Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan dirinya terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco).
Menurutnya, tohmahan jahat itu turut berlegar di media massa dan media sosial tanpa sebarang butiran lengkap.
“Sehingga kini tohmahan jahat ini berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran yang lengkap bagaimana saya terbabit dalam perkara ini dan apakah salah laku tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum dibatalkan.
“Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada Spanco.
“(Jadi) janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai Perdana Menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.
“Jangan samakan kedudukan saya dengan Perdana Menteri ke-10 yang juga merupakan Menteri Kewangan. Saya tahu kedudukan saya,” ujarnya.
Muhyiddin menyamakan dakwaan terbaharu itu dengan tuduhan sebelum ini membabitkan wang negara bernilai ratusan billion ringgit.
“Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya.
“Saya juga telah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan rasuah berkaitan projek Janawibawa.
“Pihak pendakwa merayu dan rayuan akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 28 dan 29 Februari ini. Saya berdoa semoga saya mendapat keadilan di mahkamah,” katanya.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan sudah merakam percakapan bekas menteri kewangan yang terbabit dalam kontrak perolehan Spanco bagi tempoh 2020-2021.
Sebenarnya SPRM tak tuduh pun Muhyiddin apa-apa
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nafi menuduh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd (Spanco).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini bersifat umum dan tidak pernah mengaitkan Muhyiddin dalam kes berkenaan.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan maksud penafian dibuat Muhyiddin
“Apa maksud dia (penafian Muhyiddin) sebenarnya? Saya hanya membuat kenyataan (isu Spanco) apabila ditanya (media) sama ada beliau (Muhyiddin) akan dipanggil (memberi keterangan).
“Saya menyatakan tidak menafikan, mahu pun tidak menolak (panggil Muhyiddin beri keterangan) namun ia bergantung kepada pegawai penyiasat SPRM.
“Jadi saya sebenarnya tidak lagi mengatakan serta tidak membuat membuat sebarang andaian (mengaitkan Muhyiddin dalam isu Spanco). Itu satu perkara biasalah bila kita membuat kenyataan tentang kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku (dalam siasatan SPRM),” katanya.
Pada Sabtu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilaporkan menafikan dakwaan beliau terbabit dalam salah laku berhubung pemberian kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kepada Spanco.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, sehingga kini tohmahan jahat itu berlegar di media massa dan media sosial tanpa butiran lengkap bagaimana beliau terbabit dalam perkara terbabit dan salah laku berkenaan.
Mengulas lanjut, Azam berkata, SPRM akan memanggil Muhyiddin memberi keterangan jika ada keperluan berbuat demikian bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
“Oleh sebab itu, saya katakan kalau ada keperluan, saya serahkan kepada pegawai penyiasat untuk memanggil sesiapa jua termasuk Muhyiddin.
Dalam masa yang sama, SPRM buat semakan notis merah
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat semakan notis merah terhadap menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap Muhammad Adlan, 48, dan peguamnya Mansoor Saat, 69, pada Oktober tahun lalu.
“Itu saya belum dapat maklumat lagi, SPRM akan semak lagi dengan pihak Interpol. Buat masa sekarang, tunggu dia (Muhammad Adlan) kembali ke negara ini untuk pertuduhan di mahkamah.
“Usaha masih dijalankan, SPRM telah memohon kepada PDRM untuk disenaraikan sebagai orang dikehendaki oleh Interpol. SPRM masih berusaha, bukan dia seorang tetapi juga peguamnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pejabat SPRM Cawangan Mersing dan Ikrar Bebas Rasuah di Dewan Jubli Intan Mersing pada Ahad.
Beliau berkata, Muhammad Adlan belum dapat dikesan dan masih tidak pulang ke tanah air setelah bertindak keluar dari Malaysia pada Mei tahun lalu.
Pada Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan notis merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat.
Beberapa dokumen termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu terlibat telah diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan Notis Merah.
Tindakan memanggil Muhammad Adlan dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Semakan rekod oleh SPRM mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.
Muhyiddin dapat kebenaran untuk pergi Thailand
Mahkamah Sesyen membenarkan Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan semula pasportnya sekali gus membolehkan bekas perdana menteri itu memulakan perjalanan untuk merasmikan restoran milik rakannya di Bangkok, Thailand minggu depan.
Hakim, Azura Alwi memerintahkan pasport itu dilepaskan secara sementara dan ia perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 23 Februari ini.
Pasport Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ditempatkan dalam simpanan pihak mahkamah sebagai syarat tambahan untuk jaminan berhubung tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan lebih RM200 juta yang dihadapinya.
Semasa prosiding, Azura berkata, walaupun Muhyiddin, 76, memohon untuk mendapatkan semula dokumen perjalanannya, bukan keperluan yang mendesak, namun mahkamah mempunyai budi bicara dan mempertimbangkan keadaan dalam sesuatu kes.
“Meskipun pemohon dikenakan sekatan dan syarat jaminan, namun beliau tidak wajar dihalang daripada menjalani kehidupan dan tanggungjawabnya seperti biasa.
“Ia selagi mana beliau tidak disabitkan atau didapati bersalah bagi pertuduhan terhadapnya,” katanya.
Beliau berkata, mahkamah juga mendapati tiada bukti Muhyiddin selaku pemohon mempunyai risiko untuk melarikan diri.