Sejarah Sabah yang ramai tak tahu, pernah perang saudara kerana “sabung ayam”

F2

Sabah – seperti semua negeri lain di Malaysia – mempunyai sejarah yang amat panjang. Tanah di Sabah pernah menjadi hak kepada lima negara/entiti berdaulat yang berbeza. Bermula dari abad ke-15, Sabah merupakan milik Kesultanan Brunei. Apa yang berlaku sejak itu sehingga Sabah menjadi salah satu negeri dalam Malaysia? Di mana pula dalam sejarah yang panjang ini membolehkan Filipina untuk menuntut Sabah? Sebelum ni kami ada menulis artikel tentang bagaimana Sabah sedang dituntut oleh Filipina.

Konsep tuntutan hak dalam undang-undang antarabangsa, sesebuah negara boleh tuntut kedaulatan dengan lima cara

Sebelum kita bercakap panjang mengenai sejarah, eloklah sekiranya kita fahamkan dulu beberapa peruntukan undang-undang yang relevan dalam isu ini. Di bawah undang-undang antarabangsa, sesuatu negara itu boleh menuntut hak kedaulatan atau “sovereignty” melalui lima cara iaitu;

116154430 3111453142294997 9210252108750687152 N
Via Sabah Post
  1. Accretion – Tambakan
  2. Cession – Penyerahan
  3. Conquest – Penaklukan
  4. Effective Occupation – Pendudukan ke atas terra nullius(tanah tak bertuan)
  5. Prescription – Pendudukan ke atas tanah bertuan yang tidak dibantah

Dari lima cara inilah Sabah menjadi milik pelbagai jenis entiti atau negara berdaulat. Bermula dari tahun 1485M hingga 1524M, Kesultanan Brunei telah menakluk keseluruhan Borneo Utara sehinggalah ke Kota Seludung (yang pada hari ini dipanggil sebagai Manila). Sabah menjadi milik Kesultanan Brunei pada masa melalui cara penaklukan. Kemudiannya, dengan pelbagai masalah dalaman, perang saudara dan ketibaan kuasa Barat di Borneo, Kesultanan Brunei tidak lagi kuat seperti dulu. Di selatan Filipina masa itu, Kesultanan Sulu muncul sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada tahun 1578.

Oleh kerana kalah sabung ayam, perang saudara berlaku dan Sultan Brunei telah bertukar

Pada tahun 1660 sehingga 1673, satu perang saudara tercetus di Kesultanan Brunei. Puncanya bermula daripada pergaduhan antara Pengiran Muda Bongsu (anak kepada Sultan Brunei) dengan Pengiran Muda Alam (anak kepada Pengiran Abdul Mubin). Kedua mereka bergaduh disebabkan Pengiran Muda Bongsu kalah dalam sabung atau laga ayam kepada Pengiran Muda Alam.

Untitled Design 20
Sabung ayam ni bukan setakat tak bermoral, ia juga salah di sisi agama ye. Via 1Sabah

Pengiran Muda Alam mengejek Bongsu atas kekalahan tersebut. Bongsu mengamuk dan membunuh Alam. Pengiran Abdul Mubin membalas dendam dengan mencekik Sultan Muhammad Ali (iaitu Sultan Brunei pada masa itu). Pengiran Abdul Mubin mengambil takhta Brunei, dan melantik Bendahara yang baharu, Muhyiddin. Bendahara Muhyiddin kemudiannya mengangkat senjata dan tercetuslah perang saudara yang berpunca daripada sabung ayam.

Bendahara Muhyiddin telah meminta bantuan Sultan Sulu dalam perang saudara tersebut, dengan menjanjikan timur Sabah sebagai balasan. Akhirnya, Bendahara Muhyidin berjaya mengalahkan Sultan Mubin. Sultan Muhyiddin kemudiannya menunaikan janji dengan menghadiahkan Sabah Timur kepada Sultan Sulu. Tanah tersebut diberikan hak melalui cara cession atau penyerahan.

https://www.youtube.com/watch?v=Ed6QngJyB6Y

Pada tahun 1877 pulak, seorang pedagang Jerman bernama Gustav Overbeck berjaya memperoleh barat Sabah daripada Sultan Brunei dengan syarat pembayaran sebanyak $12,000 setahun. Pada 22 Januari tahun berikutnya, dia berjaya memperoleh timur Sabah daripada Sultan Sulu dengan bayaran sebanyak $5,000 setahun. Dia menubuhkan satu joint venture atau usaha sama dengan Alfred dan Edward Dent (Dent Bros.).

Dent Bros. Kemudiannya menubuhkan North Borneo Company dan mentadbirnya sehinggalah tahun 1946 (selepas Perang Dunia Kedua). Mereka menyerahkan North Borneo Company kepada Great Britain dan Sabah dijadikan sebagai Tanah Jajahan British atau British Crown Colony. British memerintah Sabah sehingga tahun 1963.

Penggabungan Sabah dengan Persekutuan Malaysia, masih kekal sehingga ke hari ini

Setahun sebelum Sabah diberikan kemerdekaan oleh British, satu jawatankuasa telah dibentuk bagi menentukan sama ada Sabah dan Sarawak bersetuju dengan cadangan pembentukan Malaysia. Jawatankuasa tersebut bernama Jawatankuasa Cobbold yang dibentuk pada 17 Januari 1962. Pada masa itu, muncullah beberapa tokoh yang memimpin Sabah. Donald Stephens yang mewakili komuniti bukan Islam dan Mustapha Harun yang mewakili komuniti Islam di Sabah bersetuju dengan cadangan penubuhan Malaysia.

116154430 3111453142294997 9210252108750687152 N
Jawatankuasa Cobbold. Via ApeKhabar

Persetujuan tu tercapai melalui Perjanjian Malaysia dan Perjanjian 20 Perkara atau Memorandum 20 Perkara. Perjanjian ini melibatkan pelbagai aspek yang merangkumi agama, bahasa, undang-undang, dan pendidikan. Filipina, yang pada masa itu diperintah oleh Presiden Diosdado Macapagal mula menuntut Sabah sebagai satu wilayah yang sepatutnya di bawah pentadbiran Filipina.

Hal ini adalah kerana Filipina mendakwa perjanjian yang dibuat pada 1878 itu adalah perjanjian pajakan, bukannya penyerahan (cession) wilayah timur Sabah. Disebabkan ianya hanya pajakan, maka British dan Tanah Melayu pada masa itu tidak berhak untuk menentukan sama ada Sabah boleh atau tidak boleh masuk dalam persekutuan Malaysia.

Presiden Macapagal yang menganggap Sabah merupakan hak Sulu, melihat cadangan penubuhan Malaysia ini sebagai satu cubaan Tanah Melayu untuk memperkasa autoritinya ke atas Sabah, Sarawak, Brunei, dan Singapura. Selepas berjayanya Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963, Donald Stephens atau Tun Muhammad Fuad Stephens telah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Rakyat Sabah telah menentukan hajat mereka, Malaysia adalah suara rakyat Sabah

Sabah – Negeri Di Bawah Bayu – sehingga ke hari ini masih di dalam Persekutuan Malaysia. Jesselton, yang mana menjadi ibu kota di bawah pentadbiran British telah ditukarkan namanya kepada Kota Kinabalu. Salah satu prinsip yang penting dalam undang-undang antarabangsa mengenai pembentukan negara ialah Hak Penentuan Kendiri atau Rights to Self-Determination. Prinsip ini memberikan hak kepada sesuatu masyarakat di dalam negara untuk menentukan nasib mereka sendiri, termasuklah sama ada rakyat Sabah memilih untuk berada dalam Malaysia, Filipina, mahupun membentuk negara sendiri. Batu Sumpah Keningau menjadi saksi terhadap perjanjian dan jaminan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *