Tahukah anda? Dahulu perempuan sukar dilepaskan ke sekolah kerana takut dia “bercinta”

F1

Sekarang ni, lelaki dan perempuan dah boleh dapat pendidikan dan takde masalah nak lanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Tapi tahukah korang; dulu-dulu, tak ramai perempuan dibenarkan belajar sama tinggi dengan lelaki?

Apa yang buatkan keluarga Melayu dulu-dulu tak benarkan perempuan ke sekolah, dan macam mana tanggapan tu berubah pulak? Sebenarnya bukan senang tau nak pujuk keluarga Melayu dulu-dulu untuk lepaskan anak perempuan mereka, jadi kami rasa menarik jugak untuk tau macam mana wanita kemudiannya berjaya dapatkan pendidikan di Tanah Melayu sebelum kedatangan Jepun.

Pilihanraya
Wanita berkempen pada pilihan raya 1959 di Kuala Lumpur… Via Wikiwand

Keluarga tak benarkan sebab takut anak perempuan tak tolong buat kerja rumah dan duduk bercampur dengan budak lelaki

Tugas anak perempuan dalam institusi keluarga amat penting, khususnya bila pembahagian kerja ikut jantina tu menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat Melayu dulu-dulu. Biasanya anak lelaki diberi tanggungjawab untuk cari kerja manakala anak perempuan pulak tolong buat kerja rumah.

Oleh sebab tu, bila sekolah-sekolah formal dibina… guru dan pendiri sekolah mempunyai masalah untuk menarik minat keluarga nak benarkan anak perempuan ke sekolah. Selain tu, wujud jugak tanggapan bahawa wanita tak seharusnya menyamai lelaki dalam semua bidang dan mungkin kalau diberi pendidikan, nanti pandai bercinta pulak.

Wanita Ke Sekolah
Sekumpulan wanita tengah mengundi. Kalau tak pandai baca, macam mana nak mengundi?.. Via Harian Metro

Kaum ibu jugak risau kalau anak perempuan mereka takde kat rumah, takde siapa yang dapat bantu ringankan kerja-kerja kat rumah. Selain tu, ada jugak bayangan bahawa anak-anak perempuan akan bergaul rapat dengan budak lelaki sedangkan tu perkara yang ditegah dalam norma masyarakat Melayu dulukala.

Ketika tu, isu pendidikan wanita menjadi salah satu isu paling utama yang dibahaskan dalam tradisi kesusasteraan Melayu. Memandangkan kaum lelaki dah mampu menjawat kedudukan yang lebih tinggi dalam kerajaan kerana pendidikan yang dimilikinya, maka banyak pemikir zaman dulu melihat wanita jugak harus mempunyai peluang yang sama untuk dapatkan pendidikan.

Pilihan Raya 1969
Via Wikiwand

Secara tak langsung, idea nak beri pendidikan pada wanita ni pun banyak berkembang ikut zaman. Mulanya, ada pemikir berpandangan wanita boleh diberi pendidikan formal kat sekolah agar wanita boleh jadi suri rumah yang lebih pandai dari ibu-ibu mereka. Tetapi lama-kelamaan, peranan wanita semakin diperluaskan ruangnya iaitu daripada hanya ruangan dapur dan rumah, kepada ruangan profesional pulak.

Dulu-dulu, jarang sangatlah nak jumpa wanita yang pandai membaca dan menulis. Biasanya anak perempuan yang dihantar ke sekolah ni berlatarbelakangkan keluarga yang dah memang berpendidikan ataupun keluarga pertengahan dan peringkat atasan. Jadi keluarga miskin masih kekal jadi miskin disebabkan takde pendidikan dan kemahiran membaca serta menulis yang semakin penting masa tu.

Resepi Tulisan Jawi
Antara buku resepi neneknya dulu-dulu yang ditularkan cucunya… Via Mstar

Kemajuan wanita tajuk yang hangat diperbahas dalam akhbar dan majalah

Kemajuan wanita antara yang dibahaskan dalam banyak akhbar dan majalah Melayu sejak 1920 lagi. Malah, naskah majalah Al-Imam yang diterbitkan dari tahun 1906-1908 yang sudah lama memperjuangkan hak wanita untuk mendapatkan pendidikan seperti ilmu agama, kesusilaan dan matematik. Idea nak bagi pendidikan pada wanita jugak diteruskan sebarannya melalui beberapa majalah dan akhbar penting.

Pada tahun 1926, muncul majalah Al-Ikhwan di Pulau Pinang oleh Syed Sheikh al-Hadi. Korang mungkin pernah dengar nama penulis tersohor dengan bukunya Hikayat Faridah Hanom. Syed Sheikh al-Hadi ni memang konsisten memperjuangkan nasib wanita, termasuklah menggesa agar wanita diberi pendidikan yang secukupnya dengan pandangan bahawa wanita ni adalah pembantu kepada kaum lelaki dalam usaha membina semula bangsa dan negara.

Faridah Hanom Al Hadi
Via Lestari Hikmah.com

Beberapa majalah lain seperti Panduan Guru, Majalah Guru dan Bulan Melayu mulai mendapat perhatian masyarakat pada 1930-an. Bulan Melayu merupakan majalah yang diterbitkan di Johor Bahru oleh Persekutuan Perempuan Melayu Johor. Ketika tu, lebih banyak lagi majalah popular lain yang turut laris seperti Warta Malaya, Majlis dan Lembaga. Isu pendidikan dan pembangunan wanita seringkali diangkat oleh Bulan Melayu, khususnya untuk memartabatkan kaum wanita dalam aspek pendidikan, ekonomi serta sosial.

Pengaruh Bulan Melayu ni jugak besar jugak kerana rata-rata pelanggan setianya terdiri daripada guru lelaki dan wanita, di samping mendapat sokongan dan pujian oleh Al-Ikhwan sebagai majalah pertama yang diterbitkan oleh kaum wanita di Tanah Melayu. Amat popular dari 1930-1938, majalah ni jugak menandakan tempoh pembinaan lebih banyak sekolah sama ada beraliran sekolah Melayu, sekolah Inggeris dan sekolah agama.

Ibu Zain Tokoh Wanita
Ibu Zain antara tokoh pendidikan wanita yang banyak berjasa… Via Media Baru Wanita Maya

Oleh disebabkan tunjang akar isu tersebut adalah kesungguhan banyak guru untuk melihat lebih ramai murid perempuan terlibat dalam pendidikan, maka aliran pendidikan pun penting jugak untuk disebutkan. Walaupun semakin banyak keluarga yang dah berminat nak hantar anak perempuan mereka bersekolah, aliran sekolah tersebut ternyata masih penting.

Selain dari pilihan aliran persekolahan bersifat sekular dan pendidikan Inggeris, akhbar dan majalah Melayu terdahulu pun pentingkan jugak pendidikan agama dalam kalangan anak-anak perempuan. Mereka berpendapat bahawa ilmu pendidikan takkan cukup selagi pendidikan agama tak dititikberatkan sebagaimana aliran lain.

Ibu Zain Pendidikan Inggeris Islam
Ibu Zain turut menegaskan pendidikan Inggeris jugak tak gugat keislaman.. Via Tahutuai

Pendidikan agama amat penting sebab ia dapat memberi kefahaman sebenar tentang agama, dan diharap mampu untuk menolak ajaran agama yang jumud serta amalan karut dan khurafat dalam kalangan masyarakat Melayu. Kan agama suruh kita rajinkan belajar dan berusaha bersungguh-sungguh, maka takde salah pun kalau diselitkan sekali dalam melengkapi wanita Melayu dengan pengetahuan dunia dan akhirat. Siap ada ulama perempuan Melayu lagi ye dulu!

Pejuang wanita dan guru-guru wanita Melayu harus diingati jasanya, banyak sumbang pada kemajuan pemikiran Melayu

Sempena bulan sambut pembentukan Malaysia ni, kita tak harus lupa jasa para pejuang wanita termasuk guru-guru wanita Melayu yang membantu merancakkan tradisi intelektual di Tanah Melayu. Ada jugak berfikiran wanita dulu-dulu dikatakan tak pandai macam lelaki sedangkan kecerdasan fikiran tu pun banyak bergantung pada pendidikan jugak. Ye lah, kalau tak sekolah… macam mana nak pandai?

Via Giphy

Walaupun lepas pembentukan Malaysia sendiri, isu wanita jugak masih lagi belum selesai… bahkan ada jugak yang terhalang dari menerima pendidikan disebabkan keadaan dan status keluarganya. Kita tak boleh terlalu bergantung solusi dengan kerajaan je, sebaliknya kena bersama-sama membantu menyelesaikan isu-isu wanita.

Macam-macam sebenarnya isu wanita ni, daripada isu kena rogol hinggalah kepada masalah kewangan ibu tunggal yang semakin teruk. Malah, dalam ruang sektor pekerjaan pun, diskriminasi wanita masih lagi banyak berlaku tanpa mengira statusnya sebagai ibu tunggal ataupun anak perempuan yang menyara keluarganya seperti tak dibayar gaji selayaknya kerana dia sorang perempuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *