PRN Sabah sedang hangat, parti politik cuba cari formula

f1

Belum ada keputusan muktamad berhubung kerjasama dan agihan kerusi melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17). Perkara itu dimaklumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menegaskan bahawa kerajaan yang dipimpinnya kini merupakan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan sekarang ialah GRS-PH, jadi dalam konteks ini kita bermula dari sana. Tetapi ini belum lagi muktamad, agihan di antara kita pun belum muktamad dan juga kerjasama agihan kerusi dengan PH itu pun belum lagi dimuktamadkan. Kalau dekat nanti pilihan raya atau sudah bubar, barulah kita boleh cakap dapat dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui pemberita

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan presiden parti-parti komponen dalam GRS yang mahukan penjelasan sama ada gabungan itu akan bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau menjalinkan kerjasama dengan gabungan lain.

download (1)
Hajiji. Via MalayMail

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan parti-parti komponen yang tidak mempunyai kerusi akan diberikan peluang bertanding pada PRN kali ini, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjelaskan semua parti perlu menerima hakikat bahawa calon yang diketengahkan harus berpotensi untuk menang.

Mengulas pertemuan antara presiden-presiden parti komponen GRS, Hajiji berkata, perbincangan sesama parti adalah penting bagi memastikan kesepakatan dalam menghadapi PRN.

“Kita selalu membincangkan kepentingan gabungan kita terutama sekali menghadapi PRN akan datang ini. Jadi salah satunya juga orang melihat ada sedikit (isu) bukan juga ketegangan, macam ‘berbalas pantun’ (berbalas kenyataan) di antara mereka. Itu biasalah dalam politik. Tetapi, demi kepentingan gabungan itu, perkara begini kita anggap selesai perbezaan itu. Yang penting kita membuat sesuatu perancangan perpaduan untuk menghadapi PRN yang akan diadakan tidak lama lagi. Insya-ALLAH, GRS kerajaan yang ada pada hari ini akan diberi sekali lagi mandat oleh rakyat untuk memerintah,” katanya.

Wakil dari SAPP rasa kecewa dengan perkembangan terkini gabungan PRN17

Bagi Naib Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Yit Jee, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai satu ‘tamparan hebat’ kepada DAP Sabah yang sebelum ini mendakwa mempunyai kuasa autonomi sendiri.

Yit Jee yang juga Ahli Majlis Tertinggi SAPP berkata, janji pimpinan pusat DAP yang kononnya memberi kuasa penuh kepada DAP Sabah hanyalah janji kosong.

“Pada 10 November 2024, Setiausaha Agung DAP sendiri mengisytiharkan bahawa DAP Sabah telah diberikan autonomi untuk berunding dan membuat keputusan sendiri dalam kerjasama politik. Namun, dalam tempoh kurang daripada setengah tahun, pengumuman terkini oleh Kerajaan Perpaduan membuktikan sebaliknya,” katanya

Yit Jee berkata demikian sebagai merujuk kenyataan rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang jelas menyatakan bahawa segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan. Beliau turut mempersoalkan sejauh mana autonomi yang sering dilaungkan oleh DAP Sabah sedangkan keputusan agihan kerusi ditentukan di peringkat pusat.

“Saya ingin bertanya kepada DAP, baik di peringkat pusat mahupun Sabah, inikah yang mereka maksudkan sebagai ‘autonomi’? DAP Sabah bahkan tidak mampu membuat keputusan sendiri tentang agihan kerusi. Semuanya ditentukan di Kuala Lumpur, namun mereka masih berani memberitahu rakyat bahawa mereka ada autonomi,” katanya.

Mengulas lanjut, Yit Jee menyifatkan DAP Sabah tidak konsisten dengan kenyataan mereka sebelum ini yang menafikan sebarang kerjasama dengan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, namun akhirnya duduk bersama dalam kerajaan selepas pilihan raya.

3118757
Yong Yit Jee. Via Sinar Harian

“Kini, DAP Sabah lebih teruk apabila menjadi boneka yang sekadar melaksanakan keputusan pimpinan pusat PH dan BN, sekali gus mengkhianati janji asal kepada rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah bukan pelupa. Satu kenyataan rasmi dari kerajaan pusat sudah cukup untuk membongkar semua penipuan DAP Sabah. Mampukah mereka masih berani berdepan dengan pengundi dan mendakwa bahawa mereka mewakili Sabah?” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sabah memerlukan parti yang berprinsip, berakar di bumi tempatan dan tidak tunduk kepada tekanan atau arahan daripada pusat.

“Apa yang benar-benar diperlukan Sabah ialah parti yang teguh dengan pendirian tempatan dan tidak tunduk kepada kuasa pusat, bukannya agen politik yang hanya pandai melaungkan slogan tetapi tunduk kepada arahan dari Kuala Lumpur. Sabah bukan jajahan parti-parti dari Semenanjung dan kuasa untuk menentukan masa depan Sabah tidak seharusnya berada jauh di Kuala Lumpur. Rakyat Sabah berhak mendapat autonomi dan hak menentukan nasib sendiri, bukan dikawal dari luar,” katanya.

Sehubungan itu, SAPP menyeru seluruh rakyat Sabah untuk bersatu dan menyokong kerajaan tempatan yang benar-benar berteraskan rakyat Sabah, dan yang sanggup memperjuangkan hak serta aspirasi mereka.

Bagi GRS apa yang penting adalah aspirasi rakyat

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan komitmen untuk terus mengutamakan aspirasi rakyat dan suara akar umbi, khususnya dalam konteks politik negeri yang kadangkala terpinggir dalam perbincangan di peringkat nasional. Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian itu amat penting ketika wujud perbincangan politik di peringkat nasional yang kadangkala gagal mengambil kira sensitiviti dan konteks politik negeri ini.

“Kami menghormati peranan parti-parti nasional dalam kerangka Kerajaan Perpaduan, namun kerjasama politik mesti berpaksikan prinsip saling menghormati, bukan dengan meminggirkan kekuatan dan suara tempatan. Mana-mana percubaan untuk membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS atau tanpa melalui saluran muafakat sedia ada adalah tindakan pra-matang yang tidak mencerminkan keikhlasan kepada rakyat Sabah,” katanya

Sehubungan itu, Nizam yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan Presidennya, Datuk Seri Hajiji Noor yang memberi keutamaan parti-parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik Sabah.

“Sebagai Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, saya menyokong sepenuhnya pendirian bahawa parti-parti tempatan harus menjadi teras kepada pentadbiran negeri kerana hanya parti tempatan yang benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah. Oleh itu, Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai platform utama memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan dan kemajuan berterusan buat negeri Sabah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *