займ срочно

Maradona pergi meninggalkan kita, ini kisah adik-beradiknya yang ramai tak tahu

F1
Maradona pergi meninggalkan kita, ini kisah adik-beradiknya yang ramai tak tahu

Dengan hanya ketinggian 1.65 meter, siapa sangka anak jati Buenos Aires, Argentina ni akan muncul sebagai antara bintang bola sepak paling dikenali dalam sejarah, sebaris dengan Pele dari Brazil. Dengan 491 penampilan bersama Argentinos Juniors (Argentina), Boca Juniors (Argentina), Barcelona (Sepanyol), Napoli (Itali), Sevilla (Sepanyol), dan Newell’s Old Boys (Argentina), Maradona menjaringkan 259 gol pada peringkat kelab dari 1976 hingga 1997. Daripada 106 penampilan bersama skuad Argentina Bawah 20 dan senior kebangsaan pulak, dia berjaya sumbat 42 gol.

728 X 90

Bintang dunia ni jugak pernah jadi pengerusi, pengurus dan jurulatih beberapa pasukan macam skuad kebangsaan Argentina, Textil Mandivu (Argentina), Racing Club (Argentina), Al-Wasl (UAE), Deportivo Riestra, Fujairah (UAE), Dynamo Brest (Belarus), Dorados de Sinaloa (Mexico) dan terakhir, Gimnasia de La Plata (Argentina). Banyak yang diceritakan pasal Maradona ni, namun ada sebingkis kisah dia dan dua lagi adik-beradiknya yang jarang disentuh.

Ramai yang kenal Maradona je, tapi tak kenal dua lagi adik-beradiknya yang turut main bola sepak

Setahun lepas menjulang Piala Dunia yang menyaksikan peristiwa tragedi ‘Tangan Tuhan’ serta ‘Gol Terbaik Abad Ini’ sewaktu menentang England ketika Suku Akhir Piala Dunia 1986, Maradona memimpin Napoli untuk menjadi juara Liga Itali buat kali yang pertama, dengan jersi nombor 10 nya. Masa tu, Maradona berada pada kemuncak prestasi serta ‘stardom’ nya. Bukan hanya kat Argentina mahupun Itali, namanya harum ke setiap pelusuk dunia.

Pada tahun 1982, dia pernah bertandang ke Malaysia dalam perlawanan persahabatan menentang Pilihan Selangor, sewaktu mewakili Boca Juniors. Pilihan Selangor yang dibarisi trio terbaik Asia Tenggara zaman tu – Mokhtar Dahari, Piyapong Pue-on dan Fandi Ahmad, berjaya mengekang asakan Boca untuk hanya tewas tipis, 1-2. Lepas Piala Dunia 1986, nama Maradona memuncak naik – terpampang kat dada akhbar, jadi tajuk utama majalah dan dibanjiri dengan tajaan pelbagai jenama, yang mahukan wajahnya berada pada iklan diorang.

Dalam satu kempen promosi pulak, Maradona tampil dengan dua adik dia, Hugo (El Turco) dan Raul Alfredo (Lalo), untuk iklankan jenama kopi yang popular kat Jepun masa tu, Nova. Sejak kejayaan besar iklan tu, banyak lah syarikat lain pulak yang hulurkan tawaran untuk iklan diorang. Bila kelab Segunda Division (La Liga 2) Sepanyol, Granada berjaya mengikat kontrak dengan Lalo pada musim 1987/88, diorang dapat satu idea yang bagi pulangan keuntungan besar ke kantung kelab diorang.

The Swordsman Jang Hyuk Korean Movie Review Joe Taslim
Sama tak muka diorang? Via TVT

Walaupun trio adik beradik Maradona pernah muncul dalam satu iklan yang sama, diorang tak pernah tampil bertiga kat satu padang dalam perlawanan peringkat senior. Granada pun berusaha dapatkan tiga beradik ni untuk muncul dalam satu perlawanan persahabatan dengan kelab Sweden, Malmo. Masa tu, Malmo tengah mendominasi Liga Allsvenskan Sweden dan diuruskan oleh bekas Jurulatih England, Roy Hodgson.

Fenomena Maradona, sentimen Argentina-England serta keunikan penampilan tiga beradik tu berjaya menarik minat pelbagai pihak, sampai disiarkan secara langsung kat seluruh Sepanyol. Perlawanan ni jugak mencatat rekod sebagai antara siaran langsung dengan tontonan tertinggi dan paling menguntungkan dalam sejarah Sepanyol. Granada dianggarkan mengutip sekitar 20 juta pesetas (matawang Sepanyol dari tahun 1868 sampai 2002). Jumlah yang sangat lumayan ini sangat menguntungkan kelab yang asalnya bergelut dengan hutang.

Maradona. Via Giphy

Joaquín Peiro, legenda Atletico Madrid dilantik sebagai pengurus oleh Presiden Granada, Alfonso Suarez Mendia yang mempunyai cita-cita besar. Sebab tu dia ambik Lalo dengan harga yang mahal, sebab dia nak naikkan status kelab tu. Dan daripada keuntungan perlawanan ni jugak, Granada dapat membayar yuran perpindahan Lalo.

Perlawanan yang melibatkan tiga beradik ni berlangsung dengan epik, dapat perhatian ramai

Pada 15 November 1987, bertempat kat Estadio de Los Cármenes yang lama, kerusi tangga ayam stadium diorang padat dengan penyokong tempatan yang tak sabar nak tengok persembahan idola diorang. Digelar sebagai “El Dia de los Tres Maradonas” (Hari Trio Maradona); Diego Maradona tampil dengan jersi nombor 9 tanpa sebarang logo tajaan kat jersi dia, dan bagi penghormatan kat adik dia, Lalo yang pakai jersi nombor 10. Hugo yang beraksi untuk kelab Sepanyol, Rayo Vallecano masa tu pulak, pakai jersi nombor 8.

Les Frères Maradona Sous Le Même Maillot De Granada 3
Tiga beradik dalam satu team. Via Old School Panini

Semua mata tertumpu kepada trio beradik tu: tiga beradik Maradona beraksi untuk kelab yang sama pada waktu yang sama, untuk kali pertama. Piala Dunia 1986 nyata menjadikan jenama Maradona macam goreng pisang panas. Tiga beradik ni dapat pulangan lumayan daripada iklan yang diorang sertai dan bagi publisiti yang baik jugak untuk jenama yang diorang promosikan.

Diego Maradona beraksi macam biasa: dengan kemahirannya menggelecek dan menguasai bola, dengan penuh kesenian mengkucar-kacirkan pertahanan lawan. Meskipun Malmo membuat kejutan awal bila jaringkan gol pendahuluan pada minit ke 20 menerusi Palmer, Granada berjaya samakan kedudukan 1-1 menerusi Lalo pada minit 26.

Via Giphy

Bersambung babak kedua, Johansson Kembali letakkan Malmo kat depan, sebelum Diego Maradona menyudahkan sepakan percuma yang cukup cantik pada minit ke 76. Penyerang Granada, Manolo melengkapkan hari penuh indah buat penyokong Granada, bila sumbat gol kemenangan. Namun, kegemilangan perlawanan ni gagal diteruskan dalam kempen liga, bila Granada makin jatuh merudum dan akhirnya menjunam untuk berdekad lamanya, bila Lalo sendiri gagal memberikan sumbangan yang signifikan.

Kisah adik-beradik yang power main bola sepak bukanlah sesuatu yang asing

Selain trio Maradona, antara adik-beradik dan sepupu sepapat yang popular pada peringkat antarabangsa adalah: Jack dan Bobby Charlton (England); Kevin-Prince Boateng (Ghana) dan Jerome Boateng (Jerman); dan Fabio dan Paolo Cannavaro (Itali); Frank dan Ronald de Boer (Belanda); Anton, Rio, Les dan Kane Ferdinand (England); Gary Neville dan Phil Neville (England); Socrates dan Rai (Brazil); serta Kolo dan Yaya Toure (Ivory Coast).

Kat Malaysia pulak, kita ada SuperMokh – Mokhtar dan adiknya, Mohamed Nor Dahari; Zainal Abidin Hassan, Khalid Ali, Hanafiah Ali dan Abdul Rahman Ali; Mazlan dan Sapian Wahid; Farouq dan Feridza Ismail; Khairil dan Faizal zainal; Azhar dan Azizol Kamaluddin; Azrul Amri dan Azmir Nor Hakim Burhan; serta Aidil Zakuan dan Zaquan Adha.

F2
Via MyNewsHub

Pada usia 60 tahun, tak lama lepas sambut hari jadi dia, Maradona pergi buat selamanya akibat serangan jantung kat rumah dia di Buenos Aires. ‘El Pibe de Oro’ (Anak Emas) Argentina ni baru 2 bulan keluar dari hospital lepas pembedahan sebab pendarahan otak. Dari kes dadah, ketagihan arak sampailah isu kaki perempuan, macam-macam kisah warna-warni Maradona yang jadi tajuk utama berita selama hidup dia.

“Me siento mal” (saya rasa sakit) mungkin antara kata-kata terakhir dia kepada jururawat sebelum menghembuskan nafas terakhir. Namun, kata-kata keramat dia masa kat gelanggang keramat Boca Juniors, La Bombonera akan terus tersemat padu dalam memori pengikut bola sepak sejati: “La pelota no se mancha” – Bola sepak adalah sukan yang paling indah. Watak nakal yang tak mampu dibenci, aksi atas padang lebih memukau berbanding kisah peribadi dia. Selamat jalan, Legenda.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top