Anak muda dalam parti politik cuma macai?

f121

Anak muda adalah tonggak negara, sama ada kita sedar atau tak. Diorang bakal jadi pemimpin yang akan corakkan masa depan tanah air, dan telah terbukti lama apabila kita tengok semula sejarah politik negara. Kalau korang perasan, kebanyakan pemimpin yang sibuk memperjuangkan hak kemerdekaan tanah air tu adalah tatkala diorang masih lagi di usia yang agak muda. Begitu jugaklah dengan senario politik yang menjadikan Malaysia pada hari ni – Dr. Mahathir dulu pun seorang anak muda yang lantang dan berani berjuang.

Dipasangkan dengan Anwar Ibrahim, sorang lagi sosok muda yang cukup disegani ramai sejak zaman siswanya; Malaysia pada ketika tu sangat dipandang ramai. Boleh dikatakan, suatu tempoh yang dipandang penuh optimis. Dari sejarah jugaklah, kita tahu bahawa usia muda tak rencatkan keupayaan seseorang untuk jadi pemimpin masyarakat. Para pemimpin politik tau hakikat ni, dan mulai membuka ruangnya kepada anak-anak muda untuk ikut sama berjuang di jalan politik.

Notmypm Polis Demo
Via FMT

Ruang politik anak muda mulai ditubuhkan, akhirnya ke parti anak muda sepenuhnya

Suatu masa lalu, parti-parti politik ditubuhkan untuk himpunkan sesiapa yang nak berjuang ikut aliran perjuangan yang diorang bawa. Kalau UMNO, diorang lebih kepada nasionalisme Melayu Islam. Kalau PAS, lebih kepada berunsurkan politik Islam. Kalau KEADILAN, lebih kepada aliran progresif dan begitulah dengan lain-lain parti di Malaysia ni.

Kebanyakan parti yang dah besar dan mapan ni banyak memperluaskan jaringan diorang ke serata pelusuk negara, menumbuhkan lebih banyak cawangan dan cabang setempat. Misalnya, UMNO ada di setiap negeri kecuali Sarawak. Ada jugak sesetengah parti ni lebih fokus pada negeri je, seperti yang mekar tumbuh di Sabah dan Sarawak. Kerajaan negeri diorang sendiri pun boleh dikatakan merupakan gabungan beberapa parti politik, khususnya dengan parti politik negeri.

prnjohormskini
Via Kosmo

Tak kira apa ideologi perjuangan parti-parti ni, kebanyakan parti ni memang wujudkan suatu ruang baharu kepada anak-anak muda di luar sana. Bermula dengan membuka keahlian kepada anak-anak muda; masing-masing melebarkan sayap keanggotaan parti di setiap cawangan dan cabang yang ada. Setakat ni, lebih 20 sayap pemuda pelbagai parti dah ditubuhkan di Malaysia.

Namun demikian, kewujudan sayap pemuda ni pada awalnya tak dirasakan sangat sebab ramai berpendapat ni cuma cara parti politik mengembangkan jumlah anggota parti je. Ye lah, apa yang sayap belia cuba angkat… tetap terpulang jua kepada para pemimpin yang lebih tinggi dari diorang. Sayap belia dilihat masih kurang autonomi dan masih perlu ‘dipandu’ oleh barisan pemimpin yang lebih tua. Lantas, ini mengundang pelbagai kritikan kepada pucuk pimpinan – apakah parti tersebut lebih suka mempersia-siakan bakat kepimpinan baharu yang ada?

pemimpinanakmuda
Barisan pemimpin muda yang selalu disebut-sebut oleh warganet.. -via Astro Awani

Dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Najwan Halimi pada 2017, dia mencatat pandangannya tentang dinamik sayap pemuda masa tu. Angkatan Muda PKR dah banyak kali suarakan mengenai kelesuan gerak kerja parti, termasuklah AMK sendiri. Bahkan dalam pandangannya, Ketua Pemuda UMNO sendiri dilihat berusaha menjarakkan diri dari imej UMNO dan lebih kerap memperlihatkan dirinya sebagai mandiri, santai dan bebas.

Harus kita ingat, gerakan anak muda menjelang tahun 2016 agak aktif dan lebih menyerlah berbanding sayap-sayap belia dalam parti politik. Pada 2017, banyak aktiviti gerakan anak muda seperti inisiatif penganjuran Kongres Anak Muda Malaysia (KAMM) dan perkumpulan anak muda mandiri dah dianjurkan. Secara tak langsung, tenaga anak muda mandiri ni dicemburui oleh sayap belia dalam parti-parti politik kerana diorang seolah terikat dengan pucuk pimpinan parti yang rata-ratanya bukanlah dalam kelompok anak muda dah…

parlimenbelia orangtua
Via Astro Awani

Walau bagaimanapun, fenomena kelesuan ni tak dikongsi rentas parti. Jika dilihat pada ketika tu, momentum sayap belia parti-parti seperti Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Amanah terus bertenaga. Biasalah kan kalau parti baharu – diorang kena buktikan pada masyarakat bahawa diorang perlu diambil serius dan berharap dapat jadi suatu sinar baharu untuk menarik lebih banyak sokongan kepada parti baharu ni.

Detik-detik inilah akhirnya menjadi landasan awal kepada pembentukan sebuah parti anak muda yang baharu – suatu usaha awal untuk memberi lebih banyak ruang kepada anak-anak muda untuk terlibat dalam politik secara sihat dan matang. Ini sesuailah dengan termaktubnya Undi 18 dan timbulnya kesedaran politik matang dalam kalangan masyarakat.

Siswa direkrut seawal zaman universiti, persatuan siswa atau proksi parti?

Kehidupan di universiti ni merupakan suatu zaman yang baharu buat anak-anak muda yang baru habis lepasan SPM/STPM. Banyak benda yang takde kat sekolah diorang dahulu, wujud dalam kampus. Kalau kat sekolah menengah dulu, penekanan terhadap ko-kurikulum memang dititikberatkan. Namun dalam zaman kampus ni, takde yang tekankan nak masuk persatuan siswa atau tidak. Yang pasti, persatuan siswa boleh dikatakan salah satu elemen penting dalam kehidupan sorang mahasiswa.

parlimenbelia
Parlimen Belia pernah dianjurkan pada 2015.. -Via Berita Harian

Salah satu jenis persatuan siswa ni adalah persatuan atau gerakan mahasiswa yang memberatkan unsur idea intelektualisme dan prinsip terhadap sesuatu isu sosial yang berlaku di sekeliling diorang. Kadangkala, persatuan siswa macam ni dikatakan memiliki kaitan politik dengan ‘parti politik’ dalam kampus. Parti politik dalam kampus ni jugak turut dikatakan ada kaitan dengan parti politik di luar kampus pulak. Sama ada parti politik atau gerakan mahasiswa tu sendiri; kedua-duanya selalu dilabel sebagai proksi sesebuah parti. Ada jugak antaranya yang memang sejelasnya adalah proksi parti seperti Mahasiswa Keadilan Malaysia, Kelab Mahasiswa Penyokong PAS, Mahasiswa UMNO Malaysia dan banyak lagi.

Siswa direkrut sebagai kader baharu untuk parti-parti politik, menumbuhkan benih ideologi perjuangan politik yang dicitakan sesebuah parti politik. Dalam sebuah artikel yang ditulis 21 tahun lalu, Ahmad Zaki merakamkan betapa perlunya gerakan siswa yang mandiri dan bebas daripada campur tangan parti politik luar kampus. Lebih buruk, sesetengah pemimpin siswa ni beranggapan gerakan siswa ini batu loncatan untuk diorang mendapatkan lebih banyak ruang istimewa dalam parti politik.

campusstudent democracyautonomy
Via Nadisiswa

Kebangkitan anak muda dan trend sikap sinis terhadap politik dapat dilihat jelas selepas tahun 2016. Idea kepartian semakin ditolak dan dijauhi oleh anak-anak muda, sehingga lebih banyak gerakan siswa yang ditubuhkan dan mengambil pendekatan non-partisan sebagai prinsip perjuangan. Media siswa juga diwujudkan sebagai salah satu ruang wacana alternatif kepada para siswa bagi meraikan kepelbagaian pendapat. Salah satu laman siswa yang sangat popular adalah Nadisiswa, yang memberikan ruang ekspresi buat siswa termasuklah siswa dari Indonesia sendiri.

Walau bagaimanapun, ruang politik kampus tidak boleh mengizinkan campur tangan ahli politik nasional mahupun negeri. Politik kampus adalah untuk siswa dan demi kepentingan siswa semata-mata. Jika sempadan ini digariskan jelas, maka pengaruh politik nasional boleh dibendung pada peringkat universiti. Ruang politik kampus perlu mencerminkan kehendak mahasiswa, bukannya pemimpin politik di luar sana.

calonfakultiprk
Pilihan raya kampus wadah politik untuk siswa.. -Via UTM

Ternyatalah, anak muda tak tersisih dalam parti politik. Dalam kampus, politik kampus seolah menjadi ‘latihan’ buat anak-anak muda mengasah bakat kepimpinan yang diorang miliki. Namun yang kerapkali berlaku adalah tenaga dan bakat anak muda yang disia-siakan oleh kepimpinan parti politik nasional tu sendiri. Oleh demikian, ruang secukupnya mesti diberikan kepada para anak muda agar diorang dapat berkembang lebih baik dan menjadi pemimpin muda yang berkaliber dan progresif membangunkan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *