Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menafikan beliau bertanggungjawab membuat keputusan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru. Muhyiddin mendakwa difitnah oleh individu tertentu yang mendakwa proses pengambilan tanah yang berlaku pada Jun 2021 ketika negara dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh semasa penularan Covid-19.
“Saya telah ditohmah bertanggungjawab membuat keputusan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru. Keputusan pengambilan tanah tersebut yang dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak melibatkan saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu. Sebaliknya ia melalui proses di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana keputusan mengenainya dibuat oleh pihak berkuasa tanah Wilayah Persekutuan,” ujar Muhyiddin dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, sekiranya pengambilan tanah tersebut tidak dibuat mengikut lunas undang-undang, penduduk boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap perkata tersebut.
“Jika pengambilan tanah tersebut tidak dibuat mengikut lunas undang-undang, mahkamah boleh menentukan hak-hak pihak yang terjejas,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan penduduk minoriti Kampung Sungai Baru melahirkan rasa kecewa terhadap proses pengambilan tanah yang berlaku pada Jun 2021 ketika negara dalam fasa PKP penuh. Dalam video berdurasi 50 saat itu, mereka mendakwa warta pengambilan dikeluarkan pada 18 dan 21 Jun tanpa makluman awam yang telus dalam keadaan rakyat langsung tidak dibenarkan keluar rumah.
Individu berkenaan bagaimanapun tidak menyebut nama Muhyiddin dalam video berkenaan.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.
Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.

Jelas beliau, proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.
Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.
Terbaharu, penduduk unit flat yang terlibat dengan APT 1960 menerima notis pengosongan premis menjelang beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.
Bersatu Kelantan sambut baik hasrat untuk rombakan Perikatan Nasional
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan berpandangan bahawa tidak ada salahnya struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dirombak sebagaimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, langkah tersebut dilihat mampu menambah kekuatan serta menjamin kelestarian parti-parti komponen dalam PN bagi menghadapi cabaran politik negara pada masa hadapan.
“Menjadi sesuatu yang biasa buat mana-mana organisasi, sama ada politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau syarikat perniagaan untuk melakukan rombakan dalam pasukan pengurusan masing-masing. Hatta dalam barisan kepimpinan negara dan negeri, proses penyusunan semula pentadbiran boleh dilakukan mengikut keperluan semasa,” katanya
Menurut beliau, sekiranya pucuk pimpinan tertinggi PN mahu mengkaji cadangan penyusunan semula, ia seharusnya dibuat demi kebaikan keseluruhan parti komponen.

Tambahnya lagi, Bersatu Kelantan menyokong penuh usaha tersebut.
Media sebelum ini melaporkan bahawa PN dijangka melaksanakan rombakan struktur kepimpinannya selepas gabungan itu bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai penambahbaikan organisasi.
Tuan Ibrahim berkata, langkah menambah baik struktur parti tersebut bakal dilaksanakan secara menyeluruh.
Komen Razman berkaitan perubahan struktur
Perubahan struktur Perikatan Nasional (PN) yang akan dilaksanakan berkemungkinan disebabkan keputusan Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung baru-baru ini. Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria berkata, sebarang perubahan di peringkat pusat akan mempengaruhi kepimpinan di negeri-negeri.
Menurutnya, struktur kepimpinan PN negeri lazimnya ditentukan oleh pucuk pimpinan pusat dan akan berubah selaras dengan perkembangan dalam parti-parti komponen gabungan tersebut.
“Struktur di negeri Perak diketuai oleh Bersatu dan seperti biasa, jawatan timbalan diberikan kepada wakil daripada parti komponen lain seperti Pas dan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia). Ini struktur tetap yang digariskan oleh pusat dan dipraktikkan di semua negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol.

Mengulas lanjut, Razman memaklumkan hanya Bersatu yang mengalami perubahan kepimpinan susulan pemilihan parti itu, manakala Pas, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) masih mengekalkan struktur sedia ada.
“Pelantikan Pengerusi PN negeri lazimnya disandang oleh ketua parti yang telah ditentukan bagi negeri-negeri. Selepas itu, beliau akan melantik setiausaha dan membentuk jawatankuasa negeri mengikut amalan biasa dalam gabungan,” katanya.
Dengan semua perubahan struktur yang mungkin akan berlaku, calon PN tetap yakin
Kedudukan dan kekuatan kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN) boleh tergugat sekiranya Perikatan Nasional memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April depan.
Calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek berkata, walaupun keputusan PRK itu sama sekali tidak boleh menukar kerajaan negeri yang ada, namun ia tetap akan menjejaskan kedudukan dan mengurangkan jumlah kerusi dimiliki BN.
“Paling tidak kita mampu memberikan kesan kepada kestabilan kerajaan walaupun tak boleh nak tukar kerajaan lagi. Dalam demokrasi, bila ada satu-satu tempat atau kawasan itu perlu diadakan PRK, maka kita terlibatlah. Ada orang bagitahu terlibat buat apa?
“Masuk bertanding kalau menang pun tetap tak jadi kerajaan. (Ya) betul! Tetapi kita meraikan demokrasi yang ada dan kita juga memberikan mesej kepada kerajaan negeri dan Pusat dalam PRK ini sekiranya kita diberikan kemenangan,” katanya
Tambah beliau, masyarakat di seluruh negara amnya telah menerima gabungan Perikatan Nasional dengan baik sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 lagi.