займ срочно

Tengku Kudin nama yang akan dikenang dalam sejarah Malaysia, ini ceritanya

F1
Tengku Kudin nama yang akan dikenang dalam sejarah Malaysia, ini ceritanya

Personaliti sejarah sentiasa mengamit perhatian ramai, apatah lagi apabila kedudukan dan sumbangannya amat besar dalam sejarah negara. Kehadiran personaliti sejarah turut mewarnakan, dan menambah nilai sesetengah bangunan yang tersergam indah menjadi bangunan bersejarah. Bangunan bersejarah macam ni lah yang kita sebenarnya kena pelihara dan pulihara demi nilainya sebagai sebahagian dari galuran sejarah negara.

728 X 90

Kali ni kami nak bawakan korang kembali ke zaman lalu, menelusuri sosok besar dalam sejarah negeri Kedah. Korang mungkin pernah nampak gambarnya kat dalam buku teks, ataupun rasa pernah nampak namanya terpapar kat dalam buku teks.

Tengku Kudin Gambar Dulu
Via PeKhabar

200 tahun lalu, lahirnya ahli perang yang penting dalam sejarah Tanah Melayu

Ramai orang beranggapan bahawa dulu, orang Melayu ni lemah dan tak bermaya je. Eksotik, penuh magis dan malas… orang putih kata. Akan tetapi masih ramai lupa bahawa dahulunya, orang Melayu ni jugak dah pandai berpolitik dan mengatur strategi kekuasaan untuk kepentingan yang mereka nak capai.

Salah sorang tokoh yang kami nak kongsikan kali ni agak menarik sebab nama dia agak besar dalam sejarah Tanah Melayu, tapi masih kurang dikenali ramai. Nama yang biasa kita lihat dalam buku sejarah adalah Tengku Kudin, yang merupakan Raja Muda Kedah pada awal abad ke-19. Nama sebenarnya lebih panjang; Tengku Dhiauddin ibni almarhum Sultan Zainul Rashid.

Tengku Kudin Picture Potret
Potret Tengku Kudin… Via Sinar Harian

Dilahirkan pada 1821, dia dikatakan anak raja yang bakal menduduki takhta Sultan Kedah. Oleh tu sebagai persediaan nak mentadbir Kedah, awal lagi dia dihantar belajar ke Eropah. Ketika dia berumur lingkungan umur 20-an, dia dah diberi autoriti untuk mentadbir sebahagian kawasan yang kini termasuk dalam sempadan Perlis iaitu Kayang.

Kayang ni dulunya pada abad ke-19, merupakan ibu daerah Setul yang mana terletak dalam kawasan Siam (sekarang ni selatan Thailand). Untuk pengetahuan korang, besar jugak pengaruh kawasan Sultan Kedah ni… sehinggakan selatan Thai pun lebih suka berada dalam jajahan Melayu berbanding di bawah jari Siam.

157555060 251899339763260 653204845287021517 N
Peta lama Kedah

Pada 1866, Raja Mahadi bin Raja Sulaiman lancarkan serangan besar ke atas Lukut. Raja Mahadi ni cucu kepada Sultan Muhammad Shah di Selangor, yang mana dia ni nampak jelas potensi Lukut sebagai kawasan sumber perniagaan bahan mentah. Tindakan Raja Mahadi mencetuskan Perang Klang; antara perang besar yang pernah berlaku di Tanah Melayu.

Raja Mahadi ni kaya dan strategis yang baik, jadi tak hairanlah dia boleh menarik sokongan tentera daripada Bangkahulu, Batu Bara, Mendahiling dan Rawa. Dengan bala tentera yang ramai, Raja Mahadi beranilah nak cuba rampas Lukut dari kekuasaan Raja Abdullah bin Raja Jaafar, putera Riau.

Kota Raja Mahadi
Kota Raja Mahadi pulak yang baik terpelihara.. Via Facebook

Siapa pula Raja Abdullah ni? Haa.. secara ringkasnya Raja Abdullah ni abang kepada Raja Jumaat. Lukut memang sebuah kawasan yang sangat besar nilainya dalam kawasan Kesultanan Selangor, tapi ia diberikan kepada Raja Jumaat sebagai tanda terima kasih oleh Sultan Muhammad Shah.

Perang Klang adalah perang politik dan ketenteraan yang besar, dapat bantuan Perancis

Semasa Perang Klang, pentadbiran Lukut dipegang oleh Raja Abdullah. Raja Mahadi bawa tenteranya yang ramai tu untuk serang Lukut. Ni menyebabkan Raja Abdullah terpaksa berundur, meninggalkan anaknya, Raja Ismail untuk bertahan. Apabila Raja Ismail tak dapat bertahan dah lagi, dia jugak ikut berundur ke Melaka.

Oleh disebabkan Raja Mahadi sendiri ambil tindakan rampas Lukut dan sekaligus tak rasa bertanggungjawab nak bayar cukai aktiviti perlombongan tu kepada Sultan Abdul Samad, ni memaksa Sultan Abdul Samad hantar Tengku Kudin pada 1867. Masa tu, Tengku Kudin putera Kedah ni dah kahwin dengan anak Sultan Abdul Samad bernama Tengku Arfah. Sultan Abdul Samad baru 7 tahun jadi sultan Selangor.

Klang Perang War
Perang Klang… Via Jstor

Kerana perkahwinan yang mengikat Kedah dan Selangor, Tengku Kudin diangkat sebagai Wakil Yamtuan dan diberi kawasan Langkat di Selangor. Tindakan ni memunculkan rasa tak puas hati dari Raja Mahadi dan Tengku Alang, salah sorang anak Sultan Abdul Samad. Tengku Kudin ni ramai jugak tak puas hati sebab ada berpandangan dia tak layak campur tangan dengan hal di Selangor sebab dikira bukan anak negeri Selangor.

Tengku Kudin cuma ikut perintah Sultan Abdul Samad je sebenarnya, apabila dia diarahkan untuk dapatkan semula Lukut dan tewaskan Raja Mahadi di sana. Dia kembali ke Kedah untuk dapatkan bantuan ketenteraan, sementara Raja Ismail kembali serang Raja Mahadi dengan 100 anggota tentera dari Melaka.

Tengku Kudin Raja Mahadi
Lukisan semula peristiwa Tengku Kudin tawan Petaling.. Via Peristiwa Hari Ini

Kubu Raja Mahadi diserang selama 2 bulan, sebelum Tengku Kudin datang membawa 500 bantuan ketenteraan pada 1869. Sultan Abdul Samad hantar lagi 200 orang dari Langat untuk kuatkan armada Selangor menentang Raja Mahadi. Tengku Kudin siap bawa unit artileri Perancis yang dipimpin oleh Jeneral De Fontaine.

Beberapa kubu Raja Mahadi tumbang jugak, seperti di Pengkalan Batu dan Lukut serta daerah Lukut jatuh ke tangan Tengku Kudin. Walau bagaimanapun, perang belum lagi tamat. Penglibatan komuniti kongsi gelap Hai San dan Geen Hin turut merancakkan perang tu di kawasan lain pulak seperti di Bukit Kanching. Hai San sokong Raja Ismail manakala Ghee Hin sokong Raja Mahadi.

Jg Davidson Residen Selangor
J.G Davidson.. Via Historyprojectt

Perang Klang akhirnya berakhir apabila British campur tangan dan letak J.G Davidson sebagai residen Selangor pada 1875. Tengku Kudin masih lagi dikekalkan sebagai pentadbir kawasan di Selangor, tapi ada orang yang masih tak puas hati dengan Tengku Kudin ni cerita bukan-bukan dengan Sultan Kedah.

Macam-macamlah mereka dakwa dan hasut Sultan Kedah waktu tu. Tengku Kudin dikatakan tali barut kepada Inggeris, sebab senang-senang je dia dikekalkan berkuasa di Selangor semasa British letak Residen di sana. Bahkan, dia turut dikatakan memang sengaja nak acah baik, acah hero dengan campur tangan dalam Perang Klang.

Tengku Kudin Pengikut
Para pengikut Tengku Kudin.. Via Wikimedia

Abangnya, Sultan Ahmad Tajuddin berang lalu buang gelaran diraja Tengku Kudin dan haramkan dia daripada pulang semula ke Kedah. Tengku Kudin memang nak pulang ke Kedah, namun bila dia dengar berita tersebut; dia tukar arah nak hidup kat Pulau Pinang pulak.

Istana terbiar Tengku Kudin disangkakan milik Raja Bersiong, rupanya Tengku Kudin dah ada rumah sendiri di Pulau Pinang

Lepas dibuang negeri, istana Tengku Kudin seolah dibiarkan je sehingga sekarang ni. Selama lebih 100 tahun di Bukit Tinggi, Kepala Batas; ramai mendakwa tu istana Raja Bersiong. Raja Bersiong ni watak popular dalam sejarah filem Melayu, terinspirasi dari Hikayat Merong Mahawangsa.

51445149803 Istanatunkukudin
Istana Tengku Kudin, atau Raja Bersiong?.. Via Astro Awani

Istana tersebut dikatakan dibina lepas dia dibuang negeri oleh abangnya, namun terbiar ditelan semak-samun dari kawasan sekitar. Menurut Datuk Dr. Wan Shamsuddin Mohd Yusof, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Kedah (PSMCK), istana tersebut dibina menggunakan telur putih dan manisan lebah. Ia dipercayai utk kuatkan struktur dan binaannya, manakala untuk hidupkan keseluruhan lampu di istana pun ambil masa setengah jam.

Tengku Kudin turut membina sebuah rumah banglo, terletak di Gelugor. Kedatangannya di Pulau Pinang mendapat perhatian pegawai British di sana yang bersimpati dengan nasibnya. Ye lah, hero perang Melayu yang membawa kemenangan dan bergerak atas perintah Sultan Selangor tu jugaklah dibuang sejauhnya kerana hasutan pihak yang dengki dengan Tengku Kudin.

Tengku Kudin 1940 Banglo Udini House
Foto Udini House yang diambil pada 1940-an oleh Royal Australian Air Force… Via Penang Monthly

Rumah tersebut dibina bermula 1882, dan terus menjadi rumah akhirnya dari 1884 hingga akhir hayatnya pada 1906. Batu asasnya sendiri diletakkan sendiri oleh Gabenor Pulau Pinang ketika tu, J.F McNair; meminjam sedikit rekabentuk rumah kolonial British dan memadukannya dengan gaya binaan rumah Melayu tradisional. Tengku Kudin turut membina taman bunga bertemakan Eropah, dilengkapi dengan bermacam-macam benda.

Kecantikan rumah ni ditambah lagi lepas dibeli oleh Raja Setul pada 1910, Tengku Baharuddin bin Tengku Meh, sebagai rumah percutian. Beberapa struktur tambahan dibina seperti sayap bangunan yang baharu. Kemudiannya, rumah tu disewakan kepada syarikat perundangan Presgrave dan Matthews pada 1930 hingga Disember 1941.

Udini House Tengku Kudin
Rumah Tengku Kudin yang terbiar.. -via Pinterest

Semasa pendudukan Jepun, ia menjadi ibu pejabat tentera laut Jepun di Pulau Pinang. Ia diambil alih oleh British Military Administration dan Royal Australian Air Force di akhir perang, sebelum kerajaan ambil balik pada 1953 untuk pelan perumahan baharu yang tak jadi. Lama kelamaan ia terbiar jugak dimamah waktu, sama cerita jugak dengan istana Tengku Kudin di Bukit Tinggi.

Kedua-dua bangunan ni menyimpan kenangan Tengku Kudin, antara hero Melayu yang tak didendangkan dan tak dihargai semasa masih hidup. Ni suatu perkara yang perlu kita beri perhatian, kerana nilai sejarah dan estetikanya sendiri cukup untuk diangkat kembali memori Tengku Kudin ke pengetahuan generasi masa hadapan.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top