Kisah Kelantan yang dijadikan sarang pelacuran pada era kemerdekaan

Baru-baru ni nama Kelantan kerap disebut-sebut netizen. Bermula dengan mantan Yang Dipertuan Agong berkahwin dengan Ratu Cantik Rusia, isu panggung wayang tiada di Kelantan dan kali ini pula kita dikhabarkan dengan Putera Mahkota Kelantan yang bakal berkahwin dengan warga Sweden.

Apa-apa pun, tahniah diucapkan kepada rakyat Kelantan kerana bakal menerima lagi kerabat baru. Cakap pasal Kelantan, mesti semua orang akan teringat pada jolokan yang diberi pada negeri di Pantai Timur ini. Serambi Mekah.

Tapi untuk pengetahuan semua, dahulu Kelantan ada jolokan yang ramai tak tahu…

Cuba lihat gambar ini… agaknya macam menara di mana, ya?

Macam Eiffel Tower di Paris, kan? Via FB

Ya, sekitar zaman tahun 1950-an dulu, Kota Bharu digelar sebagai ‘Paris of Malaya’! Jangan ingat Parit di Perak saja digelar ‘Paris’ di Malaysia ini! (hihi, gurau saja. Orang perak jangan marah ya). Tapi kami tak pasti sama ada menara pencawang elektrik di tengah-tengah Kota Bharu ini dah wujud ke belum pada masa itu.

Eh, tapi kenapa pula digelar sebagai Paris of Malaya?

Sebenarnya, walaupun Kelantan digelar sebagai negeri Serambi Mekah, masih ada sisi gelap dalam negeri ini pada waktu itu. Pada zaman tersebut, dikatakan kegiatan pelacuran sangatlah aktif dan bukan sahaja remaja perempuan yang terlibat tapi juga remaja lelaki.

Pelacuran menjadi-jadi di Kelantan adalah sebab kemiskinan yang menghimpit. Tambahan pula, pekerjaan ini saja yang boleh bagi duit segera pada yang terdesak. Tak kurang juga, pelacuran dikaitkan dengan janda malang yang hilang tempat bergantung selepas diceraikan. Ada yang menyalahkan pihak lelaki yang mudah-mudah menjatuhkan talak sebab panas baran, tapi tak kurang juga yang menyalahkan perempuan yang tak pandai jaga hati suami sampai diceraikan.

Jolokan Kota Paris bukanlah satu jolokan yang baik sebab jolokan ini sebenarnya seperti sebuah penghinaan kerana Kota paris pada zaman tersebut juga dikatakan sebuah sarang pelacuran yang terkenal di dunia.

Jadi, kalau kita boleh rumuskan seperti ini:

Kota Bharu = Paris = Kota Pelacur

Tapi kan… Orang Paris sendiri marah bila Kota Bharu disamakan dengan Paris…

Rencana pembaca dari Paris dalam satu pojok dalam sebuah akhbar di Singapura

Bila jolokan ‘Paris’ ini muncul?

Kalau diikutkan catatan sejarah, kegiatan pelacuran bukanlah sesuatu yang baru pun. Malah, kalau kita semak lagi catatan seperti ‘Pelayaran Abdullah Munshi ke Kelantan’ yang diterbitkan pada 1838, beliau ada menyebut;

“Shahadan maka adalah saya lihat dalam negeri Kelantan itu terlalu banyak perempuan jalang. Maka apabila petang hari, datanglah ia dekat-dekat perahu segala dagang, berjalan berduyun-duyun. Ada pun pakaiannya itu berkemban sahaja dengan tiada berbaju; dan rambutnya bersanggul lintang sangkut. Maka dipakainya bunga melor berumbai-umbai, panjangnya sampai ka lututnya..”

Jadi, sebenarnya kegiatan pelacuran di Kelantan dah lama membarah sebelum 1950-an lagi.

Menurut rujukan kami, jolokan ini muncul di dada akhbar The New Straits Times (1959) bila Nik Mohamed Amin Nik Ali, seorang ahli parlimen yang bertanggungjawab membasmi pelacuran ini memberi kenyataan yang ‘Paris Malaya akan dibersihkan’.

Biar betik. Via Tenor

Paris of Malaya – tidak selamanya jolokan yang buruk

Walaupun kerajaan negeri Kelantan dah mula pulihkan imej Kelantan dari gejala pelacuran ini, tapi gelaran Paris of Malaya masih kekal sampai penghujung 1960-an. Tapi kali ini, bukan sebab gejala pelacuran lagi. Cuma nama yang dah biasa disebut akan susah sikit nak dibuang. Biasalah, kita beli mi segera jenama lain pun kita sebut ‘Maggi’ kan?

Nama ‘Paris of Malaya’ ini dipromosikan pula sebagai tarikan pelancong pada penghujung tahun 1962 seperti dalam keratan akhbar ini;

Dalam laporan ini, kerajaan Kelantan pada waktu itu hendak mencantikkan lagi Kota Bharu dan nak bina lagi 2 buah pasar untuk tujuan pelancongan. Jadi, nama ‘Paris of Malaya’ ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk tujuan komersial lah. Begitulah uniknya jolokan ini dari sebuah penghinaan kepada sebuah nama komersial.

Betul kata orang, ‘ada apa pada nama’. Kalau baik tempatnya, berilah nama apa-apa pun tak akan terpalit baik buruk sesuatu tempat itu. Macam mana pulak keadaan Kelantan hari ni, nampak lebih baik kan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *