Wanita tak boleh memimpin? Ini 5 pemimpin wanita nusantara

Wanita tak boleh memimpin? Ini 5 pemimpin wanita nusantara

“Selilit Tanah Minangkabau
Selengkung Pulau Perca
Dilingkungi ular sakti muna
Sebenarnya aku menjadi Raja
Jauhkan aku segera mala petaka
Perpisahan aku di Selat Melaka…”

Tarikh 8 Mac setiap tahun diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Wanita Antarabangsa bagi menghargai peranan dan pengorbanan wanita serta mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan. Lama sebelum Diah Permata Megawati Setiawati Sukarnoputri dipilih menjadi Presiden Republik Indonesia dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, wanita di Nusantara telah meraih pelbagai pencapaian hebat.

Adat Perpatih yang selalu dilihat lebih mesra wanita

Kepulauan Melayu Nusantara menyimpan 1001 khazanah yang tak ternilai harganya, dan adat resam serta budayanya yang kaya, adalah salah-satu yang tidak boleh dilupakan. Selain keunikan adat istiadat, Nusantara juga dikenali dengan kemampuannya mengangkat kaum wanita menjadi ketua atau pemerintah di sesuatu jajahan takluk. Meskipun adat dilihat banyak bersifat ‘patriarchal’ atau pro-lelaki, kelainan dapat dilihat pada Adat Perpatih yang diamalkan di Minangkabau, Indonesia dan Negeri Sembilan, Malaysia.

Adat ini juga mempunyai persamaan dengan rumpun Melayu di Republik Palau, berhampiran Filipina. Dalam Adat Perpatih, wanita mempunyai kedudukan dan status yang telah ditentukan yang memberi pelindungan yang mencukupi. Sistem ini bernasab ibu dan harta diwariskan sepenuhnya kepada anak perempuan, dan dijaga oleh anak lelaki, ketua suku, lembaga, undang dan raja mereka. Ia mempunyai persamaan dengan konsep ‘waqaf khas’ yang dibenarkan di dalam Islam.

1. Shi Daniang (Nyai Ageng Pinatih), ibu angkat salah seorang Wali Songo

Selepas Laksamana Cheng Ho (Zheng He/Haji Mahmud) menguasai Palembang pada 1407, beliau melantik Shi Jing Qing, seorang Cina Muslim sebagai pemerintah barunya. Selepas kematiannya pada 1421, bandar Palembang dibahagikan kepada dua orang anaknya iaitu Shi Daniang (ada yang menyebutnya sebagai ‘Shi Dajie’) dan Shi Erjie.

Tempat dia disemadikan. Via Dinas

Shi Daniang kemudiannya berhijrah ke Gresik, Jawa Timur lalu menjadi Shah Bandar dan menyebarkan Islam kepada penduduk di sana. Beliau menukar namanya kepada Nyai Ageng Pinatih, yang juga dikenal dengan ‘Nyai Tandes’. Nyai Gedi malah telah mengasuh dan mengambil Raden Paku yang kemudiannya dikenali sebagai ‘Sunan Giri’ (Wali Songo yang tersohor) sebagai anak angkatnya.

2. Tun Perabu (Tok Temong)

Pada awal Kurun ke-16, Perak dibahagi kepada dua pemerintah iaitu Tun Saban (sebelah kanan mudik Sungai Perak, iaitu Belum) dan adiknya, Tun Perabu/Tok Temong (bahagian sebelah kiri mudik Sungai Perak, iaitu Temong).

Pusara Tun Prabu. Via Lisan al-Din

Meskipun Sultan Muzaffar Shah (pewaris pemerintah terakhir Kesultanan Melayu Melaka) kemudiannya diundang oleh Tun Saban untuk menjadi Sultan Perak pada 1528, kawasan yang dikuasai oleh Tok Temong tetap kekal di bawah pemerintahannya, sehingga akhir hayatnya. Tok Temong telah menghadiahkan sebuah geliga embun yang kini dijadikan sebagai salah satu daripada alat kebesaran negeri Perak iaitu ‘Mestika Embun’ hingga ke hari ini.

3. Sultanah Taj ul-Alam Safiatuddin Syah, pemerintah Aceh

Sultan Iskandar Muda memerintah Kesultanan Aceh Darussalam dari 1607 hingga 1636, dan kemudiannya diganti oleh puterinya, Sultanah Taj ul-Alam Safiatuddin Syah (1641-1675), selepas kemangkatan Sultan Iskandar Thani (1637–1641). Sultanah Safiatuddin yang juga pemerintah ke-14 Aceh, disokong oleh ulama’ Islam Aceh iaitu Syeikh Nuruddin al-Raniri. Di bawah pemerintahannya, banyak bidang keilmuan Islam yang diteroka oleh tokoh ilmuwan Melayu di Aceh.

Via HAM

4. Cik Siti Wan Kembang II, pemimpin yang warak

Apabila Raja Hussein (Pemangku Raja Pemerintah Kelantan) mangkat pada 1610, maka puteri kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah ibni Al-Marhum Raja Muda Mansur Shah III, Cik Siti Wan Kembang II telah ditabal menjadi Raja Kelantan pada tahun yang sama.

Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke tenggara Kuala Krai. Selain mendapat gelaran ‘Paduka Cik Siti’ daripada pedagang Arab yang memandang tinggi kepadanya, baginda juga mempunyai seekor kijang yang sangat disayanginya.

Ini cuma gambaran. Via CSK

Sesetengah pandangan lain menyatakan bahawa gelaran ‘Cik Siti Wan Kembang I’ mulanya digunakan oleh Adruja Wijayamala Singa, selaku Raja Perempuan Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga. Baginda merupakan nenek-moyang kepada Wan Kembang, yang kemudiannya menggunakan gelaran yang sama.

Asal-usul nama ‘Kelantan’ dikatakan berasal daripada nama kelewang panjang bernama ‘Kilatan’ milik Cik Siti Wan Kembang I. ‘Keleweng’ atau ‘kelewang’ adalah sejenis pedang pendek atau golok bersisi satu (bilahnya makin lebar arah ke hujung – pada satu pertiga hujung mata), kecil dan tebal pada pangkalnya.

Cik Siti Wan Kembang II digambarkan sebagai pemerintah yang warak, dan memeluk Islam selepas menerima dakwah daripada pedagang Islam dari luar, khususnya dari Tanah Arab.

 

5. Tuan Puteri Saadong binti Raja Loyor (Mariam), Raja Wanita Kedua negeri Kelantan

Mariam atau Puteri Saadong (memerintah pada 1667–1671) merupakan anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang, Raja Wanita Kedua negeri Kelantan. Nama penuh Puteri Saadong ialah Tuan Puteri Saadong binti Raja Loyor; juga memakai gelaran Puteri Vijaya Mala, Raja Jembal; merupakan anak perempuan Raja Loyor bin Raja Sakti, Raja Jembal.

Sekali lagi, gambaran ye. Via Twitter

Puteri Saadong telah dibawa oleh Cik Siti Wan Kembang ke Bukit Marak apabila ibunya meninggal dunia. Puteri Saadong menggantikan pemerintahan ayahdanya yakni Raja Jembal pada tahun 1667, lalu Puteri Saadong ditabal sebagai Sultan Kelantan pada tahun yang sama. Baginda Puteri Saadong merupakan raja wanita kedua di negeri Kelantan. Puteri Saadong merupakan seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai ‘Puteri Wijaya Mala’.

Siapa kata wanita tak boleh jadi pemimpin?

Sejarah yang dicatat di atas menggambarkan betapa kaum wanita turut berkemampuan menjadi pemimpin, berdasarkan kewibawaan serta kemampuan mereka untuk bersaing, menjadi yang terbaik.

Via Tenor

Perjuangan membebas dan memartabatkan wanita seharusnya diperjuangkan atas merit serta kemampuan untuk bersaing selain keberanian bertindak, dan bukan hanya berputar kepada semangat semata-mata yang pasti akan pudar satu masa nanti.

Perjuangan ini pastinya tidak mudah dan perjalanannya amat panjang, tetapi kesungguhan untuk merealisasikannya, tidak boleh padam. Diskriminasi perlu ditolak, dan kedudukan serta kebajikan kaum wanita perlu dipelihara, mengikut hak yang sewajarnya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top