Bukan suatu perkara yang pelik lagi bila kita dengar perempuan main game, tak kiralah menggunakan platform atau konsol permainan. Lebih indahnya gaming world, para penggemarnya dah tak terbatas untuk remaja lelaki je. Dah lah makin banyak pilihan genre menarik, daripada berbentuk aksi hinggalah simulasi; gaming world ni terbuka untuk semua orang, dalam pelbagai bentuk.
Dalam industri e-gaming, antara kerjaya popular yang menjadi pilihan hati kepada sesiapa yang ingin melangkah ke bidang tersebut adalah menjadi pemain e-sukan profesional ataupun menjadi live-streamer. Dari segi sumber kewangan pula, dua-dua sama lumayan. Situasi ni hampir sama juga berlaku kat Malaysia, dimana para peminat game tak kira jantina mulai berminat dengan industri baharu ni.
1. Antara top women player dalam dunia CS:GO, wakili Malaysia…
Ramona Azween binti Zaharuddin bukan calang-calang pemain dalam industri permainan video popular, Counterstrike: Global Offensive. Dia ni adalah pemain aktif CS:Go sudah hampir 15 tahun dan menceburkan diri dalam dunia Counterstrike dengan nama pemainnya ‘gfi’. Setakat 2018, lebih 10 kemenangan dah dia pegang termasuklah 2 daripadanya adalah dalam peringkat antarabangsa iaitu Juara Piala One Asia 2012 dan Juara Crossfire Asia Tenggara 2013.
Pengalamannya memudahkan kemenangan kumpulannya, Sphynx menjadi juara Kejohanan Dunia Sukan Elektronik (WESG) Kelayakan Malaysia pada tahun lalu. Kumpulan Sphynx ni baru ditubuhkan pada 2017, tapi dah menang besar hasil dari kudrat dan keupayaan para pemain wanita ni.
Kini, dia dah beralih angin pula apabila direkrut oleh team Tyloo Gaming dari China. Kumpulan tersebut turut merekrut seorang lagi pemain wanita dari Hong Kong iaitu SinMan Fong, dengan nama samaran ‘Hazel’.
2. Gadis AirAsia serba boleh, termasuk main Dota 2
Lebih mesra dikenali sebagai Ashley, Boay Mei Ying ni adalah ikon e-sukan AirAsia yang turut menggemari permainan multiplayer lain seperti PUBG dan CSGO. Minatnya bermain permainan video sejak dari usia 4 tahun kini dah bertukar menjadi suatu keuntungan buat dirinya apabila diberikan peluang oleh AirAsia untuk jadi kapten team Dota 2 Kelab AirAsia AllStars Esport.
“Bermula daripada sekadar suka-suka, ia menjadi serius selepas dicabar namun saya tidak sangka boleh pergi jauh dalam bidang permainan”, begitulah komennya apabila didekati pihak Metro mengenai penglibatannya dalam dunia e-sukan ni.
Setakat ni, dia dah sertai dua acara besar iaitu Selangor Cyber Games 2017 dan Aorus Dota 2 Gigabyte. Walaupun tak memenangi kedua-dua acara tersebut, dia tetap berusaha sebaik mungkin untuk memantapkan mutu permainannya. Bukan senang nak seimbangkan kerjaya hakiki dengan ‘kerjaya’ dalam e-sukan, kan?
3. Jadi live-streamer buktikan wanita minat main permainan RPG
Para gamers mesti kenal Twitch, saluran yang bolehkan perkongsian skrin secara langsung sama ada korang yang nak stream permainan korang atau korang cuma nak tengok je. Malaysia pun nampaknya tak ketinggalan dalam fenomena Twitch ni.
Aubrey Sarah Yong atau ThatBreyDude baru bergelar streamer beberapa tahun lalu. Namun, minatnya terhadap dunia e-gaming sudah tertanam ketika usianya menjangkau 8 tahun. Katanya kepada The Star:
“I mostly play single-player RPGs (role-playing games) such as The Elder Scrolls and The Witcher, but when I play with friends it is either Overwatch or PUBG”. Untuk pengetahuan korang, genre permainan RPG memerlukan kebijaksanaan, kepantasan dan kepekaan terhadap apa saja situasi pemain tersebut.
Walaupun bidang live-streaming ni adalah bidang yang ‘luar biasa’ untuk orang nak dapatkan duit, apatah lagi untuk cukup dijadikan sebagai sumber sara hidup, ni tak mematahkan semangat Aubrey untuk tetap bermain permainan siber. Bahkan, antara pencapaian yang dia paling bangga adalah dapat mengangkat jenama peribadinya, ThatBreyDude tanpa bantuan sesiapa.
4. Kerja jadi live-streamer pun boleh dapat duit…
Seorang lagi streamer sepenuh masa dalam platform Twitch, Summer Liew yang berasal dari Damansara, Selangor pada mulanya berhadapan cabaran dari keluarga. Macam Aubrey juga, menjadi live-streamer pun dapat duit juga. Bahkan, gadis 24 tahun ni dah mula jadi live-streamer di Twitch ketika di bangku universiti lagi.
Permainan yang menjadi pilihan dirinya adalah Dota 2, dan kini lebih tertumpu kepada PUBG, Mobile Legends dan Apex Legends. Sama seperti Aubrey, nak jadi live-streamer pun perlu ada pengalaman dan kematangan khususnya apabila dilemparkan komen-komen yang tak sedap mata memandang.
Walau bagaimanapun, dia turut mengenali ramai rakan gamers wanita yang sentiasa menyokong dirinya walaupun tak bermain permainan yang sama. Sokongan ni juga datang dari para peminatnya dari pelbagai platform media sosial lain seperti Facebook dan Instagram.
5. Tak ketinggalan bangunkan platform untuk hubungkan gamers Malaysia
‘Orang’ yang kami maksudkan ni adalah Lylia Tan atau nama sebenarnya, Michelle Tan. Bukan setakat menjadi live-streamer di Twitch sejak 2013, dia juga berpengalaman menjadi shoutcaster untuk MOBA Garena pada 2013. Jadi shoutcaster ni ertinya kena ada ilmu pengetahuan yang mendalam juga pasal aspek-aspek teknikal dan taktikal sesebuah permainan.
Selain tu, platform yang dia bangunkan bersama dua orang rakannya adalah Fundeavour. Platform ni khusus buat gamers sekalian yang memang nak jadi popular dan nak ada penonton. Bukan tu saja, mereka ada partnership dengan GamerMalaya, satu lagi laman web besar yang menampilkan berita pasal industri e-gaming ni.
Bukan tu saja, sesiapa yang berminat nak bina kerjaya mereka kat industri e-gaming ni sesuai benar bermula dari sini sebab partnership mereka dengan beberapa lagi pencipta konten perihal e-gaming. Daripada pengamatan kami, kebanyakan duta Fundeavour ni miliki fanbase yang luas, iaitu merangkumi Youtube, Instagram dan Facebook, Twitch serta Twitter.
Gamers wanita ada di mana-mana, tapi kat mana?
Tak mengejutkan kalau orang ingat wanita Malaysia tak berminat nak terlibat dalam gaming world yang kompetitif khususnya di peringkat antarabangsa . Ni dipersetujui oleh Azlan Ismail. Katanya:
“I believe the gaming industry as a whole has an uphill battle to fight with regards to female representation. Level Up KL had a Women In Gaming seminar and many of the stories shared there were eye-opening. Our female artists and developers also go through a lot from a young age to pursue their passion, many are discouraged and abandon their path in the face of ridicule and pressure from their male peers”
Masih banyak persepsi buruk terhadap industri e-gaming dan e-sukan, apatah lagi untuk para pemain wanita. Maka untuk betulkan persepsi ni, kita kena terbuka menerima perubahan lagi-lagi bila negara kita sendiri dah menuju ke Revolusi Industri 4.0. Contohnya, kerjaya sebagai digital nomad pun lahir dari tempias kepesatan teknologi hari ni. Mana tahu, korang boleh jadi PewDiePie Malaysia, ataupun atlet e-sukan yang hebat suatu masa nanti?