3 ulama perempuan Malaysia yang beri sumbangan kepada agama Islam

3 ulama perempuan Malaysia yang beri sumbangan kepada agama Islam

Bila sebut tentang ulama, kita mesti akan teringat pada beberapa nama ulama yang tersohor, kan? Kalau zaman sekarang mungkin kita akan teringat pada 3 adik-beradik ulama iaitu Dato Dr Haron Din, Dato Abu Hassan Din dan Ustaz Ishak Din. Perasan tak kalau kita sebut tentang ulama, mesti dalam kalangan lelaki sahaja,  kan?

Ya, memang jarang kita dengar pasal ulama perempuan. Tapi tak bermakna tidak wujud langsung ulama perempuan. Kalau nak tahu, ada ulama perempuan di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu yang juga menulis Kitab Kuning. Contohnya seperti Hajjah Wan Yah, Hajjah Khadijah Tok Selehor (nenek Dato Asyraf Wajdi), Syeikhah Fatimah Syeikh Abdul Wahab Bugis dan ramai lagi.

Hajjah Wan Yah, menulis Risalah Kecil Sifat Dua Puluh pada ilmu tauhid

Kitab Karangan Hajjah Wan Yah – via ar-raufi.blogspot.com

Risalah ni ditulis oleh seorang ulama perempuan bernama Hajjah Wan Yah Binti Almarhum Tuan Qadi Al-Haj Wan ‘Abdul Rahman dari Fatani. Ia hanya mempunyai 36 muka surat sahaja namun isi kandungannya sangat penting bagi umat Islam. Dalam agama Islam, ada satu konsep yang dinamakan sebagai tauhid iaitu pengetahuan tentang ke-Esaan Allah SWT, tiada tandingan, saingan dan yang sama dengan-Nya.

Dan sifat-sifat Allah SWT terdiri daripada 20 sifat. Jadi risalah ini menerangkan tentang 20 sifat tersebut. Walaupun ringkas, ia menunjukkan bahawa tahap ilmu Hajjah Wan Yah ternyata melangkaui tahap ilmu orang awam kerana menulis tentang tauhid bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan seseorang menuntut ilmu agama dengan mendalam, atau dengan kata lain orang yang menulis tentang tauhid mestilah dalam kalangan orang yang ‘alim sahaja.

Hajjah Khadijah Tok Selehor, giat menulis beberapa naskah Kitab Kuning

Hajjah Khadijah Tok Selehor – via buku Biografi Tokoh Wanita Kelantan (Nik Safiah Karim, Prof Emeritus)

Nama penuhnya ialah Hajjah Khadijah binti Haji Abdul Rahman, puteri kepada seorang ulama Kelantan yang digelar Tok Selehor. Menariknya tentang dia ialah anak dan cucunya merupakan tokoh politik yang dikenali iaitu Dato Dusuki (anaknya) dan Dato Asyraf Wajdi (cucunya).

Dato Asyraf Wajdi ketika melancarkan biografi neneknya yang ditulis oleh bapanya Dato Dusuki – via Utusan Malaysia

Bila sebut tentang bapa dan anak serta cucunya, pasti ramai yang kenal dirinya. Tapi sebenarnya dia sendiri seorang yang ‘alim dan genius.  Hajjah Khadijah berpendidikan sehingga darjah Empat sahaja, tapi perjalanan  menuntut ilmunya tidak berhenti setakat itu saja. Dia banyak menelaah kitab karangan ayahandanya dan juga suaminya yang juga dalam kalangan ulama. Dia amat mahir dengan Kitab Hikam (Tasawuf) karangan Ibnu Attaillah, Kitab Musalli (Fekah) karnagan Syeikh Daud Al-Fatani dan Kitab Faridatul Faraid (tauhid). Lagi hebat, dia boleh ingat setiap masalah dalam kitab-kitab tersebut sehingga ke muka suratnya sekali!

Via FB

Hajjah Khadijah seoarang penulis kitab yang giat menulis. Antara tulisannya ialah Risalah dan Syarat-Syarat Rukun Sembahyang, Risalah Sifat Dua Puluh, Risalah Ringkasan Rukun Iman, Kitab Pengenalan Ringkasan Kata-Kata Orang Tasawuf, Ringkasan Sejarah Rasulallah SAW dan Ringkasan Sifat-Sifat Mahmudah dan Sifat-Sifat Mazmumah.

Hebat, kan ulama perempuan zaman dahulu? -via Giphy

Syeikhah Fatimah Syeikh Abdul Wahab Bugis, menulis Kitab menggunakan nama bapa saudara

Kitab Perukunan Jamaluddin, ditelaah dan ditulis oleh seorang ulama perempuan tapi menggunakan nama bapa saudaranya, Syeikh Jamaluddin Al-Banjari

Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila tradisi pada zaman dahulu hanya mengiktiraf lelaki sahaja yang layak menulis kitab. Misalnya seperti kitab ‘Perukunan Jamaluddin’ ini, ia merupakan kitab kuning yang banyak dibaca di kepulauan Melayu. Bagi masyarakat Banjar, Kitab Perukunan ini bukan sahaja dipelajari, tapi turut menjadi rujukan utama dalam melaksanakan ibadah dalam kehidupan seharian. Dalam kitab ini, dihuraikan dasar mengenai rukun Islam dan rukun iman. Walaupun tertera nama penulis kitab ini ialah Syaikh Jamaluddin bin Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, tapi sebenarnya Kitab ini ditulis oleh anak saudara perempuannya iaitu Syeikhah Fatimah bt Syeikh Abdul Wahab Bugis.

Menurut Prof Martin Van Bruinessen dalam tulisannya ‘Kitab kuning dan Perempuan, Perempuan dan Kitab Kuning’

Dalam dunia kitab kuning memang tiada hak cipta yang khusus. Namun, dalam hal ini identiti pengarang yang sebenarnya telah disembunyikan. Kalau digali dalam sejarah, tidak mustahil akan ditemui perempuan lain yang menguasai ilmu-ilmu agama dan telah menulis kitab.

Mungkin lebih ramai ulama perempuan yang ada,cuma kita tidak tahu…

Kita harus sedar bahawa pada zaman dahulu, kedudukan perempuan tidak seperti sekarang. Maksudnya, dahulu, sungguhpun seseorang perempuan itu merupakan dalam kalangan ulama, tapi kegiatan mereka lebih bersifat di belakang tabir. Apatah lagi dengan keadaan zaman yang tidak mengiktiraf penulis perempuan sampaikan mereka berselindung di sebalik nama saudara lelaki mereka.

Bila kita fikirkan balik, betapa besarnya jiwa perempuan pada zaman tersebut, mereka rela tulisan mereka dikreditkan pada orang lain asalkan ilmu mereka dapat disampaikan pada masyarakat umum. Sudah tentu hal ini tidak sama dengan zaman sekarang, di mana sudah ramai professor/doktor falsafah perempuan dalam bidang agama yang menulis kajian dan thesis dengan nama sendiri.

Ia adalah sesuatu hal yang kita tidak pernah terfikirkan pada zaman sekarang apabila kita menyelak lembaran sejarah golongan wanita. Namun, seiring peredaran zaman dan usaha menggali tulisan ulama perempuan, akhirnya kita dapat mengetahui serba sedikit tentang sumbangan mereka.

Kalau anda nak baca tentang sumbangan golongan perempuan berpendidikan agama pada kemerdekaan negara kita, boleh cuba membaca buku ‘Ustazah Zaman Dulu-Dulu’ terbitan Jejak Tarbiah.

Al-fatihah, buat sekalian ulama perempuan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top