Selepas Sukan Sea ke-31 menutup tirainya di Hanoi, banyak perkara yang dapat kita saksikan sepanjang 16 hari para atlet kita berjuang bawa nama negara. Walaupun banyak isu yang timbul seputar kebajikan atlet dan peruntukan untuk bidang-bidang sukan negara, Malaysia masih lagi dapat menempatkan dirinya di tangga keenam dalam senarai kutipan pingat.
Kita berjaya peroleh 39 pingat emas. melintasi garis sasaran pingat kali ni. Sasaran kita, nak dapat 36 pingat emas, 35 perak, 75 gangsa. Kita berjaya kutip 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa. Ini suatu pencapaian yang harus kita banggakan, tambah-tambah lagi ramai bakat pelapis baharu dah tonjolkan potensi diorang. Ada jugak atlet muda kita berjaya catat rekod temasya kali ni. Namun begitu, isu peruntukan masih menghantui industri sukan kita. Apakah tiada jalan penyelesaiannya?
Pencapaian di Vietnam membanggakan, tapi hanya 11 sukan tepati sasaran
Macam yang kami dah sebut awal tadi, kita berjaya mencapai sasaran pingat untuk temasya sukan kali ni. Seperti yang dijangka, Vietnam muncul juara keseluruhan dengan rekod 205-125-116 pingat iaitu 39.05 peratus daripada 525 emas ditawarkan. Thailand merangkul tempat kedua, dengan 15.54 peratus (92-103-136), Indonesia 13.14 peratus (69-91-81), Filipina 9.90 peratus (52-70-104) dan Singapura 8.95 peratus (47-46-73).
Malaysia berada di tempat ke-enam, dengan 7.43 peratus emas dipertandingkan. Kali ni merupakan kali kedua Malaysia tak berada di kedudukan lima terbaik dalam sejarah penganjuran temasya tu bermula pada 1959. Datuk Nur Azmi selaku Ketua Kontinjen negara merumuskan, hanya 11 sukan berjaya tepati sasaran dan enam sukan lagi tak berjaya daripada 36 emas disasarkan.
“Renang yang sepatutnya dapat dua emas hanya mendapat satu, memanah (2/3), silat (2/3), petanque (0/2), e-sukan (0/1) dan boling (0/1). Kalau nak kira, sepatutnya sasaran telah dicapai pada Isnin lepas (16 Mei).
Tetapi apabila sasaran itu gagal dicapai, kita terpaksa tampung balik menggunakan emas bonus dimenangi daripada lapan sukan termasuk golf, karate, wushu, taekwondo, menembak, berbasikal dan gimnastik.
Namun, tahniah kepada semua atlet yang mengharungi pelbagai halangan seperti COVID-19, dan ibu bapa yang benarkan mereka berlatih dan bertanding ketika Ramadan dan hari lebaran,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Namun begitu, ia bukan petanda kesuraman bintang-bintang sukan negara. Pemilihan atlet muda dan baru julung kalinya menyertai temasya besar ni turut menonjolkan bakat dan potensi diorang. Daripada 584 atlet wakili negara kali ni, 367 daripadanya adalah atlet pertama kali sertai Sukan SEA. 142 atlet berjaya sumbang pingat – 15 emas, 21 perak, 44 gangsa.
Daripada 119 atlet muda berumur 21 tahun ke bawah pulak, 81 atlet berjaya naik podium dengan 9 emas, 17 perak dan 34 gangsa. Hampir separuh daripada 225 atlet wanita turut sumbangkan 14 emas, 16 perak dan 34 gangsa. Beberapa atlet muda yang baik prestasinya seperti perenang Khiew Hoe Yean, 21, (1 emas, 3 perak, 1 gangsa); atlet karate H. Sureeya Sankar, 20, (2 emas); dan atlet lawan pedang berusia 15 tahun Kamalanathan Kaerlan Vinod (1 perak),
“Atlet kali pertama beraksi seperti atlet lompat bergalah wanita Nor Sarah Adi (emas) dan atlet terjun Ong Ker Ying (1 emas, 1 perak), turut menyerlah. Dengan edisi seterusnya bakal berlangsung dalam tempoh kurang setahun di Kemboja, kita akan memulakan kerja-kerja persiapan sebaik pulang ke tanah air.
Atlet menang pingat di Vietnam akan diberi pilihan utama memulakan program latihan sebaik sahaja kita pulang. Kita juga akan mempertingkatkan usaha memperkukuh program pelapis di peringkat negeri, tingkatkan kualiti Sukan Malaysia (Sukma) dan kaji balik aspek pembangunan 19 jenis sukan teras,”- Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Faizal Azumu arah MSN nilai semula prestasi atlet senior, persoalan peruntukan naik kembali
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dah arahkan MSN dan semua NSA untuk nilai semula penglibatan atlet senior dan atlet lain yang gagal hasilkan keputusan memuaskan pada Sukan SEA kali ni. Baginya, kalau kita terpaksa gugurkan atlet-atlet ni… sukar mana sekalipun keputusan tersebut, ia harus dilakukan.
“Kalau kita terpaksa ambil keputusan sukar menggugurkan mereka, itu terpaksa kita lakukan kerana apa wajar dilakukan selepas ini adalah menyalurkan peruntukan berdasarkan kepada merit pencapaian, bukan lagi berdasarkan reputasi silam yang bukan lagi menjadi gambaran kekuatan terkini sesuatu sukan.
Jangan leka dengan kemampuan melepasi sasaran ditetapkan pada kali ini, edisi ke-32 di Kemboja akan berlangsung kurang dari setahun, segala persiapan mengejar kegemilangan harus bermula sekarang. Jadikan kebangkitan ramai atlet muda yang membuktikan kemampuan wibawa kali ini sebagai platform untuk ‘menjelmakan’ mereka,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
https://youtu.be/gRMX4u5fGj4
Sementara tu pulak, Watson Nyambek selaku bekas ‘raja pecut’ negara dan kini jurulatih MSN Sarawak bahagian Miri berpendapat bahawa isu peruntukan dana yang secukupnya mesti diselesaikan agar dapat pulihkan prestasi atlet. Oleh sebab kurang peruntukan dana yang cukup, atlet-atlet kurang diberi pendedahan pertandingan. Itulah antara kelemahan para atlet kita bila nak bertanding di peringkat dunia.
“Oleh kerana pandemik ini, pendedahan pertandingan di luar negara amat kurang. Di situlah kelemahan ketara kepada atlet negara kita. Hanya dua, tiga saja pertandingan luar (negara) diadakan, itu tidak mencukupi. Sekurang-kurangnya lima ke atas. Jadi atlet kita kurang semangat… Isu pemotongan peruntukan juga memainkan peranan, kita tengok ramai atlet yang merungut tentang elaun mereka dipotong. Ia juga salah satu faktor penurunan prestasi atlet tersebut,” – seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Isu peruntukan ni dah dibangkitkan sebelum Sukan SEA Hanoi ni berlangsung. Ramai atlet mengeluh dan tertekan dengan isu pemotongan elaun, lagi-lagi apabila ramai terpaksa dilepaskan selepas pemotongan peruntukan ni. Saiz bilangan atlet dikurangkan, manakala ada antara atlet berpengalaman ni terpaksa dilepaskan – mengundang pelbagai kritikan dari peminat sukan tanah air.