Apabila bercakap tentang sukan elektronik (e-sukan), benda ni tak perlu diperkenalkan lagi untuk generasi muda pada hari ni. Kami dulu paling jauh pun boleh main Super Mario kat TV, atau Space Impact kat telefon Nokia 3310. Sekarang ni macam-macam game yang ada, grafik dia pun bukan main power. Kalau ambik contoh FIFA 2020, muka pemain-pemain yang ada dalam game tu dah sebijik macam muka pemain betul.
Kementerian Belia dan Sukan katanya komited nak pastikan pembangunan e-sukan ni dirasai di semua peringkat
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) katanya nak pastikan pembangunan e-sukan dapat dinikmati di setiap peringkat di seluruh negara. Menteri yang baru-baru ni dikaitkan dengan isu lompat pagar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kata melalui Pelan Strategik Pembangunan e-Sukan, kerajaan akan pastikan peruntukkan RM20 juta dalam Bajet 2020 dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, untuk tujuan pembangunan e-sukan.
Katanya KBS bercadang nak anjurkan sistem liga bagi e-sukan yang dilihat mampu untuk lahirkan lebih ramai atlet yang berdaya saing, di peringkat antarabangsa selain beri ruang kepada pasukan baharu bertanding secara lebih profesional.
“Akan datang kita ada liga kebangsaan yang buat pertama kali diadakan di peringkat negeri, supaya e-sukan dapat dirasai melalui semua peringkat di Malaysia, bukan hanya di bandar tapi termasuk luar bandar. Pada masa yang sama kita mahu perkembangan industri ini dapat dirancang, dengan menganjurkan lebih banyak pertandingan di peringkat antarabangsa. Kita juga mahu pastikan lebih banyak pelaburan dari luar dalam e-sukan ini,” – Syed Saddiq, seperti yang dilaporkan AWANI
Dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata; kerajaan iktiraf potensi tinggi e-sukan dan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020.
Pelan strategik pembangunan e-sukan ni akan beri penekanan kepada lima strategi utama, meliputi pemegang taruh dalam industri seperti pemain profesional, penggerak industri, pelabur dan agensi kerajaan.
Pelan strategik lima tahun dari 2020-2025 ni selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan hala tuju e-sukan, dapat berkembang secara menyeluruh di Malaysia.
Apa kata korang cuba untuk ‘test power’ hujung minggu ni? Kalau menang boleh dapat RM200
FIFA 20 tidaklah mempunyai gameplay yang terlalu berbeza dari siri game sebelumnya. Tapi kalau korang dah biasa dengan FIFA, korang akan dapat lihat beberapa benda yang positif dengan FIFA 2020 ni.
Menurut portal JOM GAMING, pergerakan pemain apabila melakukan hantaran, sepakan, menggelecek dan cubaan untuk melepasi para pemain tanpa bola (off-ball) lebih kemas dan kurang kelam-kabut seperti siri-siri sebelum ini. Ia mengurangkan elemen-elemen ‘tidak logik’ yang sering berlaku dalam FIFA disebabkan pergerakan pemain yang terlalu deras.
Okay, sekarang kita dah bincang pasal e-sport dekat Malaysia, dan FIFA 2020 pun kita ada borak sikit-sikit, sekarang kami nak cabar korang untuk ikuti satu pertandingan yang akan berlangsung pada Sabtu ni (8 Februari 2020). Kalau korang kat rumah tu rasa asyik menang je main FIFA 2020, mungkin inilah masanya untuk korang buktikan yang korang power.
Pertandingan ni akan diadakan di Voltagehub Setiawangsa pada 8 Februari 2020, bermula pada pukul 10 pagi. Yuran dia murah je RM20 seorang, kalau korang power dan berjaya kalahkan orang lain – korang boleh dapat RM200. Yang bestnya benda ni – tak rugi. Sebab kalau kalah pun, dapat main jugak kan?
Program ni turut dapat tajaan dari Ahli Parlimen Setiawangsa, YB Nik Nazmi Nik Ahmad. Sebenarnya editor kami pernah jumpa pengasas kepada Voltagehub ni. Dua pengasas Voltagehub ni masih muda dan tengah belajar lagi. Nama brother tu; Aiman dan Hafiz. Kita patut puji diorang sebab berani ambik risiko pada usia muda untuk bukak perniagaan. So, inilah masanya untuk support orang muda yang nak berniaga!
Kalau korang nak join pertandingan ni – korang boleh hubungi saudara Aiman melalui nombor 019-3690339. Apa lagi? Inilah masanya untuk korang buktikan yang korang bukan setakat gebang je, tapi betul-betul power untuk menang pertandingan!