Kontroversi sekitar isu kolej matrikulasi merupakan salah satu petanda bahawa masih ada kelemahan dalam institusi awam kita. Seperti dalam kebanyakan perbincangan, isu matrikulasi ni terus dikaitkan dengan persoalan kaum. Oleh sebab tu, kita lebih senang mengelak daripada isu dan penyelesaian yang boleh diambil.
Program matrikulasi yang sudah diperkenalkan 40 tahun lalu adalah sebuah langkah untuk mencapai objektif sosioekonomi menggunakan medium pendidikan. Ia adalah sebuah pintu kemasukan ke Universiti Awam untuk pelajar Bumiputera selain dari Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Malah, kualiti kedua-dua peringkat pra-universiti ini pernah dilihat setaraf. Tapi bagaimana keadaan sistem sekolah atau pelajar Bumiputera masa tu?
Berkemungkinan semua pelajar ini miliki potensi yang sama, dan perbezaan keputusan mereka berpunca dari proses pendidikan yang telah mereka lalui. Namun semua orang masuk ke STPM, jadi kalau matrikulasi tidak dicipta, jumlah pelajar bumiputera yang layak masuk ke universiti akan lebih kecil. Objektif asalnya adalah untuk meningkatkan kadar pendaftaran pelajar Bumiputera, maka tanpa kualiti sistem aliran matrikulasi yang sesukar STPM, kualiti pendidikan tinggi akan menurun.
Teori yang dirangka pada waktu itu ialah walaupun matrikulasi dan STPM adalah dua aliran berbeza, mereka tetap merebut tempat yang sama di universiti.
Perancang polisi sudah keliru, akhirnya institusi ‘dibumiputerakan’
Kemungkinan besar, apa yang sebenarnya terjadi di dalam kebanyakan institusi adalah perancang polisi dan perkhidmatan awam sudah keliru tentang polisi pembangunan Bumiputera dengan memberi mereka laluan ke institusi terbaik serta ‘membumiputerakan’ institusi tu sendiri. Pendek kata, tujuan dan caranya sudah kabur. Ini sudah berlaku terlalu lama sehingga mungkin menjadi satu faktor yang mengekang keberkesanan agenda pembangunan Bumiputera tu sendiri.
Agenda pendidikan untuk persediaan pra-universiti dalam peringkat kolej matrikulasi sama ada setara atau lebih baik daripada STPM tidak ditekankan dan tidak berlaku. Tiada langsung perancangan untuk menggabungkan sistem STPM dan kolej matrikulasi. Malah, pengasingan ini memisahkan STPM untuk bukan bumiputera manakala matrikulasi untuk bumiputera dengan perbezaan antara kurikulum, peperiksaan dan persekitaran pembelajaran.
Kolej matrikulasi berkembang menjadi sebuah institusi Bumiputera berbanding menjadi pusat pendidikan nasional untuk pelajar Bumiputera. Perkara ini, sudah tentu, akan merugikan kaum Bumiputera sendiri.
STPM masih lagi diiktiraf di peringkat antarabangsa setara dengan A Level, dan matrikulasi pula diakreditasikan dalam peringkat kebangsaan, namun ia lebih bersifat domestik. Salah satu kesan polisi ini adalah pelajar Bumiputera yang tidak meneruskan pelajaran ke STPM akan membataskan pilihan mereka untuk maju. STPM sehingga kini berlangsung dalam tempoh program 18 bulan manakala matrikulasi pula berlangsung selama setahun dengan suasana berasrama penuh. Dr. Nungsari percaya bahawa Tingkatan 6 membina karakter dan ketahanan lebih baik dari matrikulasi – sesuatu yang penting untuk melangkah kehidupan dalam universiti.
Ia berlegar pada hak dan keistimewaan, bukannya mengenai pendidikan atau kesatuan nasional
Segregrasi dua hala ni tak menghasilkan lebih banyak pendaftaran pelajar Bumiputera ke universiti. Ramai pelajar matrikulasi mempunyai pilihan yang terhad iaitu untuk masuk ke Universiti Awam manakala pelajar STPM pula boleh mendaftar masuk dalam Universiti Swasta dan Awam. Jika persaingan untuk memasuki Universiti Swasta lebih sengit daripada Universiti Awam serta kebanyakan calon ijazah sarjana muda ini adalah calon dari latar STPM atau A Level, kelak kualiti universiti awam akan menurun.
Selain dari Universiti Awam yang lebih tua, banyak universiti baharu wujud yang masih ketinggalan. Akibatnya nanti akan ditanggung oleh pelajar Bumiputera.
Semua ni berpunca dari sistem KPM dan laluan pra-universiti yang diasingkan. Ia membarah menjadi agenda Bumiputera berbanding perkembangan sistem pendidikan kebangsaan yang sepatutnya dinikmati oleh Bumiputera. Dalam ruang politik, akses kepada institusi Bumiputera ini menjadi suatu kebanggaan dan keistimewaan sehinggakan perbincangan terhadap isu matrikulasi disabitkan dengan akses serta ekslusiviti.
Malah, perbincangan tersebut tidak menumpukan terhadap kualiti proses dan hasil pendidikan di sekolah dan universiti. Ia berlegar pada hak dan keistimewaan, bukannya mengenai pendidikan atau lebih jauh, kesatuan nasional.
Mungkin masalah tersebut datang dari penyelesaian terdahulu, maka penyelesaian baharu haruslah dirangka demi membina institusi nasional yang gemilang dan boleh diakses kepada sesiapa yang memerlukan. Sudah pasti, ia perlu memastikan bahawa semua orang mempunyai potensi untuk berjaya. Kelompok ekstremis dengan hujah mereka mengenai identiti kaum dan keistimewaan sebenarnya merendahkan dakwaan mereka sebagai wakil kaum tersebut.
Hidup ni hampir sama dengan keadaan sesudah mati, kita bertanggungjawab terhadap diri kita
Doktrin 3R iaitu kaum, agama dan raja (race, religion, royalty) hanya menyebarkan kesedaran palsu mengenai identiti kelompok untuk menyentuh emosi, bukan akal. Kesedaran palsu ini memunculkan perasaan dilindungi.
Hidup di Bumi hampir sama dengan selepas mati: Anda bertanggungjawab untuk tindakan diri sendiri, bukan bersama dengan kaum atau kumpulan agama atau perlindungan. Ia mengenai bagaimana anda menghabiskan hidup anda, usaha dan sifat sabar serta percaya bahawa kita semua hidup bersama dan hidup kita saling berhubungan antara satu sama lain.
Protes ke atas ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) dan Statut Rom datang dari sumber yang sama dengan kelompok yang membawa isu matrikulasi, pelantikan Peguam Negara dan bekas Ketua Hakim. Persoalan mengenai kaum seolah tidak boleh dielakkan lagi dalam peringkat ini. Kita harus menerima siapa kita, walaupun kenyataan kita sendiri mengenai kepelbagaian dan perpaduan, bahawa kita mempunyai sifat prejudis terhadap kaum.
Namun begitu, kita perlu berdepan dengan hujah-hujah secara adil dan kurangkan hujah berunsur benci. Kepimpinan yang baik juga perlu dalam usaha berhadapan dengan cabaran dan mampu menjelaskan isu yang timbul. Jika tidak, kita tidak akan memiliki insitusi awam yang baik sebagai sebuah negara dan akan mengakibatkan kerugian yang besar pada rakyat.
Kami dapat simpulkan bahawa isu-isu yang berbangkit haruslah bebas dari sebarang prejudis dan unsur negatif supaya boleh diselesaikan secara rasional. Ruang untuk masyarakat minda kelas pertama sentiasa wujud khususnya untuk kita, rakyat Malaysia.
Artikel ini diterjemahkan dari artikel My Say: On matriculation, institutions and racial overtones tulisan Dr. Nungsari Radhi terbitan The Edge. Beberapa bahagian dalam artikel ini disunting oleh pasukan editorial ORANGKATA.