Banyak negara ketika mula-mula nak membangun, seperti ‘Asian Tigers’ – Korea, Singapura, Taiwan dan Hong Kong akan mengambil model ‘gaji rendah, kos rendah’. Ini kerana mereka tekankan ekonomi yang dipacu eksport. Gaji rendah akan membantu kos eksport berdaya saing dan menarik pelabur-pelabur untuk membina kilang-kilang mereka di ekonomi membangun tersebut.
Malaysia pernah gunakan model macam ni
Malaysia menggunakan model sama ketika ekonomi kita mula membangun pada tahun 1970-an dan 1980-an. Banyak orang kampung berhijrah ke bandar dan bekerja di kilang. Kalau sebelum ni banyak perempuan tak bekerja, kini ada istilah ‘minah karan’ – geng perempuan kerja kilang.
Kerajaan juga kawal perkembangan union atau kesatuan sekerja, supaya kuasa pekerja mendesak gaji lebih tinggi terbatas. Macam-macam insentif diberi kepada pelabur asing untuk bina kilang di Malaysia.
Bagi kebanyakan ekonomi Asian Tiger lain, mereka berkembang kepada model ekonomi maju. Gaji dan upah meningkat, produktiviti meningkat. Ekonomi gunakan kurang pekerja tapi membayar mereka lebih dengan memanfaatkan teknologi yang ada. Orang putih kata, naik value chain.
Tetapi di Malaysia keadaan tak banyak berubah. Antara cara kita boleh bertahan walaupun ekonomi banyak berubah kerana dasar pro pekerja asing yang ada di Malaysia.
Perbandingan dia mudah: seorang rakyat Malaysia dapat gaji RM1,000 nak hidup di Lembah Klang atau Pulau Pinang atau JB. Sewa pun dah RM300-400. Anak isteri dia nak makan apa? Pekerja asing tidur ramai-ramai satu bilik. Makanan majikan bagi. Anak bini di Indonesia, Bangladesh atau Nepal. Tiap-tiap bulan tak mustahil boleh jimat RM500 nak hantar balik kampung.
Lepas tu kecoh orang Malaysia tak nak buat kerja pada gaji rendah. Memanglah tak nak buat dalam keadaan macam tu.
Gaji ‘kehidupan wajar’ sepatutnya dibayar kepada pekerja
Selepas lama didesak MTUC dan pembangkang zaman tu, Kerajaan perkenalkan gaji minima RM900 bagi Semenanjung dan RM800 bagi Sabah dan Sarawak pada 2013.
Dalam manifesto PH, diorang janji gaji minima RM1500 menjelang hujung penggal Parlimen. Pada 1 Januari 2019, Kerajaan naikkan gaji minima ke RM1100 untuk seluruh negara. Adalah bantu pekerja serba sedikit.
Tapi Bank Negara kata kena tengok konteks lagi luas. Selain gaji minima yang wajib dari sudut perundangan, Bank Negara kata patut ada ‘living wage’ atau dalam BM gaji kehidupan wajar yang merupakan gaji bagi standard kehidupan yang minima.
Bank Negara anggarkan pada 2016 bagi dewasa bujang di KL gaji kehidupan sepatutnya RM2,700. Pasangan berkahwin tanpa anak sepatutnya RM4,500 dan pasangan berkahwin dengan dua anak RM6,500.
Hampir separuh daripada dewasa bekerja di KL pada 2016 mendapat gaji bawah dari RM2,500. Bagi seluruh negara, separuh dari rakyat yang bekerja mendapat gaji bawah RM1,700. Orang Melayu merupakan golongan majoriti di kalangan rakyat tempatan dalam sektor ini.
Pada 2016, untuk setiap RM1 yang dijana di Malaysia, 35.3 sen sampai ke tangan pekerja. 59.5 sen pergi ke keuntungan korporat, dan 5 sen kepada kerajaan dalam bentuk cukai.
Kadar ini rendah banding Australia (47.8%), Korea Selatan (43.2%) dan Afrika Selatan (45.9%). Maknanya, ekonomi Malaysia ni mesra majikan, bukan pekerja!
Nampaknya kerajaan belum ada niat nak laksanakan gaji kehidupan
M. Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia kata Kerajaan belum ada rancangan untuk perkenal ‘living wage’ di Malaysia. Setakat ini dasar hanyalah gaji lantai iaitu gaji minima. Tapi Menteri kata kerajaan menerusi Majlis Perundingan Gaji Negara akan mengkaji ‘living wage’ dengan lebih mendalam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad beberapa kali minta kerajaan melaksanakan ‘living wage’ selain gaji minima.
Ada beberapa perkara yang dicadangkan oleh MP Setiawangsa ni. Pertama, sebahagian perbekalan kerajaan dibuat daripada syarikat-syarikat yang komited membayar gaji pekerja mereka pada kadar ‘living wage’. Kedua, syarikat-syarikat yang mengaut keuntungan diberikan potongan cukai, dengan syarat potongan cukai itu diberikan kepada pekerja dalam bentuk gaji lebih tinggi ke arah ‘living wage’.
Jadi walaupun gaji minima naik paling tinggi pun pada RM1,500 pada 2023 (kalau ikut manifesto Pakatan Harapan), ada dorongan untuk naikkan gaji ke kadar ‘living wage’ dengan mekanisme-mekanisme yang lain.
Sebelum ini ada cadangan GLC melantik syarikat yang membayar ‘living wage’ sebagai pembekal mereka. Bila gaji tinggi, rakyat lebih komited untuk bekerja termasuk kerja 3D: dirty, dangerous and difficult. Buktinya, walaupun ramai rakyat Malaysia tak nak buat kerja 3D di negara kita, mereka sanggup buat kerja ni di Singapura. Sebab apa? Gaji lebih tinggi.
Orang cepat bertukar kerja selalunya sebab gaji rendahlah!
Satu lagi rungutan majikan bagi pekerja bergaji rendah adalah rakyat Malaysia cepat bertukar pekerjaan. Tapi antara sebab dia cari gaji yang lebih baik atau kerja yang lebih mudah kerana gajinya rendah. Bila gaji naik, rakyat nanti pun akan lebih berbelanja, yang akan menyumbang kepada ekonomi. Orang berniaga pun senang jual barang, dan mereka boleh ambil lebih ramai pekerja.
Majikan pun akan dipaksa guna cara yang lebih tinggi produktiviti sebab kos dah tinggi. Nilai ekonomi Malaysia akan bertambah. Jadi korang setuju ke, gaji kat Malaysia pada hari ini masih rendah? Berapa nilai minima nak hidup kat tempat korang?