Jika kita ditanya tentang “sebab” Pakatan Harapan tumbang, jawapan yang paling mudah yang kita boleh bagi adalah diorang tak stabil dan ada sesetengah daripada pemimpin mereka mempermainkan manifesto yang bagi mereka kejayaan pada PRU14. Masalah “tidak stabil” bukanlah masalah yang boleh bawak main-main. Nampaknya penyakit tak stabil ni dah mula masuk ke Perikatan Nasional. Agaknya memang game politik macam ni, siapa-siapa je ada kuasa, dia mula gaduh tentang kuasa tu.
Kami pun tak tahu sejauh mana Perikatan Nasional ni “retak”, tapi daripada apa yang berlaku sejak beberapa hari ni – nampaknya sudah ada kritikan terbuka di antara satu sama lain. Sudah tentu ia akan beri dinamik yang berbeza pada PRU15, kalau semua pasukan nak bergaduh.
Presiden UMNO tak nak masuk Perikatan Nasional, nak fokus pada Muafakat Nasional je
Minggu lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklumkan UMNO dah buat keputusan untuk tak sertai Perikatan Nasional, sebaliknya nak perkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN). Katanya, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan Kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.
https://www.youtube.com/watch?v=IStoYqIeHls
“YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN. Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” – Zahid, seperti yang dilaporkan oleh Umno Online
Katanya, Jawatankuasa Induk MN sebelum ni dah putuskan untuk UMNO dan PAS beri keutamaan bagi memperkukuhkan Muafakat Nasional.
Mengikut PAS, apa yang dikatakan Zahid tu, tak dibincangkan lagi weh.
Cuma lain pulak ceritanya dari seorang tokoh PAS ni, katanya Muafakat Nasional (MN) takde adakan sebarang perbincangan sebelum UMNO umumkan keputusan untuk tak sertai Perikatan Nasional (PN). Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, sebaliknya kata, dia enggan ulas sama ada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bersifat peribadi atau organisasi.
“Kita pun tidak pasti berhubung perkara itu (kenyataan Ahmad Zahidi), UMNO kata nak bincang dengan PAS dan saya difahamkan minggu depan baru kita akan mengadakan perbincangan. Perkara ini mesti kena bincang. Kita tidak mempunyai sebarang masalah kerana sering mengadakan perbincangan menerusi Muafakat Nasional,” – Takiyuddin, seperti yang dilaporkan Sinar Harian
Dia kata macam tu ketika ditemui selepas majlis pengagihan daging korban di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Mas. Takiyuddin tegaskan PAS sokong sepenuhnya kerajaan PN sehingga PRU-15. Pada masa yang sama, katanya, PAS akan terus perkasakan MN kerana dah ada perjanjian dan parti itu selaku parti Islam akan berpegang kepada janji.
Apabila PAS kata macam ni, UMNO kata; pendirian UMNO untuk tak sertai Perikatan Nasional (PN) sebagai parti komponen dah dibangkitkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional sebelum ni. Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kata, UMNO dah bawa suara Majlis Tertinggi serta akar umbi yang tak nak parti tu sertai PN dalam dua mesyuarat Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional.
Menurutnya, hampir keseluruhan kepimpinan pada semua peringkat mahu UMNO kekal dalam Barisan Nasional (BN) dan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional.
“Justeru, apa yang disuarakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan beliau baru-baru ini, adalah suara kolektif kepimpinan dan akar umbi UMNO. Bahkan, pendirian ini telah pun dibangkitkan barisan 11 kepimpinan yang mewakili UMNO dalam Jawatankuasa Induk Perundingan Muafakat Nasional yang turut disertai 11 kepimpinan tertinggi Pas,” – Asyraf Wajdi, melalui hantaran Facebooknya
Kalau dulu Muafakat Nasional bermadu dua, dengan Perikatan Nasional kena bermadu tiga pulak
Kecelaruan ini dapat perhatian dari seorang penulis politik, Shahbudin. Katanya, tak kira sama ada Bersatu dijemput ikut Muafakat Nasional atau Muhyiddin Yassin yang nak bawak Bersatu sertai gabungan tu, MN mungkin akhirnya akan ada tiga parti di dalamnya. Jika sebelum ni hanya ada UMNO dan Pas dalam MN, kemungkinan ia akan bertambah dengan kemasukan Bersatu selepas ni.
Dalam erti kata lain, kalau sebelum ni UMNO dan Pas hanya “bermadu dua” untuk kongsi kawasan pilihanraya yang sama, sekarang ni dah bertambah seorang lagi madu untuk berkongsi kasih yang satu. Sementara tu, dengan UMNO dan Pas pun belum selesai soal pembahagian di kawasan Melayu, bertambah seorang lagi madu tentulah menambahkan lagi sulit perundingan itu. Sekarang ini, belum pun Bersatu menjadi anggota rasmi MN, perbalahan sudah pun mula nampak tanda-tandanya.
Macam yang kami kata tadi, kecelaruan bukan je berlaku dekat PH semasa diorang berkuasa, nampaknya ia dah berjangkit dekat Perikatan Nasional. Agak-agaknya, masalah “perpaduan” yang ada dalam Perikatan Nasional ni akan sebabkan diorang kalah sebagai kerajaan tak? Sebab itulah walaupaun sama-sama “Melayu”, ia tak beri jaminan bahaya pakatan tu akan utuh, lebih-lebih lagi melibatkan hal kuasa.