Google putus cinta dengan Huawei, pengguna tak perlu panik

Google putus cinta dengan Huawei, pengguna tak perlu panik

Semalam ramai yang tak senang duduk sebab Google mengumumkan penggantungan perkhidmatannya untuk syarikat China, Huawei, sekali gus membuatkan mereka dalam keadaan terumbang-ambing mengenai perancangan masa depan perkakasan, perisian dan teknikalnya.

Menurut laporan Reuters, hal tersebut merupakan tamparan terbaru bagi Huawei dalam usaha kerajaan Amerika Syarikat untuk menyenarai hitam syarikat teknologi itu di seluruh dunia. Namun, perkhidmatan Google masih boleh diakses menggunakan telefon pintar Huawei menerusi lesen secara sumber terbuka (open source).

Via Skynews

Pengguna semasa jangan panik, masih boleh guna seperti biasa

Pengguna telefon pintar Huawei sedia ada juga masih boleh mengguna dan memuat turun kemas kini aplikasi yang ditawarkan Google, kata seorang jurucakap Google kepada Reuters.

“Kami sedang mematuhi arahan dan mengkaji apa-apa implikasi yang berlaku. Bagi pengguna perkhidmatan Google, Google Play, serta perlindungan keselamatan Google Play Protect, mereka boleh kekal menggunakan perkhidmatan tersebut pada peranti Huawei sedia ada,” – kata jurucakap Google seperti yang dilaporkan Reuters

Ia mengakibatkan impak besar kepada pasaran telefon pintar Huawei di luar China memandangkan syarikat itu akan hilang akses kepada kemas kini untuk sistem operasi Android.Telefon pintar Huawei yang akan dikeluarkan pada masa akan datang bakal hilang akses kepada perkhidmatan popular, termasuk Google Play Store, aplikasi Gmail dan YouTube.

“Huawei hanya akan dibenarkan mengguna versi Android yang boleh diakses secara awam (open source), manakala aplikasi dan perkhidmatan proprietari milik Google pula tidak boleh diakses,” kata seorang sumber dalam laporan eksklusif Reuters.

Mulai sekarang, Google tidak lagi memberi Huawei akses, sokongan teknikal serta kolaborasi melibatkan aplikasi dan perkhidmatan propietari miliknya, menurut sumber tersebut. Namun, Huawei berkata bahawa sejak beberapa tahun lepas, syarikat itu telah menyediakan rancangan kontigensi dan membangunkan teknologinya sendiri sekiranya disekat daripada menggunakan Android.

“Tidak kisah apa yang berlaku, masyarakat Android tidak mempunyai hak undang-undang untuk menghalang mana-mana syarikat daripada mengakses lesen sumber terbuka,” kata Timbalan Pengerusi Huawei Eric Xu dalam temubual bersama Reuters pada Mac lalu.

Bagaimanapun, aplikasi popular Google seperti Gmail, YouTube dan pelayar Chrome akan hilang daripada peranti Huawei yang dikeluarkan pada masa depan kerana aplikasi tersebut tidak disokong menerusi sistem operasi versi sumber terbuka. Hanya pengguna telefon pintar Huawei sedia ada yang boleh mengakses Google Play Store lalu masih boleh memuat turun kemas kini aplikasi yang ditawarkan Google.

Via CDN

Isu ini juga tidak akan menjejaskan pengguna Huawei di China memandangkan kebanyakan aplikasi Google telah diharamkan di negara itu. Kerajaan Amerika di bawah pimpinan Donald Trump pada Khamis lalu meletakkan Huawei Technologies Co Ltd dalam senarai hitam sekali gus menyukarkan syarikat itu untuk beroperasi dengan pihak di Amerika Syarikat (AS).

Huawei bercadang untuk melakukan saman terhadap Amerika Syarikat

Huawei menfailkan saman terhadap Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa menyekat perniagaannya untuk berkembang dalam pasaran global. Menurut portal berita CNA, AS telah melarang teknologi Huawei di negara itu dan mendakwa syarikat itu menjalankan perniagaan yang tidak mengikut perlembagaan yang ditetapkan.

Berikutan dakwaan tu, Huawei menyatakan rasa tidak puas hati dan bertindak menyaman kerajaan Amerika Syarikat.

Via Huawei

Tuntutan itu menandakan konfrontasi terbaru antara China dan Amerika Syarikat apabila Huawei menfailkan aduan di mahkamah persekutuan di Texas yang menentang Akta baharu yang ditandatangani oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Ogos lalu iaitu Seksyen 889 Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA).

Akta ini melarang mana-mana agensi kerajaan AS termasuk kontraktor mereka untuk memperoleh dan menggunakan produk Huawei. Timbalan Pengerusi Huawei, Guo Ping dalam kenyataannya berkata, sekatan terhadap produk Huawei berkali-kali gagal kerana Kongres Amerika Syarikat sehingga kini tidak menjumpai sebarang bukti dan ini memaksa mereka untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Larangan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga menyekat Huawei daripada terlibat dalam persaingan yang adil dan mengancam pengguna Amerika Syarikat. Kami menantikan keputusan mahkamah,” ujar beliau, seperti yang dilaporkan Astro Awani

Nampaknya makin panas kedua-dua negara ni. Via Thumbor

Menurut Huawei dalam tuntutan di mahkamahnya, peralatan dan perkhidmatannya tertakluk di bawah prosedur keselamatan yang canggih dan tidak mempunyai kelemahan atau jalan belakang yang mampu mengancam keselamatan seluruh pengguna lebih daripada 170 negara yang menggunakan produk mereka.

 

Laporan asal disediakan oleh Astro Awani

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print