mulai duduk rumah, alternatif menjana wang tanpa perlu keluar rumah sememangnya menarik perhatian ramai.
Namun begitu, ramai jugak rasa wang kripto ni tak lebih dari sekadar ‘hype’ dan akan pudar jugak kelak. Pada masa yang sama, masih ada yang percaya bahawa wang kripto boleh jadi suatu mata wang baharu. Paling kurangpun, ada sebuah negara ni dah memikirkan soal wang kripto dengan lebih serius.
El Salvador jadi negara pertama guna bitcoin sebagai mata wang rasmi, jana guna tenaga gunung berapi
Pada 9 Jun lalu, Reuters melaporkan bahawa Kongres kat El Salvador dah sokong cadangan Presiden Nayib Bukele untuk mengiktirafkan mata wang kripto. Ni menjadikan El Salvador sebagai negara pertama yang berani mengorak langkah untuk gunakan wang kripto dengan lebih serius. Sebelum ni, ada jugak beberapa syarikat teknologi kereta seperti Tesla bercadang nak gunakan wang kripto… tapi tak jadi.
Dengan 62 daripada 84 undi, para pembuat dasar negara tu setuju nak rangka undang-undang menerimapakai bitcoin meskipun ada juga yang masih gusar tentang kemungkinan impak yang berlaku terhadap program El Salvador bersama dengan International Monetary Fund. Awalnya, Presiden Bukele dah sebut mengenai potensi wang kripto sebagai cara nak tolong rakyatnya yang menetap di luar negara untuk hantar wang kepada keluarga diorang kat El Salvador.
Selain tu, Presiden Bukele kata dia dah arahkan syarikat elektrik geotermal milik kerajaan bernama LaGeo untuk bangunkan pelan pembinaan kemudahan perlombongan bitcoin menggunakan tenaga boleh diperbaharui daripada gunung berapi negara diorang. Sambungnya lagi, dia turut berimpian nak jadikan hub perlombongan bitcoin sekitar El Salvador dengan bersumberkan geotermal tadi. Menarik jugak cadangan tu, kan?
Lebih jauh, El Salvador akan tawarkan kewarganegaraan kepada sesiapa je yang dah tunjukkan bukti bahawa diorang ada melabur sekurangnya dalam tiga jenis bitcoin. Malah, kerajaan turut ‘melindungi’ pengguna bitcoin dan akan pastikan ia diterima oleh semua syarikat dalam negara tersebut, dan akan jamin kebolehtukaran mata wang kripto kepada dolar pada masa penukaran tersebut, menerusi tabung kewangan sebanyak $150 juta dalam bank negaranya BANDESAL.
“Jika anda pergi ke McDonald’s atau di mana sahaja, mereka tidak boleh kata kami tidak akan terima bitcoin anda, mereka kena terima secara perundangannya kerana ia adalah wang sah.” – Presiden Bukele, seperti yang dipetik Reuters
Segelintir rasa risau dengan tindakan ni, manakala Bank Dunia tak nak terima keputusan El Salvador iktiraf mata wang kripto
Idea unik Presiden Bukele walau bagaimanapun, masih buatkan ramai rasa risau jugak. Ye lah… sebenarnya tak semua orang faham apa benda lah bitcoin, atau wang kripto ni. Kerajaan diorang pun main luluskan je, tanpa memikirkan kalau-kalau rakyatnya ni faham ke tak terlebih dahulu mengenai konsep wang kripto dan apa kesannya dalam kehidupan diorang. Dahlah El Salvador putuskan nak rasmikan penggunaannya dalam masa 90 hari; ada sesetengah rakyat masih ragu lagi.
“Bagaimana saya akan bersetuju dengan perkara ini? Saya tidak pernah melihatnya walaupun dalam gambar. Saya tidak tahu apa-apa pasal itu, kita kena faham dulu tentang mata wang tersebut”- Estela Gavidia, salah seorang rakyat yang ditemubual, seperti yang dipetik Reuters.
Semasa pengenalan dolar AS pada 2001, ramai merana akibat kehilangan kuasa beli khususnya orang-orang miskin di sana. Untuk pengetahuan korang, El Salvador takde mata wang tersendiri. Jadi sedikit sebanyak, boleh kita fahami bahawa ni mungkin salah satu cara negara tersebut cuba nak bina mata wang yang lebih terkehadapan. Ertinya, diorang nak jadi paling dahulu melompat ke arah masa depan dengan penggunaan wang kripto.
Susulan langkah yang diambil oleh negara tu, pakar analisis melihat ia akan menyukarkan perbincangan dengan IMF kelak. El Salvador terdahulu ada program untuk cuba dapatkan bantuan wang lebih dari $1 bilion. Presiden tu sedar jugak, dan kata dia akan jumpa semula untuk bincang bersama IMF. Yang pasti, Bank Dunia pun dah ada jawapan tersendiri.
Menurut jurucakap Bank Dunia;
“Kami komited untuk membantu El Salvador dalam pelbagai cara termasuklah ketelusan mata wang dan proses pengawalseliaannya…. Sementara kerajaan tersebut sudah mendekati kami untuk bantuan terhadap bitcoin, ini bukan suatu yang Bank Dunia boleh bantu melihatkan kekangan ketelusan dan alam sekitar”- seperti yang dilaporkan Reuters
Presiden Bukele memikul tanggungjawab dan beban yang lebih berat untuk yakinkan IMF agar teruskan bantuan kewangan kepada diorang. Kalau bantuan kewangan tu tak jadi diberikan, ni boleh merencatkan lagi pembangunan negara tu. Setakat ni, Presiden Bukele kata dolar AS kekal diiktiraf di negara tersebut. Sekiranya IMF taknak jugak tolong, sedikit sebanyak ia akan menyulitkan keadaan.
Pada bulan yang sama, Presiden Bukele jugak menarik keluar negaranya daripada perjanjian anti-rasuah bersama Pertubuhan Negara Amerika, yang mana dah mencalar hati kerajaan Amerika Syarikat. Niat AS di atas kertas, Washington dikatakan cuba nak kurangkan rasuah di Amerika Tengah sebagai salah sebuah polisi imigresen diorang. Tapi kita semua pun sedar jugak… kadangkala ‘campur tangan’ negara lain ke atas dasar negara yang lain pun boleh membawa kepada impak yang buruk terhadap pembangunan sesebuah negara yang di’campur tangan’kan tu.
Berbalik kepada keputusan El Salvador untuk mengiktiraf mata wang kripto, ni suatu langkah yang amat wajar untuk kita perhatikan. Sementara pakar analisis tak rasa negara lain akan ikut sekali buat masa terdekat… ni jugak menunjukkan bahawa keyakinan terhadap bitcoin atau mata wang kripto ni semakin tinggi dalam komuniti antarabangsa. Dahulunya, ia hanya jadi suatu ‘hiburan’ kepada mereka yang cakna pasal kewangan; tapi kali ni, ia berkembang menjadi suatu tindakan yang besar kepada ekonomi sesebuah negara.