Kisah Sami Buddha yang tukar diri jadi mumia ketika hidup, perlu “diet” 3 tahun

F1
Kisah Sami Buddha yang tukar diri jadi mumia ketika hidup, perlu “diet” 3 tahun

Bila kita sebut mumia, ramai bayangkan mumia ni macam mayat kering yang dibaluti kain-kain lusuh. Ye lah, mumia ni pun adalah salah satu tradisi orang zaman dulu-dulu untuk menzahirkan adat dan kepercayaan mereka. Mumia ni pun ada dua jenis utama iaitu anthropogenic dan spontaneous. Yang jenis pertama tu adalah jenis mumia yang dilakukan dengan sengaja, manakala yang kedua pulak yang berlaku secara semula jadi.

Kali ni, kami nak bawa korang ke dunia Buddhisme di Jepun pada suatu masa dulu. Sami-sami Buddha ni percaya bahawa tindakan tukar diri jadi mumia ni adalah tanda mereka dah capai ketenangan tahap tinggi!

Buddha Sami
Via Buddha Weekly

‘Sokushinbutsu’ amalan sami Buddha sejak abad ke 11, mumiakan diri untuk capai ketenangan tertinggi

Sebenarnya cuaca Jepun ni tak mudah untuk sesebuah proses mumifikasi ni berlaku, sebab ia panas dan lembab. Biasanya panas dan lembab ni bukanlah keadaan yang terbaik untuk mereputkan sesuatu, lagi-lagi mayat manusia ni. Tapi ada satu kelompok sami Buddha ni berjaya cipta cara untuk memumifikasikan diri mereka dalam iklim Jepun.

Kelompok sami Buddha dari aliran Shingon ni terinspirasi dengan cerita legenda Kukai, pengasas aliran tersebut. Dalam kepercayaan mereka, semasa Kukai meninggal dunia pada 835… dia dikatakan tak mati pun dan dikatakan sempat merangkak masuk ke dalam sebuah gua lalu mencapai nyujo, iaitu ketenangan abadi. Kukai ni kemudiannya dikatakan akan kembali semula 5.67 juta tahun lagi untuk membawa sejumlah sami lain menuju nirvana.

Buddhist Mummy
Via The Vintage News

Kali pertama sami-sami Buddha ni cuba nak ikut jejak Kukai, salah sorang sami tersebut iaitu Shojin pada 1081 Masihi kuburkan dirinya untuk mencapai nyujo. Namun ia macam tak jadi pulak sebab bila para pengikut Shojin ni nak tengok mayatnya semula, dah reput pulak di dalam tanah tu.

Akhirnya sami-sami ni pun berjaya jugak jumpa satu cara yang memungkinkan mayat mereka dimumifikasikan ‘secara semulajadi’, iaitu dengan bertapa di tepi gunung-ganang perkampungan Yamagata. Antara 1081 hingga 1903, sekurangnya 17 sami yang ‘berjaya’ mumiakan diri mereka meskipun ada kemungkinan jumlah ni sebenarnya lebih tinggi sebab masih banyak yang tak dijumpai.

To Go With Afp Story " Preserved For 77
Nampaknya budaya ni pun sampai ke Siberia jugak..Via The Epoch Times

Diet istimewa selama 3 tahun, minum teh dan makan hasil hutan serta kekacang, kulit kayu supaya lambat reput

Cara mereka pun suatu pendekatan yang memerlukan tempoh dan tahap kesabaran yang sangat-sangat lama. Mula-mula para sami yang nak buat amalan sokuskinbutsu ni akan tukar diet mereka daripada makanan rutin mereka kepada hanya kekacang dan kulit kayu. Amalan ni dipanggil diet mokujikigiyo, bermaksud ‘latihan makan pokok’.

Diet ni akan diamalkan sekurang-kurangnya 3 tahun sebelum sami ni akan berhenti makan dan hanya minum lepas 100 hari sambil bermeditasi. Mengikut fahaman mereka, sami-sami yang dah amalkan diet ni lama-kelamaan akan bersedia membina ketahanan spiritual untuk masuk ke dalam nyujo.

Mumia Buddha
Via Times of India

Teh yang akan selalu dihidangkan dipercayai diperbuat dari kulit kayu toxicodendron verniculum, iaitu antara bahan yang selalunya digunakan untuk kukuhkan dan cantikkan cawan teh tu iaitu dipanggil urushi. Kulit kayu tu ada bahan toksik yang boleh mengekang bakteria dan mempercepatkan kematian, jadi secara tak langsung, ni memudahkan kulit tu agar ‘terpelihara’ lepas ni.

Bila sami tu dah rasa lemah dan hujung-hujung nyawa dah, para pengikutnya akan letakkan sami tersebut dalam sebuah kotak kayu dan kemudiannya menurunkan kotak tersebut sejauh 3 meter ke dalam tanah. Arang batu pun turut diletakkan bersama dengan sami tu, manakala sejenis saluran udara yang diperbuat dari kayu bambu akan diletakkan supaya sami tu masih boleh bernafas.

Buddha Sami Kotak
Via Atlas Obscura

Sami tersebut akan duduk dalam kegelapan, dan sementara masih hidup tu, dia akan sambung bermeditasi. Untuk menunjukkan bahawa dia masih hidup, dia akan membunyikan loceng dan para pengikutnya takkan kacau sami tu. Bila sami tu dah meninggal dunia, barulah para pengikutnya akan tutup saluran udara tu dan biarkan mayat sami tu dalam kotak selama 1,000 hari.

Tak reput tandanya dah berjaya capai sokushinbutsu, amalan tu diharamkan ketika zaman Meiji

Lepas 1,000 hari dibiarkan dalam kotak, para pengikutnya akan keluarkan semula kotak tersebut dan periksa jika ada sebarang pereputan berlaku dalam badannya. Jika ada, maka mayat tersebut akan disembahyangkan dan dikuburkan. Namun jikalau badan sami tu langsung takde kecacatan, maksudnya sami tu berjaya melangkah masuk ke tahap nyujo dan dipertunjukkan ke khalayak ramai.

Mumia Emas
Ada jugak mumia akan ‘dikuburkan’ dalam bentuk patung. Via The Independent

Lama-kelamaan, amalan ni diharamkan pada zaman Meiji, sami terakhir bernama Bukkake curi-curi lakukan semula amalan tersebut lepas pengharamannya pada 1903. Sekarang ni, takde lagi orang buat amalan tersebut sebab ramai anggap amalan ni amalan gila berbanding dilihat sebagai suatu amalan yang mulia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top