Jose Rizal, pejuang kemerdekaan Filipina yang anggap dirinya sebagai orang MELAYU

F1

Apabila bercakap tentang rumpun Melayu, kita sering beri tumpuan kepada negara kita, Singapura, Brunei dan Indonesia. Kadang-kadang kita sertakan sekali Selatan Thai dan Selatan Filipina. Benda ni terjadi kerana kita banyak dipengaruhi idea bahawa Melayu itu Islam. Tetapi rumpun Melayu ini sebenarnya dari segi etniknya dalam keluarga Austronesia, yang merangkumi orang asli Taiwan, Madagascar, kepulauan Polynesia (di Lautan Pasifik) termasuk keseluruhan Filipina.

Peta
Kawasan yang menggunakan Bahasa Malayo-Polynesian. Via Wikipedia

Dalam artikel hari ni kami akan bincang serba sedikit tentang idea “Melayu” yang datang dari Filipina, sesuailah untuk korang kembangkan pengetahuan tentang Melayu ni…

Jose Rizal mengganggap dirinya sebagai orang Filipina dan Melayu seawal 1880-an

Penggunaan Bahasa Melayu Lama ni sekurang-kurangnya telah digunakan sejak zaman Sriwijaya, Empayar pertama yang gunakan Bahasa Melayu Lama. Ketika itu Bahasa Melayu yang telah digunakan sebagai ‘lingua franca’ atau bahasa perdagangan di Filipina. Kerajaan-kerajaan Islam yang pernah wujud di Filipina: pemerintah Kerajaan Maynila (kini Manila), Kesultanan Maguindanao, Kesultanan Sulu dan Kesultanan Lanao mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kerajaan-kerajaan seperti Melaka, Johor dan Brunei.

Filipina terpisah dari Nusantara apabila bermulanya penjajahan Sepanyol. Majoriti besar rumpun Melayu di bahagian lain Nusantara memeluk Islam. Hanya kawasan Mindanao dan Sulu kekal Islam di kepulauan Filipina, yang lain telah memeluk agama Katolik ketika itu.

Nasionalis Filipina, Jose Rizal (1861-1896) mengganggap dirinya sebagai orang Filipina dan Melayu seawal 1880-an, bukan sebagai rakyat Sepanyol berkulit sawo matang seperti ramai orang Filipina sezamannya. Rizal dianggap warga negaranya hari ini sebagai ‘Filipina pertama’.

Hou Art 20200306 Thewayback Header
Jose Rizal. Via The Manila Times

Dia melihat Filipina ada tradisi dan warisannya tersendiri sebelum penjajahan Sepanyol, yang berkaitrapat dengan Nusantara atau Kepulauan Melayu. Cita-cita Rizal ialah untuk menyatukan tanah airnya dengan Alam Melayu semula yang terpisah kerana penjajahan.

Ketika waktu ni, kesedaran untuk memerdekakan Indonesia atau Tanah Melayu sebagai sebuah negara bangsa, belum timbul. Sebab itu dia digelar Anwar Ibrahim sebagai ‘pahlawan Melayu’ dan ‘Melayu pertama’ pada persidangan tentang Jose Rizal pada 1995.

Apolinario Mabini mengimpikan Filipina yang merdeka jadi contoh kepada bangsa Melayu untuk melawan penjajah

Rizal akhirnya mati dihukum bunuh penjajah Sepanyol. Sewaktu beliau dibunuh, beliau sedang belajar Bahasa Melayu kerana beliau percaya Bahasa Tagalog berasal dari Bahasa Melayu.

Hou Art 20200306 Thewayback Header
Ini cita-citanya, gabungkan kepulauan Melayu. Via Summitmedia Digital

Perdana Menteri pertama Filipina, Apolinario Mabini (1864-1903) mengimpikan Republik Filipina yang merdeka menjadi contoh kepada bangsa Melayu secara keseluruhan berhadapan penjajah. Wenceslao Vinzons (1910-1942) merupakan seorang Ahli Politik dan Pejuang Kemerdekaan Filipinan menentang Jepun juga mengimpikan satu era Filipina kembali menjadi sebahagian daripada Alam Melayu.

Ketika menjadi pelajar di Universiti Filipina, dia menubuhkan Pan Malayan Union (Perhimpunan Orang Melayu) yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa upacara secara rahsia. Ahli-ahlinya terdiri dari pelajar-pelajar dari Tanah Melayu, Hindia Timur Belanda (Indonesia) dan Kepulauan Polinesia. Mereka belajar sejarah dan budaya orang Melayu berserta solidariti orang kulit sawo-matang.

Hou Art 20200306 Thewayback Header
Via Twitter

Di universiti, pada umur 22 tahun, dia menyampaikan ucapan Malaysia Irredenta yang menggagaskan penyatuan Alam Melayu dalam negara bernama Malaysia. Ucapan ini telah memenanginya Pingat Emas Manuel Quezon. Perpecahan Dunia Melayu menjadikan ia terdedah bukan saja kepada penjajahan Barat tetapi Jepun yang sedang berkembang pesat ketika itu.

Vinzons menyebut tentang sejarah Srivijaya, Majapahit, dan penghijrahan orang Austronesia hingga ke Madagascar di Lautan Hindi dan kepulauan Polinesia di Lautan Pasifik.

“Anda tentu menggeleng kepala tak percaya dengan mimpi ini kerana kehebatannya kelihatan luar biasa… bagaimana hujah penyatuan rakyat yang tinggal begitu jauh antara satu sama lain hilang dalam keluasan lautan, mungkin kelihatan projek yang sukar dicapai. Tetapi respon anda kepada cabaran ini adalah jawapan anda terhadap kemampuan kaum anda terhadap tamadun, dan impian ‘Malaysia’ yang ditebus akan menjadi warisan anda selama-lamanya.”

Akhirnya idea Maphilindo hari ini terlaksana, tapi melibatkan seluruh negara Asia Tenggara

Vinzons kemudian menubuhkan Young Philippines Movement yang memperjuangkan nasionalisme Melayu yang luas. Dia meninggal dunia menentang penjajah Jepun ketika Perang Dunia ke-2.

Hou Art 20200306 Thewayback Header
Via QUORA

Namun, salah seorang dari anggota Young Philippines Movement, Duosdado Macapagal, menjadi Presiden Filipina dan memulakan usaha menubuhkan Maphilindo pada 1963 melibatkan Filipina, Tanah Melayu dan Indonesia. Akhirnya projek ini tidak berjaya kerana Filipina menolak penyertaan Sabah ke dalam Malaysia manakala Indonesia juga menolak pembentukan Malaysia sebagai neo-kolonialisme ketika itu.

Idea Maphilindo ini sedikit sebanyak menjadi realiti menerusi gabungan ASEAN yang lahir pada 1967 tetapi melibatkan rantau Asia Tenggara melangkaui Dunia Melayu.


Artikel ini merupakan sumbangan pembaca ORANGKATA. Sekiranya anda mempunyai tulisan yang menarik, anda boleh mengemailkan kepada kami melalui [email protected].

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *