Semalam kita dikejutkan dengan jumlah kes baharu yang buat kali pertamanya dah mencecah angka 5,725 kes. Keadaan ini membuatkan ramai panik dan beranggapan kita berkemungkinan akan menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih panjang. Cuma, idea tu dah disangkal oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. Katanya langkah bersasar akan dilaksanakan sekiranya keadaan menjadi semakin buruk.
Antara sebab yang menyebabkan jumlah kes baharu Covid-19 di Selangor mencanak adalah masalah kelompongan dari segi dasar dan pemantauan pekerja-pekerja asing. Ada di antara mereka tinggal di tempat seperti kandang haiwan. Keadaan ini menyebabkan penyebaran Covid-19 lebih mudah untuk berlaku.
Ada ahli Parlimen yang kata polisi pekerja asing di negara kita jadi punca masalah
Menurut Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, polisi pekerja asing Malaysia yang bermasalah jadi punca kluster tempat kerja. Sebagai contoh, Wong kata industri perabot di Bukit Pasir, Johor berhadapan masalah kekurangan tenaga kerja akibat beberapa kawalan pergerakan, memaksa kilang mengambil pekerja dari zon merah di Lembah Klang.
Wong kata cara negara ni tangani pekerja asing sebabkan ramai daripada mereka di Bukit Pasir mengelak mengambil ujian Covid-19 kerana bimbang kehilangan kerja dan diusir.
“Dengan jutaan pekerja asing enggan membuat ujian Covid-19 sukarela, namun masih diambil bekerja dalam sektor yang terdesak memerlukan pekerja, kita akan berdepan isu sama berulang kali, walaupun vaksinasi dimulakan di Malaysia,” – Wong Shu Qi, seperti yang dilaporkan FMT
Kata Wong, kluster Bukit Pasir rekodkan hampir 1,500 kes setakat ni termasuk seorang yang memerlukan rawatan intensif. Dia desak kerajaan melaburkan lebih banyak wang untuk sumber dan tenaga bagi memerangi pandemik itu di Pagoh kerana ia kawasan Parlimennya. Wong kata Perdana Menteri, Muhyiddin umumkan keseluruhan 160,892 pekerja asing di zon merah diuji untuk Covid-19, tapi jumlah tu kecil berbanding kira-kira 1.5 juta pekerja asing yang tinggal di Malaysia.
Dia menggesa kerajaan lakukan ujian calitan terhadap semua pekerja asing, tanpa mengira status mereka dan meneruskan polisi Pakatan Harapan “Malaysia@Work” untuk menggalakkan pengambilan warga tempatan yang mempunyai kelayakan serta latihan teknikal dan vokasional.
MB Selangor akan pastikan semua pekerja asing di Selangor menerima vaksin Covid-19
Isu kebajikan pekerja asing ni turut mendapat perhatian Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Pembelian vaksin Covid-19 oleh kerajaan Selangor untuk penduduk Selangor akan turut ambil kira keperluan pekerja asing. Kerajaan Selangor bercadang untuk sediakan vaksin Covid-19 pada harga berpatutan khususnya kepada pengusaha kilang di Selangor yang banyak gunakan khidmat pekerja asing.
“Kerajaan negeri akan membeli vaksin itu, tapi mungkin untuk kilang-kilang ini kita akan jual pada kos yang minimum bagi memastikan pekerja asing juga menerima vaksin itu. Bukanlah kita nak tumpu pemberian vaksin kepada pekerja asing sahaja tetapi disebabkan kerajaan pusat tumpu kepada penduduk tempatan maka kita fokuskan juga kepada pekerja asing serta rakyat tempatan yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman khas ‘Pakej Kita Selangor’ di kediaman rasminya di sini, hari ini.
Sekiranya pembelian tu berjaya dilakukan rakyat tempatan akan turut diberikan vaksin secara percuma dan ia dapat mengurangkan beban kerajaan pusat. Selain tu, kerajaan negeri dah menyenarai pembekal vaksin Covid-19, namun ia masih dalam proses rundingan setakat ni.
Amir sempat berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) ketika lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang semalam dan ada beberapa perkara telah dipersetujui antara kedua-dua pihak.
Covid-19 tidak mengenal sebarang darjat dan bangsa, semua manusia perlu dilindungi
Melihat daripada kes-kes baharu Covid-19 yang semakin meningkat, sudah masanya kerajaan mengambil langkah yang lebih agresif dalam membendung virus ni. Kami sebenarnya tak faham kenapa kita berada dalam PKP, tapi terlalu banyak benda yang dilonggarkan. Bukankah lebih baik kita buat PKP macam awal-awal tu dulu, kita korbankan dua minggu untuk meratakan lekuk jangkitan. Apa yang berlaku sekarang ni, macam sama je takde PKP.