Isu kemasukan matrikulasi, kami temu ramah pelajar straight A’s yang gagal

Dalam banyak-banyak isu di Malaysia, isu tentang pendidikan nampaknya tak pernah surut kehangatannya. Kalau semalam isu A yang berkaitan pendidikan muncul, hari ini muncul pula isu B yang juga berkait dengan pendidikan. Apatah lagi dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang menyebut bahawa ‘Matrikulasi sebenarnya Pintu Belakang Bumiputera ke IPTA‘.

Senarai Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia – via Sinar harian

Kali ini kami cuba menghubungi hampir lebih dari 10 orang calon bukan bumiputera yang memohon untuk melanjutkan pelajaran ke matrikulasi, tapi hanya 3 orang yang dapat menerima panggilan kami. Dan kesemuanya ialah pelajar berbangsa cina dari SMK dan SMJK(C). Tinjauan ini mungkin tidak setepat kaedah statistik yang sebenar tapi marilah kita cuba dengari pendapat mereka. Di sini kami hanya akan sebutkan mereka sebagai calon A, calon B dan calon C tanpa mendedahkan nama sebenar.

Ketiga-tiga pelajar yang kami hubungi tak dapat tawaran ke Matrikulasi

Daripada ketiga-tiga orang yang ditemuramah, kesemuanya tidak mendapat tempat dan mereka masih tetap ingin membuat rayuan semula. Menurut mereka, pada 10 Mei yang lalu telah diumumkan keputusan bagi rayuan kali pertama dan mereka gagal. Jadi kali ini mereka akan merayu bagi kali kedua untuk ke Matrikulasi.

Screenshot keputusan mereka yang gagal mendapat tawaran ke matrikulasi – sumber dari calon yang ditemuramah

Mengapa memilih Matrikulasi berbanding Tingkatan 6, A-level, Diploma dan lain-lain?

Menurut calon A, dia memilih matrikulasi kerana lepasan matrikulasi KPM lebih diutamakan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Awam.

Bagi calon B, sama juga seperti calon A, ia menyatakan kalau masuk matrikulasi lebih mudah nak masuk Universiti Awam. Tambahan pula, lepasan matrikulasi lebih mudah dapat masuk ke kursus yang mereka ingini berbanding lepasan program pra universiti yang lain, yang mana kebanyakan mereka akan dapat tawaran kursus yang dianggap ‘kursus lelong’.

Tingkatan 6 vs Matrikulasi – via Remaja.my

Soalan yang sama diajukan pada calon C, dan ini jawapannya. Kata calon C, sukatan pelajaran di matrikulasi adalah lebih mudah berbanding Tingkatan 6.  Lagi pula, tempoh pengajian di matrikulasi lebih pendek iaitu setahun berbanding Tingkatan 6 selama 2 tahun.

Apakah pandangan anda setelah mendapat keputusan rayuan ke matrikulasi?

Menurut calon A, dia tidak berpuas hati kerana gagal mendapatkan tempat ke matrikulasi sedangkan dia memperoleh semua A dalam SPM. Dia juga ingin mengemukakan aduan kerana kawannya yang mendapat keputusan lebih rendah daripadanya dapat tawaran ke matrikulasi. Apabila ditanya adakah kawannya itu bumiputera, jawabnya tidak. Tapi berbangsa India. Baginya, hal ini sungguh tidak adil.

Via Giphy

Bagi calon B pula, dia akan merayu semula ke matrikulasi. Dan kami juga bertanya adakah dia mempunyai kawan-kawan yang dapat tawaran ke matrikulasi. Jawabnya, ada tapi keputusan mereka dalam SPM lebih baik berbanding dirinya. Memandangkan calon B dari SMJK(C), jadi kawan-kawannya semua berbangsa cina.

Menurut calon C, sama juga seperti calon B, dia tetap ingin membuat rayuan semula. Apabila ditanya tentang kawan-kawan yang mendapat tawaran ke matrikulasi, dia menjawab ada dalam kalangan rakan satu sekolahnya yang dapat tapi kebanyakannya ialah berbangsa India. Sama juga seperti yang lain, ia hairan kenapa rakan-rakannya yang mendapat keputusan lebih rendah dapat tawaran ke matrikulasi tapi tidak dirinya.

Nampaknya hasil temuramah ini, kami mendapati calon-calon ini berpendapat bahawa ramai calon berbangsa India yang mendapat tempat ke matrikulasi. Hal ini menjadikan peluang bagi pelajar dari kaum cina lebih rendah untuk mendapat tempat ke matrikulasi. Dari 10% kuota yang diberikan kepada bukan bumiputera, nampaknya peratusan untuk kaum India lebih tinggi.

Apabila kami semak semula kenyataan dari Menteri Pendidikan Malaysia, memang sah, lebih banyak tempat disediakan bagi kaum India dalam kategori bukan bumiputera. Sebanyak 2,200 tempat bagi kaum India dan 1,000 tempat bagi kaum Cina di matrikulasi seluruh Malaysia.

Harapan buat Sistem Pendidikan Malaysia

Di era Malaysia Baru ini,  kami percaya bahawa reformasi pendidikan tidak datang sekelip mata. Kerajaan baru pada hari ini telah meneruskan polisi kerajaan lama dalam isu matrikulasi ini tapi ada juga usaha untuk menambahkan bilangan pelajar di matrikulasi. Walaupun ia bukanlah sebuah keputusan yang sangat tepat kerana apabila kita ambil faktor fasiliti dalam setiap kolej matrikulasi, agak sukar untuk menampung pertambahan pelajar.

Harapnyalah. Via Giphy

Matrikulasi adalah diwujudkan untuk menampung para pelajar yang tidak berminat mengambil STPM dan memerlukan kemudahan asrama, yang mana ianya secara khususnya memberi peluang kepada pelajar yang tidak berkemampuan. Nampaknya kerajaan perlu lihat dengan lebih teliti isu ni sebelum menjadi lebih parah, wajar pelajar yang kurang berkemampuan diutamakan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *