Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah diminta untuk memperkukuhkan parti dengan menambah keahlian bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) nanti.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasil taklimat menerusi pertemuan dengan ketua bahagian di Sabah, beliau melihat parti itu itu masih mempunyai peluang untuk membina kerajaan Perikatan Nasional (PN) semula.
“Tambah keahlian kita seberapa yang mungkin, saya tidak mahu sentuh dasar yang besar. Cawangan sini buka, jangan halang dan disekat. Kita nak sampai pilihan raya, kita perlu menggerakkan tenaga yang ada, siapa nak buat kerja kalau di satu bahagian itu ada 40,000 pengundi, mungkin ada 100,000 penduduk tapi kita ada 500 ahli saja,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Bersatu Sabah
Beliau berkata, pihak pimpinan perlu bekerja keras untuk mencari keahlian dan ambil peluang daripada perkembangan situasi keahlian parti lain yang kini dilihat menunjukkan kekecewaan pada parti sendiri.
“Saya ingat sejarah waktu mana Bersatu mula ditubuhkan di bawah pimpinan saya di Semenanjung, masuk ke Sabah bersusah payah kita sampai siang malam, pergi pelusuk kampung rumah panjang, pasar malam, bazar Ramadan cari ahli dan mencari ahli bukan mudah.
“Seperti juga di Sabah, di negeri-negeri lain sudah ada orang menjadi ahli-ahli parti politik yang sudah ada. Tapi sekarang ini, saya lihat ada suatu perkembangan yang boleh memberikan faedah kepada kita sama ada di Sabah atau Semenanjung, ramai ahli UMNO sudah kecewa.
“Maksud saya bahawa kita mesti ada suatu matlamat yang jelas supaya kita dapat terus berjuang bina kekuatan, bina parti kita, ahli kita mesti ramai bekerja siang malam, cawangan kita banyak. Kalau dalam tempoh setahun dari sekarang pilihan raya diadakan, kita boleh gandakan bilangan ahli kita yg ada sekarang 50,000 kepada 100,000,” katanya.
Walaupun ingin tambah ahli, Bersatu belum putuskan kerusi mana nak ditanding
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum memutuskan kerusi yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN) Sabah yang bakal menjelang tak lama lagi.
Bagaimanapun, Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) akan menyertai PRN itu yang akan diadakan pada bila-bila masa.
“Secara khusus tidak ada (perbincangan kerusi), saya hadir ke sini pertama kali berjumpa dengan mereka, semalam saya berjumpa dengan ketua bahagian di Sabah, yang pasti topik utama adalah persiapan menghadapi pilihan raya, bila saya belum tahu lagi.
“Kita tak akan pergi secara terperinci sekarang, kerana (soal) kerusi itu terlalu awal kita nak tetapkan yang pastinya dalam PRN Sabah yang akan datang, Bersatu, PN akan menyertai di mana keputusan akan dibuat nanti,” katanya kepada pemberita dalam siding akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Sabah
Pengerusi PN itu turut berkata, Bersatu Sabah kini dalam peringkat untuk membina semula parti dengan penyertaan daripada pemimpin muda dan baharu dalam parti selepas peristiwa pengkhianatan yang berlaku sebelum ini.
“Kita melihat sudah ada minat dan kesungguhan orang-orang Sabah yang dulunya menyertai Bersatu terus menyertai yang baru dan saya kagum ramai antaranya orang muda, ketua-ketua bahagian muda tetapi mereka ada kelayakan, ada kelulusan. Jadi ini menunjukkan Bersatu ada harapan dan orang-orang yang memang tahu serta bersedia sanggup berkorban, jadi kita tak bincang tentang siapa yang nak jadi calon,” katanya.
Jelas bekas Perdana Menteri itu lagi, Bersatu kini sedang giat memberi perhatian terhadap isu yang dihadapi rakyat bukan sahaja di peringkat negeri tetapi negara.
“Isu paling utama jadi perhatian Bersatu ialah masalah yang rakyat Sabah sedang hadapi, isu berkaitan infrastuktur, bekalan air, elektrik, masalah ekonomi, kemiskinan, Pendidikan luar bandar, apalagi dalam keadaan situasi di peringkat nasional yang saya percaya tidak ada kesungguhan kerajaan pusat bantu Sabah itu jelas.
“Saya tak dengar berbilion-bilion yang telah disalurkan, malah isu yang dihadapi rakyat Sabah seperti juga dihadapi rakyat Malaysia yang lain, iaitu masalah ekonomi, masalah kos sara hidup, masalah peningkatan harga barang yang melambung tinggi, masalah cukai yang ditambah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan sebagainya.
“Bebanan yang tidak berkurangan, masalah bekalan ayam tak cukup, beras sudah hilang, masalah janji yang langsung tidak ditunaikan, reformasi sudah jadi reformati dan janji-janji yang dibuat langsung tak ditepati mahupun dilaksanakan. Malah orang sudah bagi ‘branding’ kerajaan bohong dan ini mengambarkan perasaan kecewa malahan sudah sampai tahap marah tentang kerajaan pusat apa lagi tidak berjaya menyelesaikan bnanyak isu dan masalah negara,” katanya.