Zikir sambil menari dikatakan haram? Ini pandangan ulama tersohor

Ada
Zikir sambil menari dikatakan haram? Ini pandangan ulama tersohor

Baru-baru ni isu zikir menari kembali hangat, ramai yang tertanya-tanya benda tu salah ke atau tak. Macam biasalah, kami akan cuba cari jawapan untuk korang. Sebenarnya isu dah lama dah berlaku, orang asyik berdebat je tak sudah-sudah. Dalam isu ni kami gemar ambik pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, sebab dia adalah  antara agamawan yang paling sederhana. Dalam bab agama ni – kami lebih suka ambik pandangan yang sederhana dan tak ekstrem kat mana-mana manhaj dan mazhab. Sebab perbahasan tentang agama ni seluas lautan yang makin tercemar…

Sebelum tu, kena tahu dulu maksud zikir dan menari

Ada macam-macam maksud dan definisi yang dapat diberikan kepada pengertian zikir. Dari segi bahasa zikir ni maksudnya mengingati. Sementara dari segi istilah pula zikir merupakan mengingati Allah s.w.t., tak kiralah kat mana kita berada dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan perbuatan atau dengan hati.

Selain tu, zikir jugak dapat diertikan sebagai sebahagian daripada rangkaian iman yang diperintahkan agar kita melakukannya setiap saat. Mengingati Allah mendorongkan seseorang melakukan suruhan-Nya dan meninggalkan laranganNya. Mengingati Allah adalah usaha yang berkesan untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Zikir ni jugak terbahagi kepada dua – qalbi (dalam hati) atau lisani (iaitu pada lafaz lidah). Imam Nawawi jelaskan; zikir yang terbaik adalah yang dilakukan bersama; hati dan lisan. Di antara zikir dengan hati dan zikir dengan lisan, zikir dengan hati adalah lebih baik.

Zikir orang-orang soleh adalah dengan tasbih, tahmid, takbir dan tahlil sementara zikir orang yang berpaling daripada Allah iaitu dengan nyanyian yang melalaikan, ghibah (mengumpat orang lain), namimah (mengadu domba), dan kekejian.

Via Alif.ID

Definisi menari dalam Kamus Dewan pulak adalah melakukan tari (gerakan badan serta tangan dan kaki berirama) mengikut rentak muzik manakala berdansa bermaksud menari cara Barat. Ini bermakna menari lebih luas konsepnya.

Hukum berzikir dalam keadaan menari, ada dua pandangan yang famous

Bila Pejabat Mufti Wilayah meneliti hal ni, diorang dapati ada dua pandangan dengan hujah tersendiri. Hahh…ini pandangan tu;

Pertama: Haram

Antara hujah golongan ini adalah Rasulullah SAW tidak melakukannya begitu juga secara umumnya para sahabat tak lakukannya kecuali sebahagian kecil sahaja dalam kalangan mereka.

 “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah…” – (Surah al-Zumar: 23)

Ayat ni juga membantah tarian-tarian atas nama ibadah kerana ia telah menjelaskan keadaan orang Mukmin saat mendengar zikir yang disyariatkan. Keadaan orang Mukmin yang mengenal Allah SWT, yang takut kepada hukuman-Nya, ketika mendengarkan firman-Nya, janji dan ancaman-Nya, hati diorang melunak, air mata bertitisan, bergementar kulit, tampak khusyuk dan penuh ketenangan. Bukannya dalam keadaan tarian yang seperti tidak sedarkan diri.

Via Giphy

Kedua: Harus

Mereka berhujahkan kepada umum ayat dan beberapa dalil daripada hadith antaranya firman Allah SWT:

Maksudnya: “…(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring…” – (Surah Ali Imran: 191)

Imam al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani nyatakan bahawa sebagaimana yang diceritakan daripada Ibn Umar RA dan Urwah bin al-Zubair RA serta jamaah daripada sahabat RA, diorang telah keluar untuk menyambut hari raya di musolla dan berzikir kepada Allah. Tatkala dibacakan ayat di atas, mereka bangun berzikir dalam keadaan berdiri sebagai tabarruk muwaffiqh ayat tersebut.

Antara hadith yang digunakan oleh golongan yang mengharuskan adalah;

Daripada Aisyah RA berkata:

“Telah datang orang Habsyah menari pada hari raya di masjid. Lalu Nabi SAW memanggilku dan aku meletakkan kepalaku di atas bahu Baginda. Aku menonton tarian mereka sehingga aku mengalihkan pandanganku daripada mereka.”

Antara pendapat ulama’ yang mengharuskannya ialah;

  • Al-Allamah Ahmad Zaini Dahlan tatkala disebut hadith dan nas berkenaan dengan Ja’far, mengambil hukum bahawa Rasulullah tidak mengingkari perbuatannya dan atas dasar inilah ia dijadikan sumber hujah bagi golongan sufi menari ketika merasai keseronokan dalam majlis zikir.
  • Syeikh ‘Attiyyah Saqar dalam kitabnya yang terkenal Fatawa min Ahsanil Kalam.
Via Giphy

Pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, pandangan mengatakan haram lebih kuat…

Selepas meneliti beberapa hujah dari dua aliran yang mengharamkan dan yang membenarkannya, diorang berpandangan:

  1. Pengharaman zikir dalam keadaan menari adalah lebih kuat kerana kaedah yang digunakan amat jelas.
  2. Hadith yang digunakan untuk mengharuskan zikir dalam keadaan menari lebih bersifat menggambarkan berita gembira yang diperolehi daripada Rasulullah SAW, bukannya mereka berzikir semasa itu. Ini adalah dua keadaan yang berbeza.
  3. Begitu juga perlakuan itu adalah hanya beberapa orang sahabat sahaja, bukan keseluruhan dan ia tidak ada kena mengena dengan zikir.
  4. Seterusnya mereka menggunakan perkataan tamayulyang memberi maksud menggoyangkan atau melenggokkan sedikit badan. Ia bukanlah seperti menari.
  5. Kami juga berpendapat, maksud gerakan yang diharuskan itu hanya gerakan yang kecil atau sedikit seperti kepala dihayun ke hadapan dan ke belakang atau ke kiri dan ke kanan sepertimana yang dilakukan oleh seseorang ketika asyik berzikir. Maka, ini tidak menjadi masalah dan dibolehkan.
  6. Hujah yang mengharuskan itu telah dijawab oleh ramai ulama seperti nas-nas yang dikemukakan lebih bersifat umum dan bukan dimaksudkan secara khusus berdasarkan wajah istidlal yang digunakan.
Via Berita Harian

Syariat Islam tak menyebut secara jelas tentang kebolehan tarian ketika berzikir, baik dalam al-Qur’ann mahupun Hadith. Hal tu jugak belum pernah dilakukan oleh mana-mana Rasul dan Nabi dan begitu juga mereka yang mengikut jejak langkah Rasulullah dalam kalangan sahabat. Atas asas inilah alangkah baiknya kita berpada dengan berzikir bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan dalam kalangan khalayak masyarakat kita ketika ini dengan menjaga adab dan tatasusilanya.

Tarian zikir yang dilakukan oleh sebahagian manusia penuh dengan keadaan yang kurang baik. Ia juga boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) kepada penganut agama lain. Lebih dibimbangi lagi, sudah ada unsur muzik yang dimasukkan sama yang banyak melalaikan hati ketika berzikir.

Artikel ini merujuk Bayan Linnas Siri yang ke-17. Untuk penerangan yang lebih lengkap, sila rujuk artikel tersebut.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top