Persoalan tentang kuota atau kelebihan yang dimiliki oleh masyarakat Melayu dan Bumiputera adalah benda yang sensitif. Setiap kali ada orang nak berbincang tentangnya, perbincangan itu selalu ‘ditutup’ dengan emosi dan sentimen. Bagi kami – ruang untuk perbincangan berkenaan perkara ni harus dibuka, dan wacana tentangnya tak boleh dikekang.
Kita perlu jadi masyarakat yang berani berbincang isu-isu panas, ia jauh lebih baik daripada setiap masyarakat pendam perasaan tak puas hati kerana dia rasa tak dapat keadilan. Contoh isu paling mudah – kelebihan masyarakat Melayu dan Bumiputera, atau mengapa jurang ekonomi masyarakat Melayu-Cina berbeza? Isu-isu macam ni tak boleh dipendam dalam hati lagi, tapi harus dibincang dengan lebih terbuka.
Hari ni kami nak bawak perbincangan tentang kuota khas yang ada pada universiti…
Pandangan ni datang daripada Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Dia kata dah sampai masanya semua institusi pengajian tinggi kat negara kita terima hakikat masa dah berubah. Oleh sebab tu sebarang dasar atau peraturan lama yang dibuat dan dikuti selama ni harus diubah bagi memastikan mereka dapat terus wujud dan dapat bersaing – bukan sahaja dalam negara malah di peringkat global.
Cadangan untuk buka institusi pengajian tinggi kepada semua golongan harus dilihat dan dinilai secara positif. Lebih-lebih lagi keadaan semasa dalam negara kini dah banyak berubah terutamanya selepas PRU14. Kata Dr. Muzzaffar ni, tak jadi satu dosa atau kesalahan untuk buka pintu semua institusi pengajian tinggi dalam negara kepada semua pihak tanpa mengira latar belakang diorang, sebabnya setiap rakyat Malaysia berhak untuk dapatkan pendidikan kat peringkat tinggi.
Tambahnya, usaha buka institusi pengajian tinggi untuk semua golongan dapat beri banyak ruang dan peluang kepada para pelajar dalam IPT untuk belajar saling kenal mengenali budaya dan tradisi masyarakat lain.
Sebarang cadangan untuk buka universiti harus juga meliputi peringkat pentadbiran dan pengurusan universiti itu sendiri serta dalam kalangan tenaga pengajar atau ahli akademik IPT. Pihak pentadbiran, pengurusan dan tenaga akademik yang ada di dalam universiti perlu terdiri daripada individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bagi memudahkan sebarang usaha untuk buka universiti tu kepada pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Banyak tamadun dunia pada masa silam maju dan berjaya kerana rakyat mereka diberi ruang dan peluang yang sama rata untuk bercampur gaul antara satu sama lain tanpa sebarang halangan atas sebab latar belakang, kaum budaya, ataupun agama yang berbeza.
Bekas Pro-Canselor UiTM sendiri kata yang stigma UiTM milik orang Melayu adalah tak tepat…
Pandangan bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah ‘hak’ orang Melayu dan Bumiputera, tak tepat. Bekas Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub sendiri kata – tujuan asal penubuhan institusi tu lebih 60 tahun lalu adalah untuk membantu golongan Melayu dan Bumiputera yang miskin dan ketinggalan pada masa tu. Tapi keadaan hari ni dah berubah.
Dia kata – takde ‘hak orang Melayu’ kerana pada asalnya, UiTM ditubuhkan untuk bangunkan orang Melayu yang kekurangan dan dalam kemiskinan.
“Tetapi hari ini, adakah mereka masih kekurangan? Banyak lagi golongan lain yang lebih miskin dari orang Melayu, jangan lupa itu. Memang ada dalam Perlembagaan Persekutuan, Artikel 153 untuk menolong orang Melayu, tetapi sekarang keadaan sudah berubah. Bila ia berubah, peluang kita juga berubah,” – Arshad Ayub, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani
Bagi yang tak tahu, Arshad ni merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1967 sehingga 1975. Dia kata dah tiba masa kemasukan UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing untuk kursus pengajian pascasiswazah.
Antara hujah yang dia kemukakan – pelajar pascasiswazah ni dah dapat latihan selama lima tahun ketika jalani program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, tidak cukup lagi, kah? Diorang sepatutnya sudah bersedia untuk bersaing. Ingat ye, idea asas Arshad adalah kursus pascasiswazah.
“Kalau begini, kita macam tidak ada kepercayaan terhadap diri sendiri. Kita mesti ingat, persaingan bukan sahaja antara orang Melayu dan orang Melayu, atau orang Melayu dengan bangsa lain di negara ini. Ia adalah persaingan tahap antarabangsa. Ini adalah masalah pemikiran, kita perlu buka minda kita,” – Arshad Ayub, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani
Sejak penubuhan UiTM pada tahun 1956, diorang dah catatkan lebih 750,000 graduan dan Arshad maklumkan; ramai dah berjaya hingga ke peringkat antarabangsa. Benda ni jadi bukti bahawa mereka mampu untuk bersaing. Jadi kita perlu yakin bahawa pelajar peringkat pascasiswazah UiTM ini mampu bersaing.
Arshad turut nasihatkan pensyarah untuk memegang amanat untuk bangunkan minda pelajar UiTM kepada lebih positif, termasuk meningkatkan semangat persaingan serta berani menunjukkan kebolehan dan kepercayaan diri.
“Pelajar UiTM perlu percaya diri sendiri, jangan takut. Kalau jatuh, bangun semula, jangan putus asa. Ini masa kita untuk sibuk bersaing, bukan sesama kita, tetapi bersaing peringkat antarabangsa. Rebut peluang ini. Kepada pensyarah, ini adalah satu amanat untuk bangunkan pelajar UiTM,” – Arshad Ayub, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani
Kita perlu galakkan persaingan sihat, dan bantu orang yang memerlukan
Persaingan yang sihat boleh datangkan kebaikan, ia akan mengeluarkan kita dari zon selesa. Persaingan akan membantu masyarakat membentuk mentaliti ‘bersaing’ – berusaha bersungguh-sungguh untuk dapat tempat di universiti. Cuma, kami juga faham ‘persaingan bebas’ akan sebabkan ada pihak yang kurang bernasib baik tertindas.
Sebabnya mereka takde akses dan sumber yang sama seperti orang-orang yang lebih berwang. Oleh sebab itu kami jugak selalu tulis – tak kira apa bangsa dan agamanya, jika dia termasuk dalam kelompok yang perlu dibantu, mereka berlu dibantu. Benda ni jugak boleh pastikan orang dapat bantuan adalah orang yang benar-benar dibantu.