Beberapa bulan lalu, korang mungkin masih ingat lagi kisah mural yang menampilkan beberapa wajah ‘pahlawan’ ketika awal pandemik COVID-19 seperti Dr. Noorhisham, YDP Agong, Muhyiddin Yassin dan TG Hadi Awang. Awalnya ramai yang bangga apabila melihat usaha kreatif anak muda yang berbakat seperti Suhaimi Ali. Tapi beberapa minggu lepas tu, muralnya diconteng oleh orang yang tak bertanggungjawab lalu menyebabkan muralnya terpaksa dipadam semula.
Kali ni, kami nak kongsi sorang lagi pelukis mural dari Sarawak. Di samping usaha Suhaimi Ali dulu, dia pun ada jugak mural yang menampilkan ‘pejuang-pejuang’ negara. Namun mural dia dikatakan tak berapa popular sebab dia tak lukis wajah tokoh terkenal…
Melukis kerana minat, Leonard Siaw jadikan mural sebagai medium mengenang masyarakat
Sepantas carian biasa kat Google, memang agak sukar untuk menemui kisah di sebalik Leonard Siaw Quan Cheng. Yang banyak ditemukan adalah anugerah dan hasil kerjanya yang seringkali dipuji oleh penduduk Bandaraya Kuching. Anak kelahiran Sarawak ni sudah lama sebenarnya berkecimpung dalam bidang penghasilan mural ni, iaitu sejak 2013.
Sepanjang perjalanannya hingga ke tahun ni, dia jugak banyak terlibat dengan projek-projek seni di dalam dan luar negara. Antara pencapaian besar yang telah dimilikinya adalah anugerah johan dalam Make Your Mark in Melbourne Street Art Competition 2017 yang telah dianjurkan oleh Visit Victoria (VV) dan Publika Kuala Lumpur.
Pertandingan antarabangsa tersebut turut menampilkan banyak pelukis mural terkenal seperti Rone, Adnate, Askew, Ears, Choq, Shawn Lu, Putos, Slicer, Rashe, Sirum, Kit Ritz, Guido Van Helton, Dvate, 23rd Key, dan Deams. Kemenangannya pada 2017 tu menghadiahkannya pengalaman dan peluang ke pentas yang lebih besar iaitu di Melbourne dalam Victoria’s Wall to Wall Festival Benalla 2018.
Rupanya bakatnya ni memang sudahpun terzahir ketika dia menuntut kat kolej lagi. Sorang alumni Limkokwing Borneo, dia adalah graduan jurusan reka bentuk grafik sebelum beralih minat kepada lukisan mural pulak. Tak tersia jugak bakatnya apabila pada 2015, dia turut menyumbangkan tenaga kreatifnya di bawah rancangan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE).
Kalau korang ke Kuching sekarang ni, korang boleh nikmati lukisan mural dari tangan Leonard Siaw ni kat merata-rata tempat sekitar bandar. Dalam OKSHE, tema lukisannya sentiasa berkisarkan sejarah budaya dan masyarakat di Sarawak. Mural pertamanya adalah lukisan peniaga kain di Lebuh India yang terdiri daripada peniaga Melayu dan Cina pada awal 60-an.
Selain tu jugak, lukisan muralnya turut memuatkan sejarah adat budaya masyarakat Sarawak agar terus subur hidup. Pada pertengahan Julai tahun ni, mural bertajuk ‘The Last Ringed Ladies’ menjadi tarikan terbaharu dengan kisahnya tersendiri. Seni tersebut memaparkan empat wanita dari suku kaum Bidayuh, dikenali sebagai wanita Semban yang masih amalkan pemakaian gelang tembaga dari pergelangan tangan ke siku.
Menariknya, keempat-empat wanita ni boleh dikatakan kelompok wanita terakhir yang amalkan keunikan ni dan kini berumur dalam lingkungan 69 hingga 94 tahun di Padawan. Aksesori gelang emas tersebut dikatakan akan dipakai pada setiap masa termasuk ketika waktu tidur dan mandi.
Lukisan muralnya tak tampilkan wajah popular, namun wajah-wajah biasa nilah wajah rakyat yang turut berjasa
Sedikit berbeza dengan tema dan arah kreatif dengan pelukis mural yang lebih disebut media iaitu Suhaimi Ali dulu, Leonard Siaw pulak lebih memilih untuk menampilkan wajah yang cukup popular dalam kehidupan seharian kita dan tak hanya menjadi tontonan sebalik skrin. Kami rasa kedua-dua usaha ni sama penting, sebab semua pihak bekerjasama memikul tanggungjawab putuskan rantaian pandemik dan harus dihargai.
Mural tersebut merupakan mural pertama di Sarawak untuk menghargai jasa dan sumbangan petugas barisan hadapan memerangi COVID-19. Idea tu pulak tercetus dari Roland Phang, Pengarah Eastern Mall lepas dia turun padang dalam program kemasyarakatan dan lepas terinspirasi dengan kerja keras para barisan hadapan.
Oleh sebab tu, dia memilih Leonard Siaw untuk menterjemahkan ideanya menjadi realiti kat dinding bangunan miliknya iaitu di Eastern Mall. Dalam lukisan tersebut, terselit tulisan ucapan dalam empat bahasa iaitu Kamchia, Trimak Kasih, Makseh dan Terima Kasih bagi mewakili penduduk setempat di kawasan Siburan yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Bakat besar seperti nilah yang harus diangkat oleh kerajaan dan pihak tempatan. Kerjaya seni khususnya seni visual mungkin tak dinilai setaraf dengan kerja-kerja dalam pejabat, tetapi tanpa seni, amat sukar untuk kita menikmati kelainan dan kepelbagaian budaya serta nilai estetika yang menghiasi dunia ni.
Tak hairanlah apabila wujud cadangan untuk memberi anugerah dan pengiktirafan kepada Leonard Siew atas sumbangan kreatifnya sekitar bandar Kuching. Sebelum ni, Pavithra yang dahulunya hangat dengan saluran masakannya jugak diiktiraf sebagai salah sorang tokoh bandar Ipoh. Tentunya pengiktirafan je takkan mencukupi, namun ia adalah satu langkah yang harus dilaksanakan lebih banyak dan kerap.