Semalam, seperti yang telah dijangkakan oleh orang ramai susulan penarikan sokongan Umno melalui ucapan Presidennya pada bulan lepas, Umno telah mengumumkan mereka tak akan mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Hal ini akan menjadikan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri terbatal. Melalui ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keputusan itu dikatakan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang berlangsung semalam.
Dia turut memaklumkan surat akuan (SD) ahli Parlimen UMNO berkenaan penarikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Menurutnya, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Al-Sultan Abdullah dan tak akan pertahankan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang dikatakan telah gagal.
Mereka berpendapat kenyataan Muhyiddin berkaitan isu Istana-Kerajan tak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan lagi kekhilafan kerajaan yang menyanggah titah Seri Paduka Baginda. Hal ini kerana YDPA dah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan dirungkaikan sebelum 1 Ogos 2021, bukannya pada bulan September 2021 iaitu persidangan Parlimen yang akan datang.
Sudah ada satu menteri Umno letak jawatan, Ahmad Maslan kata akan lebih ramai
Sebelum pengumuman dari Presiden Umno ini berlaku, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah telah umumkan peletakan jawatan sebagai jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan. Katanya keputusan itu dibuat setelah ambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti.
“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana berikan saya peluang untuk berkhidmat sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli dan pastinya pimpinan UMNO yang mencadangkan saya sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan. Mengambil kira beberapa keputusan dan pendirian parti. Maka, sebagai ahli UMNO yang patuh dan setia kepada parti, saya dengan ini meletak jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan,” – Dr Shamsul, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Kini dia hanya ingin memberikan tumpuan kepada rakyat di kawasan Parlimen Lenggong. Susulan dari peletakkan jawatan dari menteri yang kita sebenarnya tak tahu pun wujud, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan beri gambaran peletakan jawatan menteri libatkan pemimpin UMNO akan terus berlaku dalam tempoh 48 jam. Perkembangan tu terjadi susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut Ahmad Maslan, Peletakan jawatan menteri UMNO ini telah dimulakan oleh Shamsul Anuar, mereka masih menunggu apakah yang akan berlaku pada hari-hari berikutnya. Ahmad Maslan turut berpandangan ia merupakan satu keputusan bersejarah dan menyerahkan isu keabsahan Muhyiddin kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.
Rumah PM dihadiri oleh orang-orang kenamaan, Ismail Sabri meeting sampai malam-malam buta
Semalam beberapa orang kenamaan telah berkunjung ke rumah Perdana Menteri. Mereka keluar dari rumah tu kira-kira pukul 12:10 tengah malam. Macam biasalah kalau bab-bab kuasa ni, diorang boleh mesyuarat sampai tengah malam. Kalau bab-bab rakyat di Parlimen, diorang boleh meeting sampai 5 petang je. Ini belum lagi cerita kementerian yang tak nak meeting pada hujung minggu dan kena tunggu Isnin untuk lakukan keputusan penting untuk rakyat.
Selesai je mesyuarat di rumah PM, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkunjung pula ke hotel berhampiran Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. Di sana dia bertemu dengan beberapa ahli Parlimen Umno. Menurut laporan media, antara yang hadir ialah ahli Parlimen Arau merangkap Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim dengan ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib. Turut hadir ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Pagi ini pulak, rumah PM terus menjadi tumpuan media. Ramai yang ingin tahu apakah langkah seterusnya yang akan diambil oleh pasukan Perikatan Nasional. Seawal pukul 7 pagi, kumpulan media mula berkampung di Bukit Damansara. Setakat jam 9 pagi tadi, takde kenderaan yang bawa orang kenamaan atau orang politik masuk ke kediamannya.
Kerajaan yang baharu seharusnya lebih peka kepada rakyat, tidak sombong
Kita masih tak tahu apa yang akan berlaku pada kerajaan yang ada pada hari ini. Apa yang pasti, ramai akan tertunggu pengumuman daripada Istana Negara susulan penarikan semula sokongan Umno dari Perikatan Nasional. Apa yang pasti, jika kerajaan telah kehilangan majoriti, kita berkemungkinan akan memiliki kerajaan yang baharu. Diharapkan kerajaan yang baharu ini akan memulihkan semula amalan demokrasi di negara kita. Hanya dengan perbincangan yang kritikal di Parlimen dapat membantu negara kita bergerak ke hadapan.